Jan 17, 2016

DANIAL HAKIMI

Assalamualaikum w.b.t,

Beberapa tahun lepas, saya pernah buat satu entry mengenai bapa saudaranya; Saiful, yang kini sudah berada di Tahun 5. Kali ini, giliran anak saudaranya si Danial Hakimi ini pula, ataupun kena panggil Hakimi sahaja sebab kalau panggil Danial nescaya tidak akan sedikit pun dia memberi respon. Dan saya amat pasti yang dia sendiri pun tidak tahu nama sebenarnya adalah Danial Hakimi.

Semasa perhimpunan, Hakimi menangis dengan kuat. Sepupunya, Syafinas yang terpaksa memujuk dan menenangkan dia yang teresak-esak menangis. Hari pertama Hakimi ke sekolah, dia hanya berpakaian baju dan seluar biasa seperti ini;



Kami bawa dia ke dewan di mana terletaknya pakaian dan alat sekolah sumbangan, tapi sayangnya semuanya tidak muat dibadan kecilnya. Jadi, kami cuma beri dia beg, alat tulis, stoking dan selipar yang dipakainya seperti gambar di atas. Apabila dia dapat semua itu, perwatakan dia mula bertukar. Mungkin dia sudah tidak terasa asing dan terasa diterima dalam suasana persekitaran sekolah ini. Barulah nampak perangai sebenar Hakimi. Bising juga mulut dia, aktif dan kelihatan bijak.


Esoknya, baru teringat yang pakaian sekolah sumbangan daripada JAKOA untuk anak Tahun 1 untuk tahun sebelumnya masih ada dalam simpanan sekolah kecuali kasut sahaja. Jadi, terus pakaikan dia dengan baju dan seluar sekolah. Bukan main lagi sukanya dia walaupun ternyata baju dan seluar itu terlebih besar sedikit berbanding dengan tubuh kecilnya.


Alhamdulillah. Kemas berbaju dan berseluar sekolah, walaupun pada awal minggu ini tiba-tiba sahaja seluar sekolah dia ghaib. Bila tanya kemana perginya, dia cuma tersengih sengih sahaja. Setelah disiasat terdapat dua sebab tentang kehilangan seluarnya; pertama dikatakan hilang tidak dapat dikesan dan dua, basah dibasuh oleh Rossa. Yang akhirnya menjadi satu, seluarnya kotor lalu dibasuh oleh Rossa (sedara dia jugalah tu) dan semasa dalam proses dijemur/dipulangkan seluar tersebut entah ke mana sudah perginya. 




Tengoklah kertas tersebut yang sudah berupa entah apa. Asalnya adalah sekeping kertas kosong yang saya berikan dan saya minta setiap murid melukis bentuk-bentuk yang telah saya tunjukkan cara untuk melukisnya di papan putih dengan pesanan berbunyi, "Nanti cikgu akan kutip balik kertas ini," Yang dianya tak faham. Beberapa kali duk sorong tarik buka tutup lacinya, simpan kertas ambil kertas, lipat kertas, conteng-conteng mengikut sukanya walau beberapa kali saya pesan dan tunjuk siap dengan bahasa isyarat dengan harapan Hakimi memahami saya. Tapi, itulah... haihhh.




Ini pula cerita Jumaat lepas, dan seperti yang telah diketahui setiap hari Jumaat anak-anak SK Lemoi akan berbaju biasa dan berseluar track untuk memudahkan mereka berjalan pulang ke kampung masing-masing setelah tamat sesi persekolahan. Ini gambar sebelum dia dimarah cikgu kerana telah menyembur air liur kepada Jojo selepas hampir tewas gaduh mulut dengan Jojo. Tidak padan dengan kecik betul Hakimi ini, tapi gangster dia boleh tahan. Hahaha. Lepas kena marah terus dia diam dan termenung tak nak buat kerja. Merajuk campur insaf barangkali sebab kena ugut dengan cikgu nak gunting mulut kalau dia buat lagi. Harapnya, jadi pengajaran buat Hakimi selepas ini.

Sebelum kejadian itu, dia buat kerja dengan tekun dan teruja sekali. Setiap satu pensil warna yang dia ambil keluar daripada kotak dia akan tanya, "warna ma (apa) ni cikgu?" Maka setiap kali itulah cikgu bertabah menjawab, "Warna ungu, atau purple." Tapi, itu sahajalah yang dia ingat pun, sebab selepas itu tiapkali dia ambil keluar warna lain pun dia akan cakap, "warna pel-pel, cikgu." Hahaha.

Tak apalah Hakimi. Kita masih punya banyak masa untuk belajar. Jadi, tekun dan sabarlah ya. InsyaAllah suatu hari nanti, Hakimi boleh baca, menulis dan mengira juga.

Sekian.


3 comments:

Kay said...

senyum anak-anak Lemoi sama... manis bergula :)

OP Zaharin said...

Comelnya la hai hehe

dono jono said...


http://tokolelaki.xyz/
http://tokolelaki.xyz/obat-kuat-viagra-usa-asli/
http://tokolelaki.xyz/obat-kuat-cialis-80mg/
http://tokolelaki.xyz/obat-pembesar-penis-klg/

toko lelaki
viagra asli
obat kuat cialis
semenax asli