May 15, 2016

CHO

SEBUAH CATATAN UNTUK INGATAN. SESUNGGUHNYA MATI ITU PASTI.


Saya sedang bergegas hendak pulang ke kampung kerana urusan keluarga ketika tiba tiba tergerak hati untuk buka mesej di telegram.
"Kak, Cho dah meninggal." Mesej daripada As.
Tapi saya tetap terus memandu. Saya bingung. Kemudian, saya buka pula whatsapp. Ada mesej yang memaklumkan akan hal ini. Saya tahu perasaan saya ketika itu. Tak boleh nak fikir, nak terus balik atau nak ziarah dia? Kemudian saya berhentikan kereta di tepi jalan. Tenangkan fikiran dan baru ketika itu air mata bercucuran bila mengenangkan Cho, bekas anak murid tahun 2012 yang memang rapat sepanjang dia bersekolah di SK Lemoi.
Sebenarnya, sebelum bertolak balik ke kampung, dua kali saya berpatah balik ke rumah sewa di CH. Mula mula saya lupa mangga motor saya; oleh sebab cuti seminggu dan beberapa kejadian kecurian pernah berlaku maka saya rasa itu perlu. Jadi, saya yang sudah sampai di Ladang Teh Bharat terpaksa patah balik untuk manggakan motor.
Kali ke dua - dah sampai di Tanah Rata ketika saya teringat entah saya tutup atau tidak seterika yang saya guna untuk menggosok tudung tadi. Masa hendak patah balik hati saya terdetik, "orang kata petanda tak baik kalau dah keluar rumah tapi patah balik." Tapi, saya abaikan sahaja perasaan itu. Bila sampai di rumah, saya tengok seterika memang saya sudah tutup dan plagnya pun sudah saya tanggal dari soket.
Kelmarin pula, dalam perjalanan balik ke Tanah Tinggi dari USM; anak anak galak sungguh ketawa dalam van, saya tegur, "Jangan banyak ketawa, nanti menangis." Saya tak sangka, saya lah orang yang menangis itu. Kebetulan pula salah seorang daripada mereka merupakan adik kepada Cho.
Ya lah, mungkin ia cuma kebetulan.
Tapi apa yang sangat menyedihkan dan membuat saya terkilan kerana hampir 2 minggu dia menderita sakit di rumah, tapi saya tak tahu pun.
Pagi semalam (setelah dihubungi dengan radio set oleh Batin Lemoi), helikopter ambil dia di Lemoi untuk dibawa ke Tanah Rata dan terus dirujuk ke hospital Ipoh. Dan pagi tadi pula, Bahagian Forensik Hospital Ipoh memaklumkan kepada JAKOA CH bahawa Cho telah meninggal dunia. Dan pihak JAKOA CH memaklumkan kepada Batin Lemoi.
Dengarnya, Cho tak dapat diselamatkan kerana telah terlalu lewat untuk dihantar ke hospital. 2 minggu sudah Cho terlantar sakit dengan hanya dengan dirawat secara kampung.
Orang kata perut Cho bengkak. Dah seminggu Cho tak boleh makan, tapi Cho berdegil nak pergi sekolah sebab Cho tak nak ketinggalan. Tapi Cho dah tak mampu nak bergerak.
Ketika helikopter tiba di padang Tanah Rata, kebetulan cikgu Tuan ada di situ. Seorang MA serahkan telefon untuk cikgu Tuan rakam peristiwa itu, tapi cikgu Tuan tak tahu pun pesakit yang dirakam itu adalah bekas anak murid sendiri. Dia hanya perasan ketika Cho dibawa masuk ke ambulans. Terus dia bergegas mendapatkan Cho, tegur Cho... Tapi Cho tak mampu nak jawab apa apa. Cikgu Tuan kata, masa tu muka Cho tak menunjukkan pun bahawa Cho sedang sakit. Hanya kemudian, emak Cho mendapatkan cikgu Tuan dan menceritakan segala galanya.
Cho terus dirujuk ke Hospital Ipoh. Dan pagi tadi, kami mendapat berita bahawa kami telah kehilangan dia buat selama lamanya.
Walaupun orang kata, Cho lewat dihantar ke hospital sebab itu dia gagal diselamatkan. Tapi, saya tahu; kekangan kewangan dan masalah kenderaan serta jarak itulah yang menyebabkan Harun (ayah Cho) tidak dapat bersegera ke hospital dan hanya berubat secara kampung sahaja.
Pernah beberapa kali saya terserempak dengan Cho di Tanah Rata pada hari sepatutnya dia balik dari asrama. Katanya dia sedang cari kalau kalau ada orang kampung yang keluar dan boleh ditumpang balik ke kampung. Ayahnya tidak dapat keluar kerana tiada motor atau kadangkala tiada duit. Dia kata nak tumpang rumah cikgu, tapi selalunya masa tu saya nak balik ke kampung. Jadi tak dapat bawa dia. Bila tanya ada duit tak? Dia geleng geleng kepala. Saya beri dia sedikit duit, dan terpaksa tinggalkan dia dengan berat hati.
Dia tak pernah gagal menegur bila sesekali jumpa di Tanah Rata ketika saya kursus. Dengan lembut dia salam dan cium tangan saya, "rindu cikgu." Begitu selalu kata dia.
Lepas ni cikgu dah tak dapat jumpa awak Cho. Cikgu dah tak boleh nak pegang dan peluk awak dan cakap rindu kat awak lagi.
Cho, cikgu minta maaf. Cikgu tak sempat nak tengok wajah awak buat kali terakhir. Sehabis daya cikgu cuba usahakan untuk jumpa awak, tapi memang tak ada rezeki cikgu untuk tatap wajah awak buat terakhir kalinya.
Oleh kerana mesej whatsapp mengatakan awak ada di Hospital Tanah Rata, cikgu yang dah sampai Lojing patah balik untuk ke hospital. Sampai di sana cikgu tanya jaga, dia tak tahu. Cikgu masuk wad wanita, mereka pun tak pasti dan minta cikgu ke jabatan kecemasan. Bila cikgu tanya, mereka pun tak pasti dan cuba hubungi Hospital Ipoh, tapi oleh kerana person in charge tu sibuk; cikgu tak dapat sebarang pengesahan dari mereka.
Air mata cikgu berjujuran tak tahu mana lagi nak tuju. Cikgu hubungi cikgu Tuan. Kami ke Pejabat JAKOA CH. Cikgu sampai dulu, cikgu tanya dan mereka memberitahu bahawa Cho telah tiada. Berkali cikgu tanya "pesakit tu nama Cho kan?" Dan mereka mengesahkannya membuatkan hati cikgu bertambah luluh. Mereka memaklumkan bahawa Cho telah dihantar ke Hospital Ipoh dan telah dimaklumkan akan pemergian Cho.
Cikgu pulang dengan hampa. Sepanjang perjalanan cikgu fikir macamana cikgu nak jumpa awak. Akhirnya cikgu google "bilik mayat hospital Ipoh", cikgu call mereka dan pegawai bilik forensik itu mengesahkan bahawa Cho telah tiada. Cikgu tak boleh bercakap dah, air mata cikgu mengalir laju dan suara cikgu tersekat sekat. Cikgu terbayang wajah manis awak, suara lembut awak.
Cikgu tanya, "Nanti kereta mayat lalu mana? Boleh tak saya tunggu di simpang CH dan saya nak tengok dia?" Pegawai tu maklumkan mereka tak boleh berhenti sesuka hati, betapa sedihnya cikgu rasa ketika itu. Kebetulan ayah Cho ada di situ dan pegawai tersebut menyerahkan telefon kepada dia. "Dah meninggal cikgu." Demi Allah, luruh air mata cikgu. Luluh jiwa cikgu dengar suara tenang ayah Cho. Bila cikgu beritahu cikgu sedih, ayah Cho tenangkan cikgu dan beritahu... "Yelah, sedih la... Anak murid kan?" Cikgu dah tak mampu cakap apa apa kecuali menangis teresak esak. Ketika ayah Cho melepaskan kembali gagang kepada pegawai di bilik forensik itu, sempat pegawai itu berkata kepada cikgu, "okay ya cikgu, tak apalah ni dah boleh cakap dengan ayah dia kan?"
Cho. Cikgu minta maaf sangat sangat sebab tak dapat tengok Cho buat kali terakhir. Cikgu terkilan, tapi cikgu redha.
Cho, berehatlah...

4 comments:

Mr M said...

takziah, akak pernah cakap that i face the same situation, so i know the feeling.

Ezzmer Daruh said...

Salam Cikgu. Bagaimana mahu hubungi cikgu secara lanjut?

Unknown said...

Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website kami www.kumpulbagi.com atau www.facebook.com/kumpulbagi/ untuk info selengkapnya.

Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, filem dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)

Wak Lat said...

salam singgah., nice blog tp lama x updet erk cikgu?