Jan 17, 2016

HARI PERTAMA SESI PERSEKOLAHAN 2016

Assalamualaikum w.b.t,

Makanya, hari yang ditunggu-tunggu itu pun tiba. Seawal pagi, anak-anak telah mula memenuhi perkarangan sekolah. Seperti tahun-tahun sebelumnya, hanya anak-anak sendiri-sendiri sahaja. Tidak dihantar ibu bapa walaupun baru menjejak kaki ke sekolah, contohnya anak-anak pra yang baru mendaftar dan anak-anak tahun 1 yang sebelum ini tidak pernah bersekolah pun. Ada tidak yang berteman pun; cuma kakak, abang, atau saudara-mara yang sama-sama bersekolah sahaja.



Awal pagi, masih belum ramai murid yang dalam perjalanan ke sekolah. Tapi, Alhamdulillah pada tahun ini hampir semua anak-anak SK Lemoi berbaju seragam dan kasut baru ke sekolah. Terima kasih kepada mereka yang telah menyumbang demi untuk sesi persekolahan tahun ini. Rezeki anak-anak Lemoi, mereka banyak dapat sumbangan tahun lepas. Dari beg, kasut, baju, seluar, stoking sehinggalah kepada alat tulis. Rasa terharu tengok anak-anak berbaju putih yang putih dan kasut yang elok jika hendak dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya. Ada tidak pun yang tidak berbaju baru, adalah kerana mereka tidak hadir ke sekolah pada sesi penyampaian sumbangan ataupun sudah tiada saiz yang sesuai untuk mereka. Tapi, menjelang tengahari - semua anak-anak Lemoi mendapat seragam baru masing-masing. Termasuklah anak-anak Tahun 1 yang ada beberapa orang masih berselipar dan berbaju biasa.



Menjelang jam 0900hrs, hampir semua anak murid telah memenuhi perkarangan sekolah. Enrolmen tahun ini cuma 97 orang sahaja termasuk kelas pra sekolah. Masa perhimpunan ni, adalah dua tiga orang murid Tahun 1 menangis dan terpaksa dipujuk oleh kakak/abang/saudara. Biasalah menangis, terkejut tengok wajah asing dan suara kuat cikgu masa perhimpunan mungkin.



Ini wajah anak-anak Tahun 1 pada tahun ini. Dari kiri, Shahrilsukri, Jazriel Fakim, Alief, Danial Hakimi, Diya Nabila, Juvina, Hasliza Amira. Fitri Iquan dan Adam. Tahun ini, saya telalah diamanahkan untuk mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik untuk Tahun 1. Makanya tahap kesabaran saya kena ganda dua pada tahun ini. Tahu sahajalah nak mengadap anak-anak tahun 1 yang ada dikalangan mereka tidak pernah hadir kelas pra. Jadi, ada yang masih tidak faham bahasa Malaysia walaupun untuk arahan yang mudah.

Selepas selesai perhimpunan, semua murid beredar ke kelas masing-masing dan sesi pengajaran dan pembelajaran terus bermula seperti biasa. Cuma anak-anak Tahun 1 ini tetaplah seperti anak-anak sebelumnya. Yang masih asing dengan undang-undang sekolah. Merata juga mereka berkeliaran di sekolah, sesuka hati ke sana ke mari sampaikan cikgu yang mengajar terpaksa mengutip mereka dari kelas ke kelas. Hahaha. Lepas itu, suka-suka hati je cakap, "Cikgu, saya nak makan!" ataupun "Cikgu, eng hok nanom." (cikgu, saya nak buang air kecil) dan berbagai karenah lagi. Tapi tak apalah, sebab semua pun masih dalam proses belajar kan?

Semoga tahun ini SK Lemoi akan lebih cemerlang, gemilang dan terbilang!

Sekian.



No comments: