Feb 24, 2013

SIBUK


Salam,

Sejak sekolah dibuka selepas cuti Tahun Baru Cina, ada beberapa perkara yang aku sibukkan. Bermulanya latihan untuk Pertandingan Bola Jaring Peringkat Daerah dan juga Karnival Bahasa Malaysia Peringkat Daerah.

Selepas habis sekolah, aku balik rumah sekejap. Makan dan solat, kemudian terus turun ke satu-satunya gelanggang kami. Yang gunanya bukan setakat main bola jaring, bahkan futsal, bola tampar, badminton dan segala-gala permainan yang melibatkan gelanggang - maka inilah tempatnya. Sebelum mula latihan, kena berperang dulu dengan najis kambing yang merata memenuhi gelanggang. Apa tidaknya, setiap malam - disinilah tempat kambing-kambing lepak dan tidur. Lalu, bila keesokan paginya maka berteraburanlah segala najis-najisnya. Terpaksalah gelanggang itu disapu dahulu. Tapi, itu kadang-kadang sahaja, kerana kebanyakan masanya tak sempat nak sapu pun sebab bebudak dah mula main. Bukan mereka kisah sangat sebenarnya. Pijak pun pijaklah. 

Tahun lepas, pasukan sekolah yang buat julung-julung kalinya menghantar penyertaan hanya berjaya mara sampai peringkat suku akhir sahaja. Tahun ini, aku amat harap sangat agar mereka dapat sekurang-kurangnya ke separuh akhir. Dengan murid yang kebanyakannya kecil-molek, halus-mulus aku tahu bukan kerja senang sebenarnya. Tapi, sesekali aku tidak mahu patahkan semangat mereka. Ingat lagi tahun lepas, murid-murid aku hanya setakat bahu atau paling lebih pun paras telinga murid-murid sekolah luar. Kebimbangan, cuak, takut - memang jelas terbayang di wajah mereka. Tapi, aku dan Fida tetap suntik kata-kata semangat. Kalau diingat kelakar pun ada semasa lawan pasukan sekolah tamil. Mereka terpinga-pinga dengan bahasa yang sangat asing di telinga dan apabila dijerit 'PODAHHH!' oleh pasukan lawan. Kesiannn.

Apapun, harapan aku - agar mereka bermain dengan penuh semangat. Dan bila aku risau memikirkan ketinggian mereka, maka insan-insan yang baik hati di Instagram sudi berkongsi tips. Main bola bawah, hantaran cepat antara GA - GS - kata mereka. Maka aku, praktikkan apa yang mereka beritahu. Perlulah diingat di sini, seumur hidup aku tidak pernah bermain bola jaring sebab dulu konon fikir 'Ahhh... rumit ah nak main. Itu tak boleh, ini tak boleh!' - tidak sesuai dengan jiwa rock aku. Kononnya! Dan oleh kerana itu, maka setiap kali perlawanan yang melibatkan PALAPES semasa di Universiti dahulu - aku hanya jadi tukang sorak sahaja. Sungguh menyedihkan!

Maka, untuk itu - aku harus berterima kasih kepada Program 1 Murid 1 Sukan dan GPK Ko memilih aku untuk mengikuti kursus Bola Jaring tersebut. Di situlah, pertama kali dalam sejarah minah konon 'rock' ini belajar bagaimana mahu baling bola, bagaimana gerak kaki segala. 


Sesi latihan bola jaring ini setiap hari. Kadang-kadang pukul 1600hrs dah mula berlatih. Panas memang panas tapi terpaksa main awal sebab nanti jam 1830hrs selalunya guru-guru lelaki menggunakan gelanggang ini untuk bermain futsal pula.





Malamnya, sekali lagi aku turun ke sekolah buat melatih Jezzie dan Shaharul Asziedienie a.k.a Mat Yo untuk Pertandingan Bercerita di Karnival Bahasa Malaysia. Tahun lepas, kami hanya dapat tempat kedua untuk Pertandingan Bercerita Tahap 1 dan 2, manakala johan untuk Pidato. Tahun sebelumnya, kami sapu bersih johan. Tahun ini, besar harapan GPK Ko untuk kami rampas balik gelaran johan Pertandingan Bercerita bagi kategori SK Asli. InsyaAllah, aku cuba buat yang terbaik. Cuma harap Jezzie dan Mat Yo dapat hafal cerita yang aku beri pada mereka. Mat Yo tu tak adalah aku risau sangat, sebab tahun lepas pun dia wakil sekolah maka aku beri cerita yang sama. Minggu lepas dia sudah hafal semula cerita tu, cuma tinggal lagi nak kena kemaskan gaya sahaja. Tapi Jezzie belum hafal lagi. Kadang-kadang memang kena marah, tapi lepas marah dan bila tengok muka dah tak semangat aku cepat-cepat upah gula-gula atau coklat atau buah. Baru semangat mereka datang balik. Hahaha, kalau nak cakap rasuah pun rasuahlah...

Jezzie khusyuk membaca cerita. Tu kat depan aku dah letak pendorong semangat satu plastik. Baca bagus. Semangat bagus dapatlah satu lolipop.


Mat Yo ni, tak kira aku jumpa kat mana - aku akan suruh dia bercerita. Gambar ni masa dia tengah nak main bola tepi gelanggang bola jaring. Nasib tak baik ah sebab aku nampak dia, maka terus suruh dia bercerita.



Selain dua perkara di atas, sekolah juga sibuk mengemaskinikan segala fail-fail ekoran kata Tuan PPD sekolah kami boleh tercalon untuk Anugerah Bai'ah atau New Deal. Oleh sebab itu, maka pegawai-pegawai dari PPD dan sesekali Tuan PPD sendiri lebih kerap melawat sekolah. Minggu lepas sahaja dua kali. Hari Selasa Pegawai-pegawai PPD masuk, hari Khamis pula Tuan PPD sendiri masuk membawa bersama Tuan Pengetua SMK Alor Akar bersamanya buat menolong kami menyemak segala fail-fail. Mulanya, ingatkan sekadar hendak tengok fail sahaja, tapi sekali Tuan PPD siap masuk 'observe' dalam kelas. Nasib tak berapa baik sebab masa tu aku ada kelas Sains Tahun 4, dan Fida ada kelas BI Tahun 6. Aku kira dia lagilah mencabar sebab dia ajar subjek UPSR masa tu. Mula-mula dari makmal aku nampak Tuan PPD dan rombongan dia ke Tahun 6. Aku dah tak berapa nak rileks sebab masa tu Encik Azman salah seorang Pegawai di PPD dah masuk makmal nak tengok aku mengajar. Amboiiii... cuak aku bukan mainan lagi. 

Lepas habis observe Tahun 6 Tuan PPD masuk makmal. Alahaiii. Kemudian dia siap minta nak tanda buku murid. Nasib baiklah, aku baru je semak buku mereka. Tapi, aku memang tabik kat Tuan PPD ni. Sebab dia memang peramah. Cara dia tegur budak, terus buat budak-budak ni jadi berani dengan dia. Dia puji-puji nama murid, puji murid cantik, puji tulisan cantik... budak-budak ni apalagi, seronoklah. Yalah, kalau dengan aku selalu kena komen tulisan tidak kemas.

Kemudian Tuan PPD ternampak globe di belakang makmal. Maka terus dia bertanya, 

" Itu apa?"

" Bumi." Tuan PPD tersengih. Ya ampun, rasanya aku pernah cakap kat murid-murid bahawa benda bulat itu adalah globe. Rasanyalah.

"Kita di mana sekarang?" Merujuk kepada globe.

"Pahang!" Serius, aku memang punya nak gelak campur geram dengan murid-murid ni. Adoyaiiii... punya spesifik korang jawab. Tuan PPD pun muka nak ketawa masa tu, tapi dia terus bertanya.

" Okay, Pahang tu kat mana?"

" Malaysia!"

" Siapa boleh tunjuk kat saya, mana kat mana letaknya Malaysia kat globe tu?"

Maka, keluarlah Fauzi. Berjalan menuju ke globe. Masa tu aku jangan ceritalah, punya berdebar. Sebab murid Tahun 4 ni baru tahun ini aku ajar, jadi benda alah globe tu aku tidak pernah terangkan kepada mereka. Fauzi malu-malu, segan-segan pusing globe dan tunjuk.

"Ini..." Ya Allah, betapa bersyukurnya aku ketika itu. Betul. Jawapan Fauzi itu, dan dia tidak ambil masa yang lama pun untuk mencari dimanakah terletaknya Malaysia.

" Pandaiiii..." Tuan PPD punya terharu sampai dia rangkul Fauzi dan menghulurkan sekeping RM1 daripada dalam poket bajunya kepada Fauzi. Iya... dia terharu sebab semua yang dia tanya dapat murid-murid jawab.

" Bagusss. Siapa ajar itu Malaysia tu?"

"Cikgu Azmil..." Kata Fauzi. Cikgu Azmil itu mengajar Sains mereka semasa di Tahun 3. Ya, terima kasih Mel. Sebab dengan Azmil yang ajar itu, maka aku tidak mendapat malu pada hari tersebut.

Iya kawan. Aku tahu ini cuma perkara kecil. Apa sangatlah kalau dapat tunjuk kat mana Malaysia pada globe itu? Apa sangat... Tapi, ketahuilah. Benda-benda yang anda anggap kecil ini adalah benda-benda besar bagi kami, guru di pedalaman ini. Keupayaan mereka mengingat apa yang dipelajari itulah yang kami titik beratkan. 

Tuan PPD menanda buku latihan murid.


Semasa hendak balik, murid-murid sedang hendak minum petang. Murid-murid mengucap "Good bye, datang lagi..." Tapi Tuan PPD berkata, "Haaa, mari! Siapa nak salam saya?"

Maka, berkerumunlah mereka menghurung Tuan PPD. Tapi, aku yang kebetulan berada di situ pun tidak menyangka - setiap murid yang bersalam dengannya, dia peluk mereka setiap orang. Penuh kasih sayang dan kebapaan dan langsung tiada riak geli di wajah beliau. Perlu aku beritahu, Tuan PPD datang hari Khamis iaitu hari keempat persekolahan dalam minggu - maka sudah tentu-tentu ada murid yang akan pakai baju sama - tidak berbasuh. Kotor dan comot sana-sini. Bau pula jangan ceritalah. Sementelah hari sudah petang, sudah tentu ada yang berguling sana-sini, badan sudah berpeluh-peluh sebab bermain lari-lari keliling sekolah segala.


Yaaa. Tuan PPD memang peluk setiap mereka. Dan beri kata-kata semangat untuk mereka terus maju jaya. Inilah Tuan PPD kami. 


Terima kasih Tuan Haji kerana sudi melawat dan membawa keceriaan kepada anak-anak kami. Budi baik Tuan Haji akan kami sentiasa kenang. InsyaAllah, mudah-mudahan kami tidak akan mengecewakan harapan yang telah Tuan Haji letakkan kepada kami.

Maka dengan cerita itu, tamatlah kisah aku untuk minggu ini. Kawan-kawan terus doakan kami ye.

Sekian.

9 comments:

MakMonas said...

Baiknyaaa tuan ppd..saya doakan jezziee jadi juara taun ni!! Jezzie boleh punyalah. Tepi padang pon praktis tu. Tabik! Nnt update result tau!!

Gerb said...

Sampai sekarang saya masih ingat cerita Cikgu Limau Kasturi. Kisah seorang cikgu yang kena mengajar di kawasan pendalaman.

Sekarang saya suka baca blog ni. Blog kisah seorang cikgu juga mengajar di pendalam.

Cikgu,teruskan berkongsi kepada semua.

mj said...

terharunya baca entry kali ni.... tak sabar tunggu keputusan pertandingan bercerita n bola jaring... mat yo comellll.... geram tengok dia

Anonymous said...

X penah pulak saya tgk tuan ppd berpwluk sakan dgn murid.. Sepanjang masuk tahun ke 4 berada di sek.

pB said...

akak doakan semuanya berjaya


kalau lah semua PPD begini...
seronoknyaaaaaaaaaaaaaa

Anonymous said...

uwaaaaa....menangis baca cerita tuan PPD peluk

Anonymous said...

Semoga cikgu diberi rahmat dari Nya mendidik dgn ikhlas..dan anak2 ini nnt menjadi org yg berguna dimasa depan..amin...

~Sya~ said...

comelnya mat yo bercerita kat padang...heheh

noya ahmad said...

betul tu...mungkin sesuatu benda yg kecil pd kacamata kita, tetapi besar pd kacamata org lain.. TQ cikgu..