Feb 25, 2013

TITI NAN DUA


Salam,

Kadang-kadang memang kita sangka panas sampai ke petang, tapi tiba-tiba hujan turun di tengahari. Ibaratnya, macam itulah juga kami - ingatkan dah kemarau, jalan dah berturap dan elok sampai hujung tahun sekurang-kurangnya, tapi tiba-tiba tanah runtuh di tengah jalan.

Petang Ahad itu, seperti biasa kami berempat - aku, Fida, As dan Faizah masuk ke sekolah. Selepas membeli-belah barang keperluan di Sin Ming dan Pasar Malam Bertam Valley, kami memulakan perjalanan. Hujan lebat semasa kami meninggalkan rumah. Tambah lagi, hari itu boleh kata sepanjang hari memang mendung sahaja.Cuacanya sejuk bukan main. Inikan pula kalau hujan. Sejuk kuasa dua!

Sampai di pertengahan jalan, perjalanan terhenti. Ternampaklah akan jalan yang sudah putus ini. Runtuh! Tapi sudah dibina 'titi' untuk menghubungkan jalan. Katanya orang kampung, ada lori JAKOA masuk. Tapi, faktor utama aku rasa adalah sebab hujan yang selalu turun kebelakangan ini.

Jambatan atau 'titi' yang dibina itu kira muat-muat untuk motor lalu. Tapi dibuat dua supaya kenderaan bertayar empat boleh lalu. Tapi, katalah kalau aku yang bawa kenderaan tersebut - sudah tentu-tentu aku tidak berani. Dan aku lebih rela jalan kaki.

Oleh sebab kami masih belum biasa dan pertama kali hendak lalu ini, maka kami ambil langkah paling rasanya selamat - tuntunlah motor secara perlahan-lahan. Takut balancing tak power, kemudian terbayang-bayang akan jatuh tergolek ke dalam lubang yang ternganga tersebut. Huh. Hanya membayangkan sahaja pun sudah rasa ngerinya. Tapi, cikgu lelaki selamba sahaja. Almaklumlah hero katakan.

Masa ni tengah bincang macamana nak lalu.



Selepas itu, keputusan sebulat suara. Ahhh tolak sahajalah.


Orang kampung yang baru balik dari kedai tolong bawa motor sebab nampak kami macam terkial-kial nak lalu. Haha. Terima kasih.


Nampak tak betapa besar dan dalamnya lubang tersebut?


Cikgu-cikgu lelaki yang lalu dengan menaiki motor. (Kredit gambar Cikgu Wan)



Harapnya 'titi' ini mampu bertahan lama. Tapi, tak tahulah macamana sebab tadi ada cikgu yang keluar kata 'titi' tersebut dah makin teruk. Tambahan dengan hujan lagi. Alahaiii... Kepada Man Hajat Astro, boleh tak kami nak minta jambatan besi? Bagi kukuh sikit? Supaya senang kami nak lalu masuk - keluar sekolah. Supaya tidaklah orang kampung terputus hubungan dengan dunia luar. Semoga senang mereka hendak keluar - masuk beli barang keperluan. 

Habis cerita jambatan. Kami meneruskan perjalanan. 

Tapi lepas tu, motor Fida pula tiba-tiba brek tangan dia lekat. Banyak kali juga terpaksa berhenti sebab nak kena betulkan. Kalau tak dibetulkan, tayar depan tak boleh berpusing. Itupun dah beberapa kali dia menonong-nonong nak terbabas. Tambah pula dengan jalan licin lagilah. Hujan gerimis pun dah mula turun.

DuBoK sempat bergambar. Yang dalam bakul tu sayur-sayuran dan buah-buahan yang sempat dibeli di Pasar Malam Bertam Valley. 


Jalan memang agak licin. Brek memang kena dalam keadaan baik.



Terpaksa baiki sendiri. Sebab masa ni cikgu lelaki belum sampai lagi. Kenalah pandai-pandai berdikari setakat mana yang boleh. Kalau teruk sangat hendak tak hendak terpaksalah tunggu juga. 


Namun, di sebalik dugaan-dugaan kecil ini - kami bersyukur sebab selamat juga sampai ke sekolah. Cuma harapnya, 'titi' nan dua itu mampu bertahan lama sedikit sebelum sampai bantuan-bantuan daripada pihak yang berkenaan. InsyaAllah. Mudah-mudahan.

Sekian.

Feb 24, 2013

INSTAGRAM

Salam,

Sebenarnya, aku tak adalah lama mana berkecimpung dalam bidang instagram ini. Baru beberapa tahun. Maklumlah, dulu-dulu instagram hanya untuk aplikasi iphone sahaja. Tak mampu nak pakai iphone. Hanya kemudian, baru dapat buka akaun intsgram selepas adik lelaki aku memberikan aku iphone 3gs kepunyaannya. Maka itu adalah iphone pertama aku. Bila dapat, terus register akaun. Kemain seronok bukan kepalang. Tapi, masa tu mana tahu guna aplikasi selain dari filter instagram untuk edit gambar. Tapi, jenis manusia yang suka explore - lama-lama aku pun tahulah akan aplikasi yang bernama VSCO ini. Tapi masa ini dah bertukar ke 4s. Alhamdulillah, ada rezeki boleh beli.

Maka usunglah aku iphone 4s itu ke sana sini di sekolah buat mengambil gambar sekeliling, gambar murid-murid adalah yang paling seronok untuk diambil sebab mereka sangat suka diambil gambar. Bila dah ambil gambar tahu pulak dia hendak tengok.

Suatu hari, aku dan Fida bawa murid-murid mandi sungai. Ambillah gambar mandi sungai. Tapi, masa ini tak boleh instagram di sekolah sebab tak ada wifi lagi. Jadi hujung minggu bila keluar barulah boleh instagram. Maka bertalu-talulah aku pos gambar. Menggunakan filter VSCO pastinya. Tapi, sekarang buat yang bertanya - kat dalam ada internet ke, maka jawabnya adalah ya. Ada. Menggunakan School Net, kami pasang router, maka dapatlah kami berinternet hatta daripada kuarters guru sekalipun. Jadilah kan daripada tak ada langsung. Dapat juga tahu berita-berita keluarga di luar yang paling utamanya.

Hendak dijadikan cerita, suatu hari ada orang komen di gambar aku bahawa gambar tersebut terpilih untuk dipaparkan sebagai gambar pilihan yang menggunakan applikasi VSCO di laman web mereka. Aku punyalah teruja masa tu. Bukan main bangga rasanya. Minta maaflah kepada orang sekeliling kalau rasa annoying kat aku masa tu. Hahaha.

Nah... ini dia. Subjek aku masa ni gambar murid mandi sungai. Kalau nak tengok boleh buka link ini http://visualsupply.co/blog/vsco-cam-weekly-selects-37 

Bertuahnya aku sebab banyak subjek menarik di sekeliling aku. Selalunya, gambar-gambar yang aku post adalah gambar-gambar anak murid aku sendiri. Mereka adalah subjek aku yang paling berharga.



Okay. Nak iklan sikit, sesiapa yang ada instagram - kalau rasa nak follow boleh search @bungolale ya. Terima kasih kalian.


SIBUK


Salam,

Sejak sekolah dibuka selepas cuti Tahun Baru Cina, ada beberapa perkara yang aku sibukkan. Bermulanya latihan untuk Pertandingan Bola Jaring Peringkat Daerah dan juga Karnival Bahasa Malaysia Peringkat Daerah.

Selepas habis sekolah, aku balik rumah sekejap. Makan dan solat, kemudian terus turun ke satu-satunya gelanggang kami. Yang gunanya bukan setakat main bola jaring, bahkan futsal, bola tampar, badminton dan segala-gala permainan yang melibatkan gelanggang - maka inilah tempatnya. Sebelum mula latihan, kena berperang dulu dengan najis kambing yang merata memenuhi gelanggang. Apa tidaknya, setiap malam - disinilah tempat kambing-kambing lepak dan tidur. Lalu, bila keesokan paginya maka berteraburanlah segala najis-najisnya. Terpaksalah gelanggang itu disapu dahulu. Tapi, itu kadang-kadang sahaja, kerana kebanyakan masanya tak sempat nak sapu pun sebab bebudak dah mula main. Bukan mereka kisah sangat sebenarnya. Pijak pun pijaklah. 

Tahun lepas, pasukan sekolah yang buat julung-julung kalinya menghantar penyertaan hanya berjaya mara sampai peringkat suku akhir sahaja. Tahun ini, aku amat harap sangat agar mereka dapat sekurang-kurangnya ke separuh akhir. Dengan murid yang kebanyakannya kecil-molek, halus-mulus aku tahu bukan kerja senang sebenarnya. Tapi, sesekali aku tidak mahu patahkan semangat mereka. Ingat lagi tahun lepas, murid-murid aku hanya setakat bahu atau paling lebih pun paras telinga murid-murid sekolah luar. Kebimbangan, cuak, takut - memang jelas terbayang di wajah mereka. Tapi, aku dan Fida tetap suntik kata-kata semangat. Kalau diingat kelakar pun ada semasa lawan pasukan sekolah tamil. Mereka terpinga-pinga dengan bahasa yang sangat asing di telinga dan apabila dijerit 'PODAHHH!' oleh pasukan lawan. Kesiannn.

Apapun, harapan aku - agar mereka bermain dengan penuh semangat. Dan bila aku risau memikirkan ketinggian mereka, maka insan-insan yang baik hati di Instagram sudi berkongsi tips. Main bola bawah, hantaran cepat antara GA - GS - kata mereka. Maka aku, praktikkan apa yang mereka beritahu. Perlulah diingat di sini, seumur hidup aku tidak pernah bermain bola jaring sebab dulu konon fikir 'Ahhh... rumit ah nak main. Itu tak boleh, ini tak boleh!' - tidak sesuai dengan jiwa rock aku. Kononnya! Dan oleh kerana itu, maka setiap kali perlawanan yang melibatkan PALAPES semasa di Universiti dahulu - aku hanya jadi tukang sorak sahaja. Sungguh menyedihkan!

Maka, untuk itu - aku harus berterima kasih kepada Program 1 Murid 1 Sukan dan GPK Ko memilih aku untuk mengikuti kursus Bola Jaring tersebut. Di situlah, pertama kali dalam sejarah minah konon 'rock' ini belajar bagaimana mahu baling bola, bagaimana gerak kaki segala. 


Sesi latihan bola jaring ini setiap hari. Kadang-kadang pukul 1600hrs dah mula berlatih. Panas memang panas tapi terpaksa main awal sebab nanti jam 1830hrs selalunya guru-guru lelaki menggunakan gelanggang ini untuk bermain futsal pula.





Malamnya, sekali lagi aku turun ke sekolah buat melatih Jezzie dan Shaharul Asziedienie a.k.a Mat Yo untuk Pertandingan Bercerita di Karnival Bahasa Malaysia. Tahun lepas, kami hanya dapat tempat kedua untuk Pertandingan Bercerita Tahap 1 dan 2, manakala johan untuk Pidato. Tahun sebelumnya, kami sapu bersih johan. Tahun ini, besar harapan GPK Ko untuk kami rampas balik gelaran johan Pertandingan Bercerita bagi kategori SK Asli. InsyaAllah, aku cuba buat yang terbaik. Cuma harap Jezzie dan Mat Yo dapat hafal cerita yang aku beri pada mereka. Mat Yo tu tak adalah aku risau sangat, sebab tahun lepas pun dia wakil sekolah maka aku beri cerita yang sama. Minggu lepas dia sudah hafal semula cerita tu, cuma tinggal lagi nak kena kemaskan gaya sahaja. Tapi Jezzie belum hafal lagi. Kadang-kadang memang kena marah, tapi lepas marah dan bila tengok muka dah tak semangat aku cepat-cepat upah gula-gula atau coklat atau buah. Baru semangat mereka datang balik. Hahaha, kalau nak cakap rasuah pun rasuahlah...

Jezzie khusyuk membaca cerita. Tu kat depan aku dah letak pendorong semangat satu plastik. Baca bagus. Semangat bagus dapatlah satu lolipop.


Mat Yo ni, tak kira aku jumpa kat mana - aku akan suruh dia bercerita. Gambar ni masa dia tengah nak main bola tepi gelanggang bola jaring. Nasib tak baik ah sebab aku nampak dia, maka terus suruh dia bercerita.



Selain dua perkara di atas, sekolah juga sibuk mengemaskinikan segala fail-fail ekoran kata Tuan PPD sekolah kami boleh tercalon untuk Anugerah Bai'ah atau New Deal. Oleh sebab itu, maka pegawai-pegawai dari PPD dan sesekali Tuan PPD sendiri lebih kerap melawat sekolah. Minggu lepas sahaja dua kali. Hari Selasa Pegawai-pegawai PPD masuk, hari Khamis pula Tuan PPD sendiri masuk membawa bersama Tuan Pengetua SMK Alor Akar bersamanya buat menolong kami menyemak segala fail-fail. Mulanya, ingatkan sekadar hendak tengok fail sahaja, tapi sekali Tuan PPD siap masuk 'observe' dalam kelas. Nasib tak berapa baik sebab masa tu aku ada kelas Sains Tahun 4, dan Fida ada kelas BI Tahun 6. Aku kira dia lagilah mencabar sebab dia ajar subjek UPSR masa tu. Mula-mula dari makmal aku nampak Tuan PPD dan rombongan dia ke Tahun 6. Aku dah tak berapa nak rileks sebab masa tu Encik Azman salah seorang Pegawai di PPD dah masuk makmal nak tengok aku mengajar. Amboiiii... cuak aku bukan mainan lagi. 

Lepas habis observe Tahun 6 Tuan PPD masuk makmal. Alahaiii. Kemudian dia siap minta nak tanda buku murid. Nasib baiklah, aku baru je semak buku mereka. Tapi, aku memang tabik kat Tuan PPD ni. Sebab dia memang peramah. Cara dia tegur budak, terus buat budak-budak ni jadi berani dengan dia. Dia puji-puji nama murid, puji murid cantik, puji tulisan cantik... budak-budak ni apalagi, seronoklah. Yalah, kalau dengan aku selalu kena komen tulisan tidak kemas.

Kemudian Tuan PPD ternampak globe di belakang makmal. Maka terus dia bertanya, 

" Itu apa?"

" Bumi." Tuan PPD tersengih. Ya ampun, rasanya aku pernah cakap kat murid-murid bahawa benda bulat itu adalah globe. Rasanyalah.

"Kita di mana sekarang?" Merujuk kepada globe.

"Pahang!" Serius, aku memang punya nak gelak campur geram dengan murid-murid ni. Adoyaiiii... punya spesifik korang jawab. Tuan PPD pun muka nak ketawa masa tu, tapi dia terus bertanya.

" Okay, Pahang tu kat mana?"

" Malaysia!"

" Siapa boleh tunjuk kat saya, mana kat mana letaknya Malaysia kat globe tu?"

Maka, keluarlah Fauzi. Berjalan menuju ke globe. Masa tu aku jangan ceritalah, punya berdebar. Sebab murid Tahun 4 ni baru tahun ini aku ajar, jadi benda alah globe tu aku tidak pernah terangkan kepada mereka. Fauzi malu-malu, segan-segan pusing globe dan tunjuk.

"Ini..." Ya Allah, betapa bersyukurnya aku ketika itu. Betul. Jawapan Fauzi itu, dan dia tidak ambil masa yang lama pun untuk mencari dimanakah terletaknya Malaysia.

" Pandaiiii..." Tuan PPD punya terharu sampai dia rangkul Fauzi dan menghulurkan sekeping RM1 daripada dalam poket bajunya kepada Fauzi. Iya... dia terharu sebab semua yang dia tanya dapat murid-murid jawab.

" Bagusss. Siapa ajar itu Malaysia tu?"

"Cikgu Azmil..." Kata Fauzi. Cikgu Azmil itu mengajar Sains mereka semasa di Tahun 3. Ya, terima kasih Mel. Sebab dengan Azmil yang ajar itu, maka aku tidak mendapat malu pada hari tersebut.

Iya kawan. Aku tahu ini cuma perkara kecil. Apa sangatlah kalau dapat tunjuk kat mana Malaysia pada globe itu? Apa sangat... Tapi, ketahuilah. Benda-benda yang anda anggap kecil ini adalah benda-benda besar bagi kami, guru di pedalaman ini. Keupayaan mereka mengingat apa yang dipelajari itulah yang kami titik beratkan. 

Tuan PPD menanda buku latihan murid.


Semasa hendak balik, murid-murid sedang hendak minum petang. Murid-murid mengucap "Good bye, datang lagi..." Tapi Tuan PPD berkata, "Haaa, mari! Siapa nak salam saya?"

Maka, berkerumunlah mereka menghurung Tuan PPD. Tapi, aku yang kebetulan berada di situ pun tidak menyangka - setiap murid yang bersalam dengannya, dia peluk mereka setiap orang. Penuh kasih sayang dan kebapaan dan langsung tiada riak geli di wajah beliau. Perlu aku beritahu, Tuan PPD datang hari Khamis iaitu hari keempat persekolahan dalam minggu - maka sudah tentu-tentu ada murid yang akan pakai baju sama - tidak berbasuh. Kotor dan comot sana-sini. Bau pula jangan ceritalah. Sementelah hari sudah petang, sudah tentu ada yang berguling sana-sini, badan sudah berpeluh-peluh sebab bermain lari-lari keliling sekolah segala.


Yaaa. Tuan PPD memang peluk setiap mereka. Dan beri kata-kata semangat untuk mereka terus maju jaya. Inilah Tuan PPD kami. 


Terima kasih Tuan Haji kerana sudi melawat dan membawa keceriaan kepada anak-anak kami. Budi baik Tuan Haji akan kami sentiasa kenang. InsyaAllah, mudah-mudahan kami tidak akan mengecewakan harapan yang telah Tuan Haji letakkan kepada kami.

Maka dengan cerita itu, tamatlah kisah aku untuk minggu ini. Kawan-kawan terus doakan kami ye.

Sekian.

Feb 7, 2013

JUARA DAERAH 2013

Salam...

Pagi hari Isnin itu hujan turun dengan lebat. Sebenarnya sejak petang sebelumnya memang hujan tidak berhenti. Kami masuk ke sekolah pun dalam hujan juga. Sejuknya jangan ceritalah. Memang menggigil sambil bawa motor. Gigi atas berlaga dengan gigi bawah. 

Murid-murid yang akan mewakili sekolah akan keluar pada hari ini memandangkan Kejohanan Merentas Desa Peringkat Daerah akan diadakan pada hari Selasa, 5 Februari 2013.

Oleh kerana hari hujan, dan kami juga tidak mempunyai baju hujan - apa yang selalu kami buat kepada murid-murid ini ialah dengan memakaikan mereka dengan plastik hitam yang selalu digunakan buat mengisi sampah tersebut. Tapi, kami guna yang masih bersihlah. Manakala kepala pula bertutup dengan plastik juga. Seperti ini...


Hahahaha. Memang kelihatan kelakar. Sekali tengok memang dah macam kat salun rambut
pun ada. Tapi bebudak ni mana kisah mana. Oleh kerana hujan yang tidak berhenti juga, maka murid-murid terpaksa berjalan kaki sehingga sampai ke jalan konkrit memandangkan takut kalau naik motor buatnya jatuh ke apa lagi bahaya. Murid seramai 8 orang ini diiringi oleh empat orang guru. Setiap guru memboncengkan dua orang murid sehinggalah sampai ke luar. Setiap kali ada acara di luar, murid-murid akan tidur di rumah guru di luar. Kalau aku yang mengiring, rumah akulah yang jadi asrama. Kali ini rumah Cikgu Nik lah yang jadi asrama.



Pada petangnya, mereka menjalani latihan sambil melihat trek di Ladang Boh dimana kejohanan akan diadakan esok. Ada orang bertanya di Instagram, bebudak ni tak sejuk ke sebab hanya pakai baju T. Sebenarnya mereka pun sejuk juga tapi sebab mungkin dah biasa. Bukan semua murid ada baju sejuk pun. Tapi bila untuk sebarang acara sukan pihak sekolah memang ada menyediakan baju sejuk untuk kegunaan mereka. Cuma masa ni kan latihan, jadi tak adalah nak pakai baju sejuk segala. Kasut sukan itupun, pihak sekolah yang sediakan. Tak kira acara apa pun, baik bola sepak, bola jaring atau olahraga - kasut itulah yang dipakai mereka. Kami cuba menyiapkan mereka sesempurna mungkin supaya tidak timbul perasaan rendah diri apabila berada di kalangan murid-murid lain di luar. 

Pada pagi hari kejohanan, oleh kerana adanya teknologi internet School-Net yang setelah dipasangkan router maka cikgu-cikgu sekarang boleh berhubung dengan dunia luar melalui WhatsApp dan Facebook segala - cikgu yang mengiringi murid mula mengirim berita dan gambar. Alhamdulillah, rasa sangat bangga dan terharu menerima gambar ini.


Murid lelaki berjaya mendapat tempat ke 7, 8, 13 dan 32 manakala murid perempuan pula mendapat tempat ke 3, 5, 6 dan 7. Satu keputusan yang sangat baik yang setelah dihitung kira melayakkan sekolah kami mendapat Juara Keseluruhan Merentas Desa Peringkat Daerah MSSD Cameron Highlands dan meninggalkan pemenang tempat kedua dengan kurang lebih 50 mata. Alhamdulillah, kegagalan tahun lepas berjaya ditebus tahun ini. Kalau tahun lepas kita hanya mendapat tempat kedua tapi tahun ini cita-cita untuk mendapat tempat pertama telah tercapai. Nampak gayanya, GPK KO kami bolehlah tidur dengan senyuman buat beberapa ketika ini. Hahaha.


Gambar-gambar selepas murid-murid menamatkan larian.





Shaniza yang mendapat tempat ke 3 menaiki podium untuk menerima hadiah. Tahun lepas beliau mendapat tempat ke 2. Tapi tengoklah pemenang tempat pertama dengan kedua tu, punyalah tinggi sedangkan Shaniza ni saiz sebenar dia memang sangat kecil. Oh ya, tahun lepas Shaniza ni kami bawa mewakili daerah ke Peringkat Negeri. Walaupun rezeki tidak memihak kepada dia tapi cukuplah sebagai pendedahan kepada dia. 



Guru besar menerima piala dan piala pusingan :)







Dan diakhiri wajah-wajah juara Kejohanan Merentas Desa Peringkat Daerah MSSD Cameron Highlands 2013. Alhamdulillah... Murid-murid telah membuktikan, "Terpencil Bukan Tercicir" (pinjam tag line SK Ulu Tembeling). Susah macamanapun untuk keluar, kejayaan tetap berjaya mereka genggam. Dan saiz juga bukan halangan. Kalau hendak dikira, anak-anak SKL memang kecil-kecil sahaja. Kalau adapun yang tinggi dan besar cuma seorang dua sahaja.

Sekali lagi, tahniah anak-anak muridku :)

Feb 2, 2013

KEJOHANAN MERENTAS DESA

Salam

Hari Rabu 23 Januari, kami adakan Kejohanan Merentas Desa Peringkat Sekolah. Buat awal-awal sebab nanti nak pilih peserta untuk dihantar mewakili sekolah ke Peringkat Daerah. Bila dah pilih, baru boleh berlatih. Sekarang, yang terpilih tu setiap pagi atau petang memang dah memulakan latihan dah.

Pagi itu, semua murid sudah bersedia. Masing-masing muka semangat. Tapi malam sebelum memang hujan lebat. Jadi, kita dah boleh agak dah jalan yang bakal mereka rentas. Mesti penuh berlumpur. Bak kata guru besar, ini bukan merentas desa lagi dah... ini dah off road dah ni.

Sebab memang ya, setiap murid yang sampai di garisan penamat mesti habis comot. Berlemuih dengan lumpur. Siap ada yang jatuh lagi sebab jalan sangat licin. Dan kalau lari mesti, wajib! tidak boleh tidak kena berkaki ayam. Kalau pakai kasut mesti macam-macam alasan yang diorang bagi. Pernah masa pergi merentas desa peringkat daerah mereka mengadu kaki sakit la, kasut kecik la, kasut besar la, tak sedap la dan macam-macam lagi. Tapi, takkan nak suruh lari berkaki ayam kat luar tu? Sudahlah trek dia jalan tar, jalan batu kebun... mahu atau tidak kenalah pakai kasut juga.




Memanaskan badan.



Amanat daripada guru besar sebelum berlepas.



Muka-muka penjaga check point. Baju semua dah lawa dah tapi kasut memang tidak bolehlah pakai kasut sukan kalau rasa tak nak berhempas pulas basuh kasut - maka but yang dipakai semasa masuk - keluar sekolah itulah yang jadi pilihan. Selamat.

Jarak larian tahun ini ditambah. Tahap dua kena lari sampai kampung Telimau. Sampai jalan konkrit. Dalam kilometer aku tak pasti berapa. Tapi kalau naik motor kurang lebih 30 minit jugak la. Ikut kelajuan juga. Kalau jalan teruk campur sangkut-sangkut boleh lebih daripada itu.

\


Masing-masing dah tak sabar sangat nak lari.


Kat depan sekolah pun dah jadi macam bendang dah. 









Hadiah disediakan untuk tempat pertama hingga ke 5. Selalunya kalau bagi hadiah mesti bagi makanan. Bagi benda-benda yang mereka boleh makan atau guna. Pernah sekali bagi medal tapi belum tentu mereka simpan sebagai kenangan. Entah mana-mana nanti dicampaknya. Aku pernah nampak ada adik-adik kecil yang belum sekolah buat main je medal tu. Pernah juga kita bagi bekas makanan, botol air - yang ini pun okay sebab boleh guna. Lepas tu seminggu tu memang semua sibuk bawa bekal air pergi sekolah. Siang malam pagi petang duk kelek botol air. Tapi seminggu je lah, minggu seterusnya entah botol kemana dah tak tahu.


Wajah-wajah pemenang. Pememang tahap dua kategori lelaki dan perempuan tempat pertama hingga ke empat setiap kategori akan di bawa ke luar bagi mewakili sekolah. Tahun lepas, SKL berjaya mendapat tempat kedua keseluruhan. Daripada itu, empat murid SKL berjaya mewakili daerah ke Kejohanan Merentas Desa Peringkat Negeri yang berlangsung di SEMESTA Raub. Harap tahun ini pun akan membuahkan kejayaan.


Lelaki Tahap 1 


Perempuan Tahap 1


Perempuan Tahap 2


 Lelaki Tahap 2



GPK Ko memberikan sepatah dua kata selepas semua murid tiba di garisan penamat.


 Sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang.



Yang bestnya, hadiah ini selalunya mereka akan kongsi sesama mereka. Bak kata pepatah sedikit sama dirasa. Tak ada istilah, aku menang aku punya. Kadang-kadang kalau gula-gula kita bagi sebijik pun mereka pakat gigit sikit sorang. Lolipop pun boleh main pass-pass. Nak buat macamana, benda-benda macam ni bukan senang nak dapat. Tapi, sekarang ada aku nampak ada orang kampung dah mula berjualan makanan ringan. 


Akhir sekali sebagai penutup terimalah gambar kami. Ada yang tak ada sebab kena pergi kursus dan mesyuarat. Oh ya, ada yang tanya - kalau kursus atau mesyuarat kena keluar ke? Yaaa. Memanglah kena keluar kalau mesyuarat diadakan di luar, di PPD contohnya. Yang paling tak best bila dah masuk lepas tu dapat surat atau emel kata kena pergi kursus. Makanya memang kena keluarlah. Selalunya katalah kalau mesyuarat dalam pukul 1430hrs, kami akan keluar lebih awal sebab bila sampai di luar tu elok-elok je untuk bersiap dan pergi ke PPD. Kadang tu, makan pun tak sempat. Bagi guru lelaki memang mereka keluar sendiri tapi bagi kami yang perempuan kalau kena keluar tengah-tengah minggu tu, terpaksalah mengemis simpati sesiapa yang sudi menemani. Bukan tak boleh keluar sendiri, tapi katalah kan... katalah apa-apa terjadi kat tengah jalan dalam hutan tu. Motor rosak ke, kena kejar anjing ke, bangla kebun wiwit keee... siapa yang nak tolong? Pihak polis pun telah berpesan kepada kami supaya tidak keluar atau masuk sendiri atas faktor-faktor keselamatan.








Sekian.