Jan 19, 2013

SESI PERSEKOLAHAN 2013

Salam,

Dah nak masuk minggu ke empat sesi persekolahan 2013. Alhamdulillah... Banyak yang dah berubah. Paling utama, separuh jalan sudah berturap konkrit. Solar pun dah 24 jam, tapi sejak kebelakangan ini ia seolah-olah memberontak. Mati sesuka hatinya sahaja. Kadang-kadang tengah syok layan Buletin Utama pun dia boleh mati. Gelap. Masa tu nak tak nak terpaksalah masuk tidur. Lepas tu terkebil-kebillah mata. Pejam mata atau buka mata, pandangan tetap sama. Hitam. Tapi waktu dia hidup semula, kita boleh jangka. Agak-agak dalam pukul 8.30 pagi - 9.00 pagi tu mesti elektrik dah ada balik.


Selalunya, kami gerak lepas Asar. Tapi, sebab memikirkan nak kemas rumah dan persiapan segala, maka lepas Zuhur kami dah siap-siap nak masuk dah. Nahhh... inilah dia muatan aku di hari pertama. Dalam bakul tu selimut sebab sebelum cuti bawa selimut keluar sebab nak basuh. Susah nak basuh kat dalam sebab selimut tebal. Kat belakang tu buku rekod pangajaran dan kedatangan, ada buku-buku latihan budak sekali. Haaa, dalam beg tu segala benda ada. Daripada pemadam sampai la sup bunjut adabi. Memang dalam perjalanan pun dah rasa sakit belakang sebab berat sangat.


Hari pertama sekolah, macam yang aku pernah cerita - kat sini kita biasa-biasa sahaja. Guru-guru masuk sehari sebelum sesi persekolahan bermula. Kebanyakan masa dihabiskan dengan mengemas rumah yang berhabuk, berdebu, bersawang dan juga membersih halaman yang penuh dengan tompok-tompok tahi kambing. Pehhh, sekarang ni dah jadi habit pulak kambing-kambing yang banyak itu berkeliaran sewenang-wenangnya dalam kawasan kuarters guru. Pintu pagar dah tutup - tapi ajaibnya esok bangun tidur buka pintu semerbak bau najis dan kencing kambing menyapa hidung. Selepas diselidik, rupa-rupanya kambing ni semua main sarkas. Depa dok lompat ikut pagar belakang yang kebetulannya agak rendah sikit tu. Cisss laaa.

Okay, dah habis cerita kambing. Maka esoknya kita pun pergilah ke sekolah. Bila mula-mula buka sekolah ni, anak murid memang lebih comot daripada biasa. Kulit gelap, rambut panjang mengerbang, ada yang tambah koleksi parut dan sebagainya. Biasalah, bila cuti - semua sibuk main dan kalau tidak ke kebun. Selalunya selepas itu, murid lelaki akan di 'trim' rambutnya oleh cikgu. Kita kasi macam askar terus. Rapat ke kulit kepala. Tapi, cepat pula rambut tu tumbuh semula. Tapi, bila duduk asrama - sekolah sediakan macam-macam. Syampu, sabun, gel rambut, bedak... barulah jernih balik muka bebudak ni semua.

Murid-murid datang, ada yang pakai baju sekolah, ada yang tak. Ada yang lengkap berkasut, ada yang berselipar jepun. Ini murid tahun satu tahun ini, masa ni baru ada 7 orang. Datang sendiri sahaja. Tidak ada ibu bapa yang menemani. Pandai-pandai sendiri - masuk dalam kelas, tunggu je cikgu datang.



Cikgu Fadli sedang membahagikan baju pengawas sekolah. Memang cikgu kena belikan, sebab kalau suruh ibu bapa yang beli. Memanglah tidak terbelikan. 



Ini kejadian biasa. Murid tahun 1 yang tidak pernah masuk Pra - selalunya dari Kampung Telimau dan Kampung Cenan Cerah - tidak biasa dengan suasana sekolah, takut cikgu, tidak faham bahasa Melayu - mesti menangis nak ikut kakak atau abang masuk sekali dalam kelas. Tak nak duduk di kelas sendiri. Ini Nadira ni, memang sampai minggu ni memang tak nak masuk kelas. Menempel di kerusi kakaknya, Julia yang berada di tahun 4. Bila cikgu tegur dia menangis. Ada satu kejadian tu, masa rehat - aku duduk di makmal - dengar suara budak menangis, bila cari tengok dia dalam kelas kakaknya sedang menangis. Kasut stoking semua dia tanggal. Bila Julia pakaikan semula, dia rentap, buka balik. Aku kesiankan Julia, lalu aku suruh Julia pergi rehat - tinggalkan Nadira. Nadira apa lagi terus melolong menjerit sakan berguling-guling atas lantai sampai terpaksa diangkat oleh murid lelaki pulak pergi ke kantin. 



Selepas dua minggu sekolah di buka, baru Rossa dihantar ayahnya ke sekolah. Dibekalkan satu beg plastik berisi beberapa helai pakaian dan selimut buat tidur di asrama. Memang tidak ada baju sekolah. Baju inilah dia pakai beberapa hari untuk ke sekolah. Semasa latihan merentas desa, aku terserempak dengan ayah Rossa lalu saja aku bertanya "Baju sekolah Rossa dah beli ke?" - dalam malu dalam segan dia menjawab jujur, "Belum cikgu, saya tak ada duit." Aku pulak yang jadi serba salah. Niat asal aku sekadar untuk menyapa dia sahaja sebenarnya. Sebab aku tahu, dengan anak seramai 12 orang yang kebanyakannya masih bergantung harap kepada dia untuk makan dan pakai - tiada pula sumber pendapatan - tidak memungkinkan dia untuk mengadakan walau sepasang seragam sekolah untuk Rossa. 



Hari pertama Rossa di sekolah, dia okay je. Sehinggalah waktu balik, aku jumpa dia menangis di tepi sudut bangunan sekolah. Tak tahu kenapa, sedih mungkin. Jadi, aku panggilkan seorang murid perempuan suruh ajak dia balik asrama.

Tapi, walau macamanapun - sesi persekolahan berjalan lancar. Sehingga hari ini, jumah murid yang mendaftar adalah seramai 99 orang termasuk murid pra sekolah. Rutin sekolah bermula semula. Alhamdulillah.





2 comments:

InaAchik said...

kerja2 mengkhatamkan blog ini sdg berjalan dgn bekalan sekotak tisu... huhuuuu...

semoga cikgu bungo lale dlm redha Allah sokmo...

Anonymous said...

Same lah ni.
Dah nak naik lunyai kelopak mate asyik kena tenyeh je huhuhu.

Cikgus,
Tak terkate bangge nye saye pada cikgu-cikgu semua.