Dec 15, 2012

Terkenang-kenang 1


Tak pernah terlintas di fikiran aku bahawa pada suatu masa nanti setelah tamat KPLI akan ditempatkan di tempat sebegini. Paling-paling pun aku ingat dapat sekolah kat kampung-kampung Melayu sahaja. 

Hari pertama aku ke sekolah. Ceritanya begini, setelah berjanji dengan Guru Besar SKL pada masa itu iaitu Encik Ghazali yang kami akan bertemu di rumahnya kurang lebih jam 1000hrs. Jadi, seawal pagi sebaik sahaja sesudah subuh aku bergerak dari kampung. Dihantar oleh bapa saudara. Sampai sahaja di rumah GB, aku berjumpa Fida. Cikgu yang akan ditempatkan bersama aku di SKL. Menurut kata pegawai daripada PPD semasa melapor di BTPN, kami adalah guru wanita pertama yang ditempatkan di sana. Sebelum ini, hanya guru lelaki sahaja. Wah, terasa ohsem pula secara tiba-tiba tanpa terfikir apakah cabaran yang bakal kami tempuhi.

Setelah begitu begini, (GB menghubungi GPK menguruskan motor dan menguruskan rumah sewa kami sewaktu di luar) jam 1400hrs kami berjumpa semula di Shell Ringlet. Masa tu aku nampak segerombolan cikgu lelaki dengan scrembler masing-masing sudah sedia menunggu. Kemudian, ada dua buah motor kecil-kecilan yang berupa sebuah kriss dan sebuah motor honda sedia menanti. Motor cikgu-cikgu lelaki yang katanya diguna apabila kecemasan. Apabila scrembler mereka rosak misalnya.

Aku naik Honda. Dengan helmet macam kulit tembikai. Dan aku pasrah.


Masa tu, hujan renyai-renyai yang kadangkala lebat mengiringi perjalanan. Kata cikgu-cikgu lelaki, biasalah hujung-hujung tahun begini selalu hujan. Jalan pun lecak dan berlumpur, kalau nak betul-betul kering mungkin tengah-tengah tahun. MUNGKIN. 

Aku punya cuak hanya tuhan sahaja yang tahu. Sudahlah sebelum-sebelum ini naik motor pun ala kadar sahaja. Jarang amat. Ini nak kena bawak tempat macam ni, dengan jalan berlumpur sampai betis, dengan batu-batu kerikil, dengan turun-naik bukit. Hoiii... tangan, kaki menggigil-gigil. Berapa kali aku jatuh motor pun tak terkira sudah. Cikgu lelaki pula, bila sampai bahagian yang agak sukar tu adalah mereka tawarkan diri untuk tolong bawa motor kami - tapi aku dan Fida pilih untuk cuba dahulu. Jatuh memang malu tapi kalau bukan sekarang bila lagi bukan? Sampai bila pulak kami nak bergantung pada cikgu lelaki. 

Jadi, begitulah entah berapa kali jatuh tersembam, bangun dan teruskan perjalanan sehinggalah sampai di sekolah waktu sudah lewat jam 1800hrs. Masa kami sampai, sudah ada beberapa cikgu lelaki yang sudah ada di kuarters. Sudah siap masak pun. Kami dipelawa makan. Dengan seluar dan baju penuh lumpur, walaupun malu-malu kami makan juga. Sebab kalau tak makan masa tu maknanya esok pulak baru jumpa makanan. Lepas siap makan kami ditunjukkan kuarters yang bakal kami duduki.

Kuarters tu memang agak huru-hara dan kucar-kacir. Sebab sebelum ini, tidak pernah diduduki. Memang kotor dengan sawang, dengan habuk dan debu. Tapi, pasrah dan redha. Nasiblah kami diberi tilam dan bantal hak kerajaan Malaysia. Malam tu, kami tidur berhmpit-himpit. Sejuk. Tilam pun tidak bercadar, lapik dengan kain batik sahaja. Mana yang ada itulah yang kami guna. Penyapu tak ada, apa pun tak ada. Badan pun penat dan sakit-sakit. Lepas mandi dan sembahyang terus ketiduran dalam kedinginan dan kesejukan.



Barang banyak basah. Ini ruang tamu di hari pertama kami tiba di SKL. Manalah nak tahu masa nak simpan baju dalam beg tu kena bungkus dengan plastik dulu. Kita tak ada pengalaman. Lalu kita pasrah kena jemur baju-baju basah dalam rumah di ruang tamu, sambil barang-barang lain berselerakan. Kami buntu. Tak ada orang nak mintak pendapat. Maklumlah, guru perempuan pertama. 

Lepas tu, baru sedar seterika pun tak ada. Bila tanya cikgu lelaki " Kami tak pernah gosok baju pun." Lagi sekali. PASRAH. Pakai baju berkedut patah seribu lapor diri di sekolah. Lagiiiiiii... elektrik yang masa tu guna genset tu tutup tepat-tepat jam 2359hrs. Tidur dalam gelap. Sunyi sepinya amboiiii cengkerik bersahut-sahutan. Alam diam. Aku terkebil-kebil terfikir apalah untung nasib tercampak ke tempat ini. Sobbbb... Lepas tu, bangun pagi enjin pun tak buka lagi maka kenalah bersiap dan mandi segala bertemankan dengan cahaya dari flash hp sahaja. Manalah tahu nak kena bawa lampu suluh. Sob sobbb...

Esoknya, awal pagi lagi aku dan Fida pergi sekolah. Ingat sekolah mula jam 0730hrs macam sekolah-sekolah lainlah kannn. Dengan hari hujan, kain baju kurung basah sekerat. Aku dan Fida sarung selipar bawak kasut dalam plastik dekat tangan. Payung tak ada, pakai baju hujan yang dipakai masa naik motor masuk semalam sahaja. Perlu diingat juga, baju kurung adalah berkedut seribu. Tudung bawal pun berkedut-kedut. Ni nak lapor diri ni. First impression memang GAGAL. Tapi, nak buat macamanaaa.

Tunggu punya tunggu, eh apasal tak ada orang datang lagi ni? Mana cikgu-cikgu ni? Terkontang-kanting aku dengan Fida depan pejabat dalam hujan pada hari pertama persekolahan. Aku duk ingat, hari pertama sekolah mesti penuh dengan budak-budak bermuka ceria, berseri-seri dengan baju baru ditemani ibu bapa masing-masing untuk mendaftar. Tapi tak ada. Sunyi.




Dekat jam 0800hrs baru nampak cikgu lelaki datang. Ohhh, sekolah mula pukul lapan keee? Apasal korang tak cakap? Saja nak kenakan kitorang ke? Rasa malu, rasa loser. Dengan baju dan tudung berkedut. Keyakinan diri pun hilang. Lepas tu baru nampak murid-murid masuk pagar sekolah. Tak ramai pun, dalam belas-belas orang. Tak pakai baju baru. Tak ada ibu bapa. Pakai baju biasa. Selipar jepun. Kaki ayam. INSAF.

Ehhh. Takkan sikit ni sahaja muridnya. " Takpo, nanti kawe gi cari." Kata GPK. Tu diaaa, cikgu kena pergi cari murid pulak. Lepas tu, sikit demi sikit sekolah mulai berwarna. Murid-murid mulai ramai sehingga mencukupkan jumlah yang kurang lebih 90 orang sahaja termasuk pra sekolah. Aihhh, comel benar sekolah ini. Kata aku dalam hati.



Itulah hari pertama aku. Serba sedikit yang aku lalui semasa hari pertama secara rasminya aku bergelar guru. Pun, aku bersyukur sebab dipilih untuk melalui pengalaman yang ini. Setiap tahun, kenangan itu mesti jadi bahan bualan aku dan Fida. 

Selepas itu, kami cuba sedaya upaya menyesuaikan diri. Kami terima apa yang diberi. Kami galas tanggungjawab yang diamanahkan dengan rela hati.



Masa ni, hujan lebat. Ada pokok tumbang. Melintang jalan. Sebab hanya aku dan Fida, kami tak tahu nak buat apa. Perut lapar. Makan roti bekal. Tunggu sekejap kalau-kalau cikgu lelaki sampai. Tak ada. Nak patah balik? Sudah sepertiga perjalanan kami tempuh. Nasiblah tiba-tiba ada orang kampung pun nak masuk, dialah tolong kami sama-sama angkat motor seberang pokok tu. Haaa, dapatlah merasa angkat motor.



Ini pun masa kejadian pokok tumbang. Masa ni hala nak keluar sekolah. Kejadiaan pokok tumbang ni memang sudah jadi kebiasaan bagi kami. Bila hujan lebat, kebarangkalian kejadian ini berlaku adalah tinggi. Inilah sebabnya, hutan-hutan habis ditebang buat kebun. Paip-paip haram berselirat. Yang untung tetap tauke sayur juga.



Ini Ramadhan pertama. Masa ni kami dapat dua PPM ni. Jadilah perempuan kami berempat. Meriahlah sikit. Masa ni, lepas penat lelah kering tekak tolak - angkat motor. Jadi, kami berhenti melepas penat dulu.



Masa lapang, kami berkebun tahu? Ditemani anak-anak murid yang selalu sahaja ringan tulang. Suka bercakap dan ketawa. Kami terhibur.



Hubungan baik dengan orang kampung pun mula terbina. Dapatlah kadangkala merasa makan ubi kayu bakar sedap ni. Lawan pulak dengan kopi. Sejuk-sejuk ni memang layanlah. 



Ni muka anak-anak murid masa hari pertama aku dan Fida. Duduk asrama sekecil usia 7 tahun. Kalau anak awak, awak bagi tak duduk asrama? Awak agak dia pandai tak nak mengurus diri? Tapi, keadaan memaksa mereka. Kalau tidak duduk asrama, kena tempuh perjalanan 2 jam lebih setiap hari ke sekolah. Kalau pergi balik 4 jam. Lalu, tidak hairanlah kalau sebelum kewujudan asrama, masalah kehadiran memang serius. 

Beberapa bulan awal, aku dengan Fida terpaksa tidur di asrama. Bersama mereka. Sebabnya, ada murid tiba-tiba pengsan dan meracau. Yang lain pun ikut menangis sebab kata mereka nampak hantu berkeliaran di kawasan sekolah. Jadi, dalam berani-berani takut itu - tidurlah kami di asrama bersama mereka ini. Pagi-pagi dalam jam 0600hrs kami balik ke kuarters untuk siap-siap ke sekolah. Rutin ni berjalan beberapa bulan lamanya sebelum reda kisah hantu tersebut. Bila mereka sudah mula dapat menyesuaikan diri.




Cikgu lelaki pun punya aktiviti sendiri. Rupa-rupanya mereka bukan sahaja punya kolam ikan bahkan turut membela kambing dan itik juga. Petang-petang hari, nampaklah mereka halau kambing masuk reban. Gambar ni masa operasi menaikkan ikan. Kami ingat mereka berbondong-bondong kemana sahajalan selepas latihan merentas desa tu, rupanya ke kolam ikan. Kagum aku dengan cikgu lelaki ni. Pandai mereka cari hobi. Iyalah, kat dalam tu apa sahaja yang boleh dibuat waktu siang selepas sekolah. Nak tengok tv, enjin hanya akan dibuka pada jam 1900hrs sahaja. Petang-petang cikgu lelaki ni akan main bola atau main futsal dekat padang depan kuarters. Kadang-kadang lawan dengan orang-orang kampung, kadang-kadang lawan sesama sendiri.

Malam selepas operasi menaikkan ikan itu, maka kami makan ikan bakar sebagai juadah makan malam. Cikgu lelaki ini tidak kekok buat semua dari siang ikan, perap ikan dan bakar ikan. Aku dan Fida jadi tukang makan sahaja. Tapi, betul - cikgu lelaki ni semua pun boleh buat. Kalau kambing tu daripada sembelih sampai jadi juadah hidangan atas meja pun mereka buat semua. 



Kami pun sudah jumpa hobi kami. Buka saloon di sungai. Hahaha. Selalunya, kami ajak murid asrama mandi sungai. Sambil tu kami kasi syampulah rambut mereka tu. Biar wangi dan terurus sikit. Tapi, esoknya rambut mereka jadi kering dan mengerbang. Hahaha. 



Kadang-kadang kami jalan-jalan keliling kampung. Naik atas rumah dan sembang-sembang. Walaupun mereka agak pemalu, tapi lama-lama tu okaylah. Bak kata pepatah tu, masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau mengaum.

Jadi itulah dia, diam tak diam pun januari ni masuklah tahun keempat aku di sana. InsyaAllah akan lebih bersemangat waja dalam mendidik anak-anak orang asli ni. Bak kata diri sendiri, selagi khidmat masih diperlukan selagi itu kami rela berjuang. 

Peace!






9 comments:

norizan said...

Syabas cikgu. Tuliskan pengalaman anda mendidik anak orang asli. Lapor juga kemajuan atau ketidak kemajuan mereka. Nanti boleh tulis buku macam apis. :)

Aini Faizi Jaslan said...

Tahniah nisa.. Kalau aku dengan x tau bawak motornya.. Semoga Allah sentiasa melimpahkan rahmatNya kepadamu..

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Cikja said...

Sangat kagum dengan cikgu..
dan cerita ini ada lucunya..mcm nak menikmati pengalaman sama..tahniah cikgu dan salam perkenalan.

Cikja said...

Sangat kagum dengan cikgu..
dan cerita ini ada lucunya..mcm nak menikmati pengalaman sama..tahniah cikgu dan salam perkenalan.

nazha anua said...

koolnya..harap dapat kongsi lagi pengalaman macam ni..

memang rare pengalaman ni..best dapat baca

.::: Princess MOMOY :::. said...

Salam cikgu. terhibur momoy baca entry cikgu ni. rasa insaf datang tiba-tiba. maklum lah dulu momoy bersekolah menengah budak-budak nakal. ingatkan tak jadi orang. tapi Alhamdulillah spm ok then masuk U . sekarang bekerja di oil and gas. bila baca entry ni rasa insaf sangat. kalau boleh putar waktu, tak nak momoy bazirkan masa sekolah dulu dgn malas belajar dan nakal2. hehe

Mrs Jun said...

pengalaman yang sangat berharga... teruskan menulis cikgu, ramai yang sudi baca