Dec 11, 2012

UPSR 2012




Baiklah setelah sekian lama, maka hari ini aku nak kembali bercerita. Oleh itu, mari kita mulakan dengan keputusan UPSR 2012 ya.

Seperti yang semua tahu, keputusan UPSR tahun ini diumumkan sewaktu cuti sekolah. Jadi, masa hari Anugerah Kecemerlangan hari itu – meriahnya seakan tidak dirasa. Sebab tidak ada acara kemuncak. Macam  tak ada apa yang hendak diraikan. Walaupun ada penyampaian hadiah lain tapi meriahnya tidak sama. Maklumlah sekolah kecil macam ni, ada tidak hadiah yang kami sampaikan pun cumalah hadiah untuk kedudukan tempat nombor satu hingga tiga di dalam kelas, kehadiran terbaik, pelajar asrama terbaik dan penyampaian sijil-sijil pengawas, pengawas pusat sumber, TKRS dan sijil-sijil yang berkaitan yang lain. Dan, diselang-selikan dengan persembahan nyanyian dan tarian daripada murid-murid yang mana aku dan Fida bertungkus-lumus siang dan malam melatih mereka. Hmmm, sebenarnya macam yang aku pernah cerita. Tak susah nak latih mereka kalau bab-bab macam ni, memang cepat je mereka boleh ingat step dan lirik. Tapi, cubalah kalau belajar – suara kita sampai ke oktaf paling tinggi pun belum tentu mereka boleh faham dan ingat. Sampai berair biji mata pun belum tentu mereka boleh terima.

Jadinya, masa hari keputusan akan diumumkan yang mana aku sudah berada di Tanah Tinggi sejak malam sebelumnya lagi. Terpaksa naik ke Tanah Tinggi di musim cuti. Iyalah, nak cuti pun tak rasa aman dan tenteram. Sibuk dan galau hati duk ingat macamanalah keputusan budak-budak ni. Teringat target daripada PPD lagi. Huiii, memang permulaan cuti yang agak menyusahkan hati tahu?

Pagi-pagi 19 haribulan itu, aku dan Hanis memulakan perjalanan masuk ke sekolah. Fida tidak dapat ikut sebab dia kena pergi Kuantan untuk berkursus. Lepas beli nasi lemak tiga bungkus kami pun bergerak masuk ke sekolah. Ehhh, kejap. Kenapa nasi lemak tiga bungkus? Hahaha, satu untuk aku, satu untuk Hanis dan satu lagi jadi rezeki Wak Re dan Cho yang tolong aku kemas rumah pagi tu. Maklumlah masa hari terakhir sekolah tu banyak baju yang tengah sidai di ampai dalam rumah kan. Baju-baju yang murid guna untuk persembahan pun aku siap basuh dan sidai dalam rumah sahaja. Tinggal lagi nak kena kutip, lipat dan simpan dalam almari elok-elok.

Masa tengah perjalanan tu, dugaan pertama kami musim cuti nilah – ada pokok tumbang. Nasib juga masa tu ada beberapa orang asli sedang sibuk cuba alihkan pokok tu. Sebab betul-betul melintang atas jalan. Hanis pun tolong juga. Aku pun tolong. Tolong tengok dan ambil gambar sahaja.

Sesampai di sekolah, murid-murid dari 3 buah kampung termasuk kampung yang terletak agak jauh dari sekolah sudah tiba. Termasuk dengan ibu bapa mereka sekali. Terus aku pun rasa semangat dan sedikit terharu dengan komitmen mereka. Tapi, aku pergi kuarters dulu - ajak Wak Re dan Cho kemas baju dahulu. Siap mandi dan makan nasi lemak baru ke sekolah. 

Sebab lama sangat menunggu, sempat lagi pergi tengok tv di pusat sumber sekolah. 

Sebahagian murid dan ibu bapa masing-masing selepas mendapat keputusan.

Kalau sekolah luar, dalam jam 1000hrs keputusan dah boleh dapat kat sekolah kan? Tapi sebab kita ni pedalaman, guru besar dan GPK masuk pun jam dah dekat pukul 1300hrs. Kesian murid dengan ibu bapa yang menunggu dari pagi.

Walau macamanapun, Alhamdulillah dan syukur sangat-sangat dengan keputusan UPSR tahun ini. Kalau tahun lepas, 2 daripada 7 murid lulus semua matapelajaran dengan keputusan terbaik 2A 2B 1C – tahun ini daripada 14 orang murid, 9 murid telah lulus semua matapelajaran! Memang wowww sangat, dan syukur sangat. Murid terbaik jatuh kepada Awit dengan 3A 2B, lepas tu Risit pun dapat 2A 3B, Cho dapat 2A 1B 2C dan Yohairi dapat 1A 1B 3C. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.



 Awit dengan keputusannya. Pelajar cemerlang UPSR SK Lemoi 2012 dengan 3A 2B. Alhamdulillah...

Murid tahun 6 dengan keputusan masing-masing. Sebagai ganjaran, pihak sekolah telah memberikan hadiah berupa wang tunai RM100 kepada murid cemerlang dan RM50 untuk murid yang lulus semua matapelajaran.


 Awit dengan ayahnya. Bah Sairun. Sepanjang aku mengajar kat sini, ayah Amit ni akan selalu datang untuk setiap program yang sekolah anjurkan. Daripada gotong-royong sehinggalah ke majlis anugerah, semua pun dia datang untuk sokong anak dia. Kadang-kadang kalau masa anak dia buat persembahan sama ada menyanyi atau menari, dia mesti tengok dengan bangga. Siap ternganga mulut lagi tu. Aku yang tengok pun kadang-kadang ikut terharu sama. Kahkahkah. Maklumlah, aku ni kan sentimental.

Kami pun ambil kesempatan untuk ambil gambar kenangan dengan murid-murid tahun 6 ini. Yalah, ini mungkin gambar terakhir kami bersama. Lepas ni, bila mereka dah sekolah menengah di luar tu, bila sesekali balik - dah malu dah nak tegur cikgu. Dah tak nak rapat-rapat dengan cikgu dah pun. Kalau yang lelaki tu siap buat-buat tak nampak lagi dah. Malu sangat. Tapi, kalaulah terserempak dekat luar contohnya kalau pergi mesyuarat atau kursus di Tanah Rata tu - kemain seronok mereka panggil kita. Punyalah teruja, lepas tu datang dekat siap peluk-peluk (eh, perempuan sahajalah) lagi. Tapi, bila balik kampung nak nampak muka pun payah.

Rasa penat dan lelah selama ini terbayar sudah. Rasa nak mengalir air mata bila GB umum keputusan. Memang langsung di luar jangkaan. Apa yang lebih membanggakan aku, untuk matapelajaran Sains yang aku ajar ni hanya seorang murid gagal iaitu Arjun. Dia dapat D. Well, matapelajaran BI pun hanya dia seorang yang gagal. Dan mengekalkan keputusan 100% adalah matapelajaran Matematik. Tahun lepas pun Matematik dapat 100%.

Dengan keputusan ini, maka segala penat lelah memang tidak terasa. Tak rasa dah penatnya lepas habis sekolah terus siap bergegas untuk kelas petang. Lepas kelas petang, balik rehat makan dan solat maghrib lepas tu ke kelas malam. Fotostat lembaran kerja beribu-ribu, latih tubi berset-set. Kerja rumah bergantang. Jatuh motor bangun semula. Sakit luka. Penat. Kecewa. Suara pun hilang, sabar sampai ke kemuncak, tensen sampai sakit kepala – tapi akhirnya mereka bayar dengan kejayaan ini. Sangat manis bukan?

Ini gambar murid yang lulus semua matapelajaran menghadap baginda sultan. Sultan Pahang berkenan untuk memberi hadiah kepada murid-murid orang asli yang cemerlang dalam UPSR. Tapi, majlisnya itu beberapa hari selepas pengumuman UPSR - jadi, nasib baik ada cikgu yang masih ada di Tanah Tinggi masa tu. Terpaksalah masuk ke sekolah untuk mengumpulkan dan membawa keluar mereka. Bila dah sampai di luar, kena tinggal kat rumah cikgu dulu sebab majlisnya hanya akan berlangsung pada keesokan harinya. Sebab jauh kan, kenalah keluar sehari sebelum. Lepas tu dah dapat hamper tu, baliklah semula ke kampung - jalan kaki dengarnya sebab tak ada kenderaan nak bawa masuk.


Apapun, cikgu doakan yang terbaik untuk kamu semua. Semoga kamu sambung belajar di sekolah menengah dan habiskan pelajaran kamu setinggi yang boleh.

InsyaAllah, semoga aku tidak akan jemu - tidak akan putus asa untuk mendidik mereka menjadi manusia berguna setidak-tidaknya untuk diri dan keluarga mereka. Doakan...


3 comments:

Kay said...

ah... nangis la plok...

tahniah utk mereka semua!

lepas UPSR mereka sambung ke mana?

kat sana ada line internet eh?

Anonymous said...

rasa cam nak nangis bace entry ni.. terharu sangat, lebih-lebih lagi tengok muka diorang yang innocent tu..
ok, rase nyesal plak x amik dgree pendidikan dulu... bestnya dapat jadi cikgu...

btw, tahniah buat cikgu dan cikgu2 disana sbb berjaya mendidik anak2 org asli disana dan tahniah pd mereka2 semua...

fsj said...

rase nk nanges bace entry ni.i can feel u.im a teacher too. :')