Feb 5, 2012

SAIFUL

 

Ini Saiful. Umur Saiful 7 tahun. Saiful masuk tahun 1 tahun ini. Awal minggu persekolahan, Saiful seorang murid yang ceria. Matanya bersinar-sinar dan dia suka bercakap. Sehingga suatu hari, di petang yang hening - semasa aku dan murid-murid perempuan tahun 4, 5 dan 6 sedang menjalani latihan bola jaring. Diatas padang rumput (tempat kami main bola jaring court simen) di sebelah tempat kami bermain-main bola jaring itu, murid lelaki sedang ria gembira mengejar bola sepak. Hiruk pikuk dan riuh rendah dalam formasi yang mereka ciptakan sendiri. Oleh kerana padang kami sebelah-sebelah sahaja, maka selalu pula bola mereka jatuh tergolek-golek ke padang kami yang agak terkebawah sedikit. Kadang-kala kalau tidak murid perempuan menahan, bola mereka boleh sahaja masuk ke kawasan sekolah kalau pintu pagar terbuka luas. Sebalik pagar itu pula, jalan menuruni bukit yang boleh buat bola meluncur laju.

Berbalik pada cerita Saiful a.k.a Bah Kembei ini, entah kenapa hari itu dia begitu teringin mengejar bola yang tergolek dari padang bola sepak itu. Nasib Saiful memang malang hari itu, tahu-tahu sahaja Saiful sudah tertiarap di tangga batu di pintu pagar yang luas terbuka. Saiful meraung. Kami berlari mendapatkannya. Dahinya sudah bocor, berdarah dan dia menangis tersedu-sedu. Kakaknya lalu meriba dia, kakaknya yang seorang lagi memegang tangannya dan menyabarkannya dalam bahasa mereka. Kawan-kawan yang lain mula mengerumuni, darah menitis-nitis daripada dahinya. Aku mencucinya, membasuh lukanya, meletakkan ubat dan memujuknya. Lalu, minggu depannya dia tidak ke sekolah selama seminggu.

Minggu seterusnya, dia datang ke sekolah. Tapi, dia sudah berubah. Dia tidak lagi ceria. Dia selalu menangis tidak kira waktu, kadang-kadang satu pagi pun beberapa kali dia menangis memanggil-manggil emaknya. Kadang-kadang memanggil nama abangnya. Dia tidak mahu masuk kelas. Dia mengekor abang atau kakaknya di kelas mereka. Apabila cikgu menyuruh dia masuk ke kelasnya, dia menggunakan senjatanya yang nombor satu - air mata. Dia akan menempek di kerusi sebelah abang atau kakaknya sepanjang hari persekolahan. Kadang-kadang bila masa aku, aku pergi cari dia dan pujuk dia. Pujuk lembut tak jadi, aku pujuk secara ganas berbekalkan sebatang rotan. Pun dia tidak peduli, dia menangis mengongoi-ngongoi hingga sesiapapun yang mendengarnya akan merasa sayu. Aku pun tidak sampai hati.

Kemudian, abang atau kakaknya akan menemani dia ke kelas. Kesian pulak abang dan kakaknya terpaksa tinggal kelas. Ini tidak boleh jadi, bila suruh abang atau kakaknya meninggalkannya di kelas - dia menangis lagi. Puas aku pujuk, dia tidak mahu dengar. Lalu minggu berikutnya, aku beli banyak gula-gula dan coklat. Aku rasuah dia. "Kalau Saiful masuk kelas, cikgu bagi cekelat." kataku, secara berhemah. "Tak nak." Katanya. Amboi... Entah kenapa suatu hari, hati dia terbuka mengizinkan abangnya meninggalkannya di kelas apabila aku manayangkan lolipop masam. Pun, muka masih tercebik-cebik bila kena tinggal. Aku ajak dia ke meja aku, dengan mulut ternganga menangis ala-ala manja itu dia datang dekat aku. Rupanya, dia nak dimanjakan, lepas tu setiap kali aku jumpa dia menangis bila aku hulur tangan sahaja dia datang dekat. Kemain kan? Tapi, mana boleh layan lama-lama. Hahaha... (Gambar kat atas tu masa Saiful ikut kakak dia masa kelas Sains aku, kau tengok... dia duduk di kerusi aku kan? Manja ni...)

Yang buat aku tersentuh, pada suatu hari selepas aku berikan dia cekelat dan dia berdiri di sebelah aku di meja guru dia bertanya... "Cikgu, hari apa saya boleh balik?" Aku tersentak. Sungguh, pertanyaan itu luar biasa bagi aku. Kerana dia bertanya 'hari apa?' bukan 'bila?' dan dengan nada dan intonasi yang betul pula tu. Dia seorang yang cerdik bagi aku. Kawan-kawan ketahuilah, murid tahun 1 di awal persekolahan di sini adalah sukar untuk memahami bahasa Malaysia apatah lagi menyoal dengan sekali nafas dengan teratur pula tu. Ada tu, aku suruh angkat tangan pun dia tak faham sehinggalah untuk sesetengah arahan kepada sesetengah murid aku perlu menggunakan bahasa isyarat. Aku jadi tersentuh dengan pertanyaan tulus Saiful itu. Aku kadangkala mungkin terlebih sentimental. Hahahaha.

Sekarang, Saiful sudah jarang-jarang menangis. Saiful pun sudah lekat di kelas. Malah, Saiful sudah menghafal ABC dan lagu ABC walaupun sebenarnya Saiful masih lagi belum kenal dan mengecam 26 abjad tersebut. Tak apalah, kita pelan-pelan ye Saiful. 

Ini gambar Saiful masa sesi latihan merentas desa minggu lepas. Tengok muka Saiful macam sangat bersemangat bukan? Siap pegang dan bawakan baju kawan-kawannya lagi. Sampai 3 lai tu...


Ini Saiful masa hari Merentas Desa hari tu. Bersemangat kan dia? Terharu aku tengok. Sungguh-sungguh dia lari tahu dan tiba di kaunter penamat dengan muka masih senyum hulurkan kad cek pointnya kepada aku.

P/S: Saiful tinggal di asrama. Jadi, itu mungkin boleh jadi alasan kenapa dia selalu menangis. Barangkali rindu emak ayahnya.

Sekian.

6 comments:

ayu jamal said...

sah..ayat2 ko di entry ni sumenya besy.. nape ko x jadi penulis?

ctgvilla said...

kesian tgk muka saiful ni.

nqr said...

pas abis baca kisah saiful ni.. me and ecah kat ghana leh whatsapp gambar muka nitik air mata memasing ok.. i want to meet saiful :) auntie will give u lolipop tak masam nanti :)

kak bett said...

adoii...menitik air mata aku baca entry nih..mengenangkan aku ada aak lebih kurang sebaya..tak boleh nak imagine anak aku kecik2 dok asrama..adoii saiful..tabah sikit yer nak...belaja pandai2..nnt bole tolong mak bapak saifulladoii..aku da meleleh ayor mata nih..pehal sedey sangat aku pon tak tau...

Anonymous said...

sedang marathon blog cekgu bungo lale dan kononnya tak mau komen selagi tak khatam. tapi entry ni buat saya tak tahan.

doa saya untuk saiful & anak2 cekgu yg lain. cekgu, sesungguhnya anda insan terpilih. sebesar2 rahmat allah untuk cekgu. amin ya rabb.

-saliz-

Anonymous said...

sy pon tgh marathon sume n3 cikgu ni......terharu,lawak,sedih sume ad bile bace....sy suke sume n3 cikgu....tahniah cikgu....hope cikgu dpt truskn perjuangan cikgu.....

salam hormat dr sy...
nazirul sepang