Jan 17, 2016

HAI 2016!

Assalamualaikum w.b.t,

Alhamdulillah, masih diberi peluang untuk menabur bakti di sini lagi tahun ini. Iyalah, macamana tak diberi peluang kan? Borang eg tukar pun saya tak pernah isi, ada tak ada kalau rasa tergugat sikit tu masa orang duk sibuk-sibuk kena pertukaran dalam daerah sahaja lah. Tapi, setakat ini... masih saya teguh di sini. Hahaha. Sementara masih tiada komitmen yang menuntut, apalah salahnya saya memberi sebanyak-banyaknya kan?

Jadi, termasuk tahun ini - ini kali ketujuhlah saya bersiap-siap untuk masuk ke sekolah di awal tahun. Dah tahun ke tujuh dah saya kat sini rupanya. Kalau ada anak, anak saya dah masuk sekolah dah tahun ini. Hmmm.

Kami semua naik ke Tanah Tinggi pada 2 Januari, mesyuarat awal tahun pada tahun ini kami menumpang Bilik Mesyuarat di SK Convent sahaja dan diakhiri dengan acara makan tengahari di Century Pines Resort sahaja.


Barisan guru dan staff SK Lemoi 2016. Line up sama macam tahun lepas. Tak ada yang dapat berpindah keluar dan tak ada guru yang baru masuk.


Esoknya, pada hari Ahad maka bergegaslah kami bergerak masuk ke sekolah. Tapi saya dan Faizah singgah dahulu di Bengkel Motor Panjang yang terletak di Jalan Bertam Valley, laluan untuk ke sekolah juga. Motor saya memang perlukan rawatan sejak akhir tahun lepas lagi, tapi saya duk bertangguh untuk tunggu juga awal tahun ini. Biar buat sekaligus sahaja. Walaupun hari terakhir persekolahan 2015 hari itu, motor saya macam tersengguk-sengguk dah, macam dah nazak sangat masa tu.

Serah je kat leng chai, "Buatlah semua." Kata saya. Sudahnya, tukar tayar belakang yang botak licin,tiub, brek lining, spoket, minyak hitam, plug etc etc. "RM156.90 sen." Kata dia. Tak banyak bunyi, saya hulur je duit. Oleh sebab dia pun nak berkira tak nak bagi diskaun sedikit pun, maka saya pun tak cakap "Keep the change" padahal baki RM0.10 je lagi. Tapi, saya syak kalau Panjang (yakni ayah kepada leng chai) tersebut ada di bengkel, boleh je dia bagi diskaun kat saya RM0.90 tu. Hmmm.



Dah siap baiki motor, kami berdua patah balik ke Bertam Valley. Pergi pasar malam. Beli apam balik dan ayam-rebus-panggang sikit sikit- madu sebagai bekal untuk makan malam nanti. Nak beli nasik tapi kedai masih tak banyak buka. Mungkin hari masih awal untuk sebuah tempat yang namanya "Pasar Malam" berfungsi sepenuhnya. Kena beli benda makan juga sebab hari pertama di sekolah, jangan haraplah dapur nak berasap. Banyak kerja lain nak kena dahulukan. Kemas rumah yang bersawang setelah sebulan lebih ditinggalkan misalnya.

Kemudian, kami meneruskan perjalanan. Oleh kerana sekarang musim panas dan hujan pun sudah sekian lama tidak datang menziarah, maka jalan adalah InsyaAllah 100 persen selamat. Dan Alhamdulillah, mana-mana tempat yang runtuh tahun lepas telah diturap jalannya, pendek kata hampir semua jalan yang menguji ketahanan tahun lepas telah diturap semuanya. Syukur sangat.




Sampai di kuarters, As dan Zura pun sudah hampir selesai kemas rumah. Kebanyakan guru lelaki pun sudah awal-awal lagi sampai. Semua sibuk kemas rumah. Rumah ni tinggal seminggu pun sudah cukup bersawang berdebu macam tak ada orang pernah duduk, apatah lagi kalau sebulan lebih ditinggalkan. 

Jadi, selesai urusan kemas bilik dan pentadbiran diri termasuk menggosok baju untuk dipakai keesokan harinya; kami pun menikmati apam balik dan ayam-rebus-panggang sikit-sikit - madu sebagai makan malam kami sambil bersembang sebelum tidur.

Maka dengan itu, tamatlah hari pertama kami di sekolah pada tahun ini. Tak sabar nak tunggu sekolah esok.

Sekian.


1 comment:

Kay said...

amboi cite pasal anak plak skrg :D