Nov 15, 2015

JURA


Assalamualaikum w.b.t.

Dua minggu lepas, semasa hampir semua orang kampung serbu sekolah untuk melihat sesi uji bakat bagi melayakkan diri ke Pertandingan Karaoke yang dianjurkan oleh pihak sekolah, saya jumpa bekas anak murid saya yang baru tahun lepas menamatkan sesi sekolah rendahnya ; Jura.

Gadis kecil hitam manis yang telah saya ajar didik sejak dia berusia lapan tahun kini telah bertumbuh menjadi gadis pingitan yang sangat pemalu. Sejak dahulu dia jarang benar bermanja-manja dengan saya walaupun sebenarnya semasa dia di tahap 1 persekolahan saya selalu memanjakan dia, mendukungnya serta mencubit-cubit manja pipi dia. Dia masih tebal dengan sifat malunya. Apabila saya ajukan soalan;

'Jura... kenapa berhenti sekolah?'

Muka Jura terus memerah dan dia sembunyikannya di belakang kawan-kawannya tanpa mahu menengok saya. Walaupun kawan-kawannya mendesak supaya dia menjawab soalan saya, malah ibunya yang kebetulan berada di situ juga ikut sama menyuruh dia menjawab. Namun, saya tidak mendapat sebarang jawapan daripada dia pada hari itu.

Saya tidak pasti sejak bila, tapi saya tahu dia sudah beberapa bulan tidak ke sekolah menengah. Daripada anak-anak lain yang masih bersekolah, cerita mereka; Jura malu apabila ada murid Cina di sekolah menengah kata dia hitam. Walhal sebenarnya, kulit dia tidaklah hitam gelap melainkan hitam manis yang sedap dipandang mata. Jura yang sejak azali sangat pemalu dan kurang keyakinan diri terus tidak ke sekolah lagi semenjak itu. 

Bila balik ke kampung, dia sembunyi di rumah saudaranya kerana menurut cerita dia dimarah dan "bergaduh" dengan ibunya kerana dia tidak mahu bersekolah lagi. Sedangkan ibunya yang muda itu menaruh harap yang tinggi kepadanya memandangkan dia anak yang sulung.

(Ini sebenarnya menjawab, kenapa mereka sejak kecil lagi perlu bersusah payah menempek krim fair & lovely atau temulawak semata-mata untuk mendapatkan kulit wajah yang putih. Sehinggakan sampai naik kelabu mukanya kerana bagi mereka putih itu cantik)

Sebab kedua yang mungkin benar yang menyebabkan Jura berhenti sekolah yang saya dengar dari mulut anak-anak, dia malu untuk ke sekolah kerana ayahnya tidak mempunyai motorsikal. Anak-anak yang bersekolah menengah akan tinggal di asrama di Tanah Rata. Hanya pulang ke kampung dua minggu sekali sahaja. Yang ada motorsikal, akan jemput anak-anak mereka di asrama. Tapi, keluarga Jura agak lebih susah daripada orang lain. Rumahnya kecil, ayahnya kerja kebun ibarat kais pagi makan pagi sahaja. Ibu tidak bekerja, tinggal di rumah mengurus adik-adik kecilnya yang berderet. 

Balik ke kampung setiap dua minggu adalah perjuangan bagi anak-anak murid yang bapa mereka tidak punya motor sendiri atau motor rosak atau tak ada duit buat isi minyak. Bukan sekali dua saya terserempak mereka bertebaran di Pekan Tanah Rata; mencari tumpang motor orang-orang kampung yang keluar ke pekan. Jika bernasib baik, bolehlah balik. Jika tidak, terpaksa menumpang rumah saudara terdekat yang saya pasti bilangan isi rumah sudah lebih daripada 10 orang. Perit.

Kalau yang ada motor pun, berdepan masalah lain pula. Apabila adik beradik yang masuk sekolah menengah mula meningkat dari seorang menjadi dua orang dan seterusnya tiga orang, dengan sebuah motor? Kalau dua orang boleh gagah lagi. Namun perjalanan dari Tanah Rata ke Ringlet itu pun bukan dekat, apatah lagi 18km lebih lagi daripada jalan raya utama ke kampung. Menempuh jalan konkrit tidak rata, tanah runtuh, jalan berbatu dan bukit bukau. Susah.

Kadang ada yang mengeluh; nak ambil anak sekolah tapi duit tak ada hendak isi minyak motor. Yang ada anak lebih daripada seorang terpaksa buat dua trip. Trip pertama lepas balik ke kampung, trip ke dua minyak sudah tidak cukup pun ada juga. Kesian. Bagi yang hidup tanpa ada sumber kewangan yang tetap macam kebanyakan penduduk di sini, yang kais pagi makan pagi dan seadanya sahaja; semua ini adalah beban buat mereka. Namun, apa hendak di kata. Hidup mesti terus, bak kata Batin Zainal. Dan seboleh-bolehnya, selagi anak mahu - mereka akan tetap menyekolahkan anak-anak. 

Cerita Jura tadi. Sebelum ini, saya pernah usaha cari Jura di rumah saudaranya. Sahaja hendak bertanya khabar dan kalau dia makan dipujuk. Tapi, kebetulan dia ketika itu sedang mandi di bilik air berdindingkan zink di luar rumah saudaranya; enggan keluar walaupun berkali-kali dipanggil oleh anak-anak murid yang menemankan saya pada petang itu. Jadi, usaha saya gagal.

Sehinggalah dia datang ke sekolah, menonton orang-orang kampung yang menjalani ujibakat tersebut; saya masih gagal membuatkan dia bersuara. Saya jadi serba-salah untuk terus-terusan mendesak dia bila kebisuannya mula berganti air mata. Haihhh...

Sekian.


1 comment:

The Reluctant Shopper said...

Sayu saya membaca cerita ttg Jura. Saya yakin terdapat ramai 'Jura' di luar sana. Jurang ekonomi smkn meluas di klgn rakyat jelata, perasaan rendah diri x dpt dielakkan melainkan jika anak2 diberi bekalan jati diri yg secukupnya. Bagi anak2 spt 'Jura', sikap pemalu itu perlu dijinakkan, tapi rasanya bkn oleh 'org2 tua' spt kita. Jura memerlukan sahabat baik yg memahaminya. Dia perlu bergembira. Semoga Jura akan berjaya mengatasi segala cabaran dlm hidupnya.