Nov 15, 2015

TANAH RUNTUH

Assalamualaikum w.b.t


Sesiapa yang follow saya di instagram mesti tahu sekarang saya selalu upload gambar berkenaan dengan tanah runtuh di satu kawasan jalan utama kami masuk ke sekolah. Saya tidak ingat sejak bila, tapi yang pasti dah lama dah bukit itu runtuh.

Kejadian bermula pada suatu malam Jumaat - hujan turun dengan lebat tidak berhenti-henti. Esoknya, semasa kami hendak keluar - bukit betul-betul di tepi sebuah rumah penduduk orang Asli dalam perjalanan kami runtuh ke jalan utama. Hendak tak hendak, mahu atau tidak - kami terpaksa memanjat tanah (bukit) runtuh itu bersama-sama dengan motor. Susah-payah dan berjerih-perih. Sebabnya, tanah lumpur itu pekat likat dan banyak pula tu.

Dari hari ke hari, keadaan kawasan itu semakin teruk. Walaupun usaha menolak runtuhan itu ke tepi, namun sebenarnya kesan tanah runtuh itu telah merebak ke jalan. Sedikit demi sedikit. Walaupun tidak hujan, kawasan tersebut sentiasa menjadi laluan air kerana paip kebun di atas bukit itu telah pecah. Jadi, aliran air memang langsung tidak dapat dihentikan.

Usaha-usaha membaiki kawasan itu kelihatannya ada. Namun, tidak lama kemudian; habis segala tembok dan benteng yang dibina dibawa pergi oleh tanah. Semakin lama menjadi semakin ngeri. Kadang, laluannya cuma elok-elok untuk tayar motor kami sahaja. Pandai-pandailah imbangkan badan, pandai-pandailah pilih tempat untuk berpijak. Dan, doa jangan lupa. Hanya kepada DIA kami berserah.

Alhamdulillah. Setakat ini, tiada kejadian yang tidak diingini berlaku. Dan pacuan empat roda juga masih boleh bebas keluar masuk melalui kawasan ini. Sehinggalah pada minggu lepas, boleh dikatakan hujan sepanjang minggu. Setiap hari, bersambung-sambung ke malam. Lebat pula.


Ini gambar Jumaat sebelum cuti. Laluan semakin mengecil. Kelihatan orang kampung sedang dalam perjalanan keluar untuk menjemput anak-anak yang tinggal di asrama kerana bersekolah menengah di Tanah Rata.



Tengoklah berapa dalam lumpurnya sampai KLX pun boleh sangkut dalam selut itu. Dan untuk menaikkannya memerlukan 5 kuasa lelaki. Okay, 5. Jadi, saya kira ini boleh menjawab persoalan kenapa kami yang perempuan ini tidak menggunakan KLX juga. Cukuplah KLX, kalau sangkut pun - kami bertiga boleh uruskannya dengan izin Allah swt. Iya, kerana kadang kala kami dibenarkan keluar lebih awal daripada guru lelaki jika cuaca dan keadaan jalan teruk. Ataupun, ditengah-tengah minggu terpaksa keluar sendiri kerana ada kursus atau mesyuarat atau bengkel yang perlu dihadiri.



EX5 kesayangan kami. Beliau kuat, tahan lasak dan lebih ringan daripada KLX. Agak mudah untuk diuruskan. Kecualilah, jika tayar pancit ditengah-tengah hutan, atau mati tiba-tiba atau brek sangkut - memang terpaksa minta tolong atau tunggu cikgu lelaki juga menghulur bantuan.



Kejadian minggu lepas. Ketika saya sedang mengambil gambar kawasan tanah runtuh, dan kawan saya ini lalu. Tiba-tiba dia hilang kawalan dan jatuh betul-betul di hadapan saya. Ya ampun, saya sempat ambil gambar dulu sebelum  bergegas menolong dia. Memandangkan dia jatuh pun di tanah (saya pernah terjun tiruk atas jalan berbatu), dan dalam gerak perlahan pula dan masih ketawa-ketawa, maka kami pasti keadaan dia okay. Sebab itu sempat ambil gambar kenang-kenangan ini dulu. Azura namanya, dia masih baru di sini. Tapi, Alhamdulillah semangat dia kuat. Berapa kali dia jatuh pun dia tidak berputus asa. Saya bilang begini kerana kami pernah terima guru baru di sini, perempuan - tapi oleh kerana dia mungkin tidak dapat menerima keadaan di sini, ditambah dengan dia tidak mahir membawa motosikal maka dia minta ditukarkan.



Hujan yang bersambung-sambung, dari siang sampai ke malam sampai ke pagi - maka Jumaat lalu, banyak kejadian tanah runtuh sepanjang perjalanan kami untuk keluar.



Dalam perjalanan hendak masuk sekolah, terkejut kami melihat kenderaan kontraktor pembekal makanan asrama kami tersangkut di sini. Katanya, terpaksa bermalam di situ sebab tak boleh hendak buat apa dah. Walaupun dengan bantuan beberapa orang pekerja kebun di kawasan berhampiran, tetap tidak berjaya. Maka terpaksalah dia bermalam di situ sementara menunggu bantuan tiba. Kami yang hendak lalu pun terkandas sekejap. Fikir macamanalah hendak buat, hari semakin tinggi. Anak-anak barangkali sudah tertunggu-tunggu cikgu di sekolah.


Akhirnya, cikgu-cikgu lelaki cangkul tebing. Cukup-cukup untuk motor kami lalu. Seorang demi seorang.


Ini pula keadaan jalan tersebut selepas kenderaan kontraktor pembekal makanan asrama diselamatkan. Dah putus dah. 

Hujung tahun. Musim hujan. Memang selalu berlaku kejadian seperti ini. Apapun, selagi boleh kami lalu - kami akan cuba sedaya upaya untuk menghabiskan baki sesi persekolahan yang tinggal cuma seminggu lagi. Saya jangka, keadaan ini akan berterusan sampai awal tahun hadapan. Hujan, tanah runtuh, pokok tumbang. Kejadian tersebut memang biasa kami hadapi setiap kali musimnya.

Oh ya, 17hb nanti keputusan UPSR akan keluar. Doakan ya.

Sekian.



No comments: