Jan 5, 2014

SESI PERSEKOLAHAN 2014

Assalamualaikum w.b.t,

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. 2014 adalah tahun ke - 5 aku bergelar pendidik dan tahun ke - 5 jugalah aku di sini. Setiap tahun selepas kali pertama aku menjejakkan kaki di sini pada 3 Januari 2010, setiap kali itulah aku akan teringat detik-detik awal semasa aku mula masuk ke sekolah ini. Segala halangan dan rintangannya, cabarannya selalu sahaja terimbas dengan sendirinya. Ya, sudah tentulah 2010 tidak akan sama dengan 2014 kini. Sudah banyak yang berubah, sudah banyak yang mudah... dan aku bersyukur kerana terpilih untuk melihat perubahan itu di hadapan mata aku.

2010, dengan jalan yang hampir keseluruhannya masih berselut merah dan berbatu-batu. Elektrik pun hanya dengan menggunakan enjin yang hanya akan dibuka pada jam 1900hrs dan akan dipadamkan apabila jam tepat 2359hrs, yang mana kami (masa itu perempuan hanya aku dan Fida sahaja) terpaksa mandi-bersiap-berbedak hanya dengan bertemankan cahaya lilin dan lampu suluh daripada telefon bimbit yang tidak smart lagi. Baju tidak bergosok di minggu pertama kerana cikgu-cikgu lelaki tidak pernah punya yang namanya "seterika" untuk dipinjamkan kepada kami. Hanya pada minggu kedua barulah kami bawa sendiri seterika dan menggosok baju di bilik asrama di sekolah stok seminggu terus. Dan pada waktu itu pun kami kena tidur di asrama sebab anak-anak takut dengan "hantu" yang dikhabarkan kelihatan berkeliaran di sekitar sekolah yang menurut mereka tidak akan mengganggu kami kerana "cikgu tak apa, cikgu Islam.", awal-awal pagi dalam jam 0600hrs pagi meredah sejuk untuk kembali ke kuarters dan bersiap untuk ke sekolah pula. 

Pada waktu itu juga, setiap jumaat kami - guru perempuan dibenarkan bergerak keluar lebih awal kerana keadaan jalan yang memang teruk akan melambatkan pergerakan keluar kami. Begitulah antara beberapa susah-payah yang masih aku ingat. Dan bukan tidak pernah cikgu lelaki mengesyaki kami menangis sedih setiap malam kerana terpaksa mengajar di sini. Tapi, demi Allah... aku dan Fida tidak pernah merasa sedih kerana di hantar ke sini, melainkan kami bersyukur sungguh-sungguh kerana secara tidak langsung mata kami terbuka melihat cara hidup penduduk di sini, yang rata-ratanya tidak punya pendapatan pun. Hidup kais pagi, makan pagi, kais petang makan petang sahaja... seadanya. Semua itu ternyata menguatkan lagi semangat kami untuk terus menabur ilmu di sini, seikhlas mungkin walau dimomokkan dengan kami hanya mampu bertahan tidak lama pun di sini, atau ada yang lebih parah mengatakan kami masih bertahan kerana elaun kesukaran hidup yang diberikan setiap bulan adalah tinggi di sini. Tak apa... namun, selagi diperlukan - sebaik mungkin kami akan laksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan ini.

Tahun demi tahun menyaksikan tanah ini sedikit demi sedikit berubah. Jalan-jalan mula diturap, enjin berganti Solar Hibrid, ada TV Astro di sekolah, anak-anak semakin rajin ke sekolah dan pencapaian akademik semakin meningkat. Alhamdulillah...

Awal pagi 2014 itu, aku dan Fida bergerak ke sekolah. Dan selalunya sejak 2010 - kamilah antara yang paling awal akan tiba di sekolah. Bila sampai di sekolah, teringat tahun 2010 di mana anak-anak Kampung Telimau memasuki perkarangan sekolah dalam rintik hujan, berbaju biasa, ada yang berselipar jepun dan ada yang berkaki ayam - yang dengan pandangan mata aneh melihat kewujudan aku dan Fida - GURU PEREMPUAN PERTAMA sejak sekolah itu di bina. Yang akan merasa takjub-takjub melihat kami berbaju kurung, bertudung bawal bermanik dan akan duduk mengelilingi kasut tinggi kami di muka pintu pejabat apabila waktu rehat dengan perasaan ingin tahu menggebu-gebu mencuit-cuit kasut kami malah curi-curi pakai juga. Yang dengan aneh-aneh menyentuh-nyentuh skin socks kami... sungguhlah... perkara-perkara itu aku akan ingat dengan sejelas-jelasnya dan betapa pula tersentuh hati melihat betapa jauhnya mereka ketinggalan.

Dan masa pantas berlalu...

Khamis itu, Anak-anak Kampung Telimau yang tiba dan mula memasuki perkarangan sekolah. Masuk ke asrama dan bersiap-siap untuk ke sekolah. Mereka adalah kumpulan murid pertama yang tiba ke sesi persekolahan 2014 ini. 


Dan ketika perhimpunan diadakan, hanya ini yang sempat sampai...


Kami tunggu sehingga menjadi jumlah ini...


Ada yang tidak mahu datang ke sekolah kerana kata mereka sekolah setakat dua hari dan lepas tu kena balik ke kampung semula. Penat... Tapi sebenarnya, pihak sekolah pun sudah punya rancangan, minggu ini anak-anak tidak akan balik ke kampung melainkan duduk di asrama sahaja dan hanya balik pada minggu hadapan. Rugilah anak-anak yang tidak datang itu. Tapi apakan daya... 

Alhamdulillah... dalam beberapa tahun ini banyak kemajuan yang telah dicapai oleh Pos Lemoi, SK Lemoi dan anak-anak Lemoi khususnya. Tidak ada lagi yang terkagum-kagum melihat kasut tinggi cikgu, skin socks cikgu, mahupun manik-manik di tudung cikgu... semua sudah jadi biasa di mata mereka. Sementelah pula, sudah ada TV Astro - asyik tengok TV sahaja - jadi banyak yang sudah mereka dapat pendedahan. Baguslah....

Semoga tahun 2014 ini terus membawa banyak kemajuan kepada kami. Semoga bertambah baik. Semoga semuanya baik-baik sahaja...


Sekian.








1 comment: