Jan 11, 2014

HARI ANUGERAH 2013


Assalamualaikum w.b.t,


Seperti setiap tahun, acara paling kemucak adalah Hari Anugerah. Selalunya, Hari Anugerah ini sekali dengan hari dapat keputusan UPSR. Kecuali tahun lepas apabila keputusan UPSR diumumkan ketika cuti sekolah. Maka tengah-tengah cuti itu, aku terpaksalah naik ke Tanah Tinggi dan masuk ke sekolah - demi untuk bersama anak-anak menerima keputusan peperiksaan mereka. Alhamdulillah, tahun 2013 keputusan UPSR akan diumumkan sebelum cuti. Iaitu pada hari Khamis. Jadi bolehlah disekalikan dengan Hari Anugerah.

Setiap kali sebelum tibanya Hari Anugerah, maka aku dengan Miss Afidah akan bertungkus-lumus berkongsi idea --- apakah pula bentuk persembahan yang akan kami persembahkan di hari istimewa tersebut buat menghibur para guru, ibu bapa dan murid-murid sendiri. Setiap petang dan malam jugalah aku dan Miss Afidah akan turun ke sekolah, melatih anak-anak murid untuk membuat persembahan. 

Anak-anak murid apatah lagi, semua teruja. Selalunya tahun 6 memang akan wajib buat persembahan. Tahun-tahun lain kami akan pilih, tapi kebanyakan yang duduk asrama memang akan terpilih untuk buat persembahan sebab senang nak datang latihan. Yang dah terpilih bukan main teruja, yang tak terpilih pula setiap kali buat latihan mesti sibuk mengintai-ngintai - nak sangat tengok. Tak sabar-sabar. Sampai aku dengan Miss Afidah terpaksalah halau mereka balik. Mana best, kalau dah tengok awal-awal kan... Tak seperais ahhh...

Bila tibanya hari kejadian, sedang kami menunggu Tuan GB masuk membawa bersama keputusan UPSR (keputusan UPSR diambil di PPD, jadi Tuan GB kena tunggu sampai dapat dan bila dah dapat baru beliau akan bergerak masuk ke sekolah. Selalunya dah tengahari baru dia akan dapat sampai ke sekolah T___T) selepas waktu rehat, kami pun mengagihkan kostum yang tidak seberapa. Itu pun dah berapa tahun lepas beli, skirt, seluar... baju terpaksa pakai baju sukan supaya nampak sama, ada tu buat persembahan pakai seluar sukan juga... Masa inilah baru sedar, skirt yang dahulunya muat elok di badan anak-anak sudah jadi senteng. Anak-anak sudah besar rupanya. Walaupun rasa baru sahaja beberapa ketika bersama mereka. Baru sahaja mereka setinggi pinggang cikgu dan baru sahaja mampu mengangkat tubuh mereka yang kecil itu. Ohhh anak, jangan cepat sangat membesar please...

Selepas siap anak-anak memakai kostum, maka tibalah kepada acara solek-menyolek. Kena solek lepas rehat, bagi makan dulu kalau tak nanti habis makan sekali dengan lisptik atau mincu kata mereka. Lipstik, eyeshadow, blusher, bedak --- beli kat Daiso sahaja. Tapi, anak-anak bukan main teruja bila nak kena solek. Yang tak terlibat pun ikut bersidai di luar bilik guru. Punya seronok hendak tengok wajah kawan-kawan disolekkan.


Bila sudah siap acara solek-menyolek. Kami teruskan pula dengan acara menunggu Tuan GB sampai. Selagi beliau tidak sampai selagi itulah majlis tidak akan dimulakan. Masa ini, dewan sudah hampir penuh dengan kehadiran ibu bapa dan orang kampung. Mereka pun awal-awal lagi sudah datang sebab hendak tengok persembahan yang paling utamanya, yang kedua baru hendak tahu keputusan periksa, siapa yang dapat hadiah, dapat sijil...

Perasaan aku sendiri memang sudah tidak tentu hala, jantung pun mula berdegup kencang. Berdebar bukan main. Tambahan lagi tengok kawan-kawan di luar sudah sibuk memuat naik keputusan peperiksaan anak didik masing-masing di instagram mahupun facebook. Sedang kami masih lagi menunggu... menunggu dan menunggu. Sabar tak sabar pun kena tunggu juga.


Kurang lebih jam 1230hrs, barulah bunyi motor KLX mengaum-ngaum memasuki kawasan sekolah. Aku sudah mula kecut perut. Pun begitu tetap bersungguh keluar dan menyambut ketibaan Tuan GB. Kasut dan kaki seluarnya comot dengan lumpur tapi beliau tetap mempamer muka ceria, tapi hati aku semakin gundah gulana. 

Apakah perkhabaran yang dibawa olehnya? Baikkah? Burukkah? Kalau tahun lepas dan tahun sebelumnya aku terpaksa redha dengan keputusan seorang murid aku gagal dalam matapelajaran Sains, bagaimana pula tahun ini? Tahun ketiga aku mengajar matapelajaran tersebut... Berapa banyak suka duka yang aku tempuh. Bermula dengan tidak tahu apa-apa kerana Sains bukanlah matapelajaran opsyen mahupun minor aku. Berapa banyak buku yang aku ulangkaji demi menyampai ilmu itu, tapi betullah bak kata orang kalau berguru dengan buku sahaja tidak mencukupi sehinggalah aku bertemu Puan Rosnani - guru cemerlang Sains dalam program SISC.  Beliaulah yang banyak memberi tunjuk ajar kepada aku dengan bersungguh-sungguh sehingga sanggup masuk ke sekolah aku dengan menaiki motor sendiri. Yang mana, dia terjatuh dan buku lalinya tercedera dan aku rasa kesannya dia masih rasa sehingga ke hari ini. Betapa gigih dia berusaha demi amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya itu sehingga akhirnya membuahkan hasil. Hasil yang paling manis apabila di tahun pertama aku mengajar Sains, 6/7 daripada muridku lulus. Tahun 2012 pula 13/14 dan besarlah harapan aku di tahun ketiga aku mengajar matapelajaran ini untuk mendapatkan 100% muridku lulus.



Setelah mandi dan mengemaskan diri, Tuan GB kembali ke sekolah dan barulah kami memulakan majlis. Yang lebih mendebarkan, pada ucapan perasmian Hari Anugerah - Tuan GB tidak memberitahu apakah keputusan UPSR kami pada tahun ini lagi sebaliknya menangguhkan sehingga semua acara penyampaian hadiah bagi kehadiran terbaik, tempat pertama hingga ke tiga kelas, penyampaian sijil sekolah dan asrama dan beberapa hadiah sampingan yang lain di selang-selikan dengan persembahan daripada murid.

Antara persembahan tahun ini. Dan aku rasa persembahan terbaik tahun in jatuh kepada murid gabungan tahun 1, 2 dan 3 dengan tarian Zapin KPop daripada kumpulan Shiro. Kareografnya sudah tentulah aku dan Miss Afidah yang menciptanya. Menggabungkan idea kami, malah memberi contoh pun ya... padahal dua-dua bukanlah pandai menari. Pandai-pandai kami jaaa. Apapun, aku rasa anak-anak ini masih kecil, jadi perasaan malu tu kurang lagi. Itu yang mereka all out... nasib pentas tu simen, aku rasa kalau papan memang bergegar. Mereka juga mendapat tepukan yang paling gemuruh. Selain menari, mereka juga menyanyikan lagu "Sahabat Selamanya" daripada kumpulan Padi. Persembahan lain adalah daripada murid tahun 4 dan 5 dengan tarian sewang "Bah Bola", murid perempuan tahun 5 pula menari tarian bollywood dan murid tahun 6 dengan tarian "Daddy Cool". Apapun, aku dan Miss Afidah selaku jurulatih tidak bertauliah ini merasa sangat bangga dengan keberanian anak-anak murid, kesungguhan mereka, keyakinan mereka dan seronok melihat orang kampung menikmati persembahan daripada anak-anak mereka.

Kemudian tibalah ke kemuncak acara. Pengumuman keputusan UPSR 2013. Sekali lagi, jantung aku berdegup kencang... kucar-kacir sudah rentaknya. Aku dan Miss Afidah berdiri sebelah-sebelah. Saling menyokong. Dia nampak lebih tenang daripada aku, tapi dalam hati dia hanya dia dan Tuhan sahaja yang tahu. Tuan GB mengumumkan satu demi satu keputusan UPSR mengikut matapelajaran. Mula-mula BM Kefahaman, kemudian BM Penulisan - agak merosot berbanding dengan tahun lepas tapi kami harus menerima hakikat dan bahawa segala usaha sudah dibuat. Riak kecewa jelas terpancar di wajah Cikgu Tuan. Kemudian, keputusan Bahasa Inggeris... Alhamdulillah, ada peningkatan dan daripada 13 calon hanya seorang yang mendapat D. Miss Afidah sudah boleh menghembus nafas lega. Seterusnya, keputusan Matematik. Sudah 2 tahun Cikgu Amri berjaya membawa keputusan 100% lulus, apakah tahun ini semua berjaya lulus juga? Pertanyaan Tuan GB itu buat dada kami berdetak kencang. Tuan GB berwajah serius, lagilah aku kalut. Tapi, hatrik! Cikgu Amri berjaya mengekalkan keputusan 100% lulusnya. Kami bertepuk tangan semakin kuat. Akhirnya tibalah giliran matapelajaran Sains, sekali lagi Tuan GB berteka-teki. Aku genggam lengan Miss Afidah erat-erat... gugup, takut, sedih - semua bersatu. Dan dengan tidak disangka-sangka, Tuan GB mengumumkan bahawa Sains juga telah mendapat 100% murid lulus dan kami melonjak kegembiraan dan saling berpeluk sambil menitis air mata. Ya Allah... aku bersyukur sungguh-sungguh kerana akhirnya setelah 3 tahun mencuba barulah tahun ini aku dapat.

Selepas mengumumkan keputusan matapelajaran, tibalah masanya Tuan GB mengumumkan nama-nama murid yang berjaya lulus semua matapelajaran pula. Mengikut kata Tuan GB, jumlah yang lulus semua matapelaharan tahun ini merosot daripada tahun lepas. Dan tanpa disuruh-suruh air mata saya pun mengalir... cehhh, bukan main sentimental walaupun muka lejen kan? Ahahaha... serius wehhh, masa tu memang sedih gila, Ingat susah payah ajar anak-anak, susah payah beli buku ikat di belakang motor bawak masuk sekolah. Kadang kalau jatuh buku dah jadi penyet-penyet. Masa mengalir air mata tu, yang nyatanya orang kampung pun tengok dan berbisik-bisik. Barangkali ada yang faham dan tak kurang juga yang tidak faham... Anak-anak murid pun, tertengok-tengok hairan. Tapi, kejap kemudian ada anak-anak murid perempuan tahun 6 pun ikut menitiskan air mata. Dan bila ada antara mereka yang menangis, yang lain (perempuan la khususnya) yang faham pun ikut sama berlinang air mata. Ada yang kontrol, cepat-cepat lap di dada baju atau di lengan baju.

Tuan GB mengumumkan daripada 13 murid, hanya 5 sahaja yang mendapat lulus semua matapelajaran. Jauh daripada target kami dan PPD. Sedih. Memang sedih. Tapi, apa boleh buat. Kami sudah buat segalanya, anak-anak murid pun sudah berusaha sehabis boleh. Sepanjang tahun, ikut semua yang cikgu suruh. Akur dan patuh walau terbeban. Namun, rezeki tidak memihak kepada kami...

Pada asalnya Tuan GB ingin memberi saguhati kepada mereka sebanyak RM100 namun di saat-saat akhir, beliau mengumumkan - murid yang lulus semua matapelajaran akan mendapat RM200. Alhamdulillah... rezeki anak-anak. Satu persatu nama disebut, debaran beralih kepada anak-anak tahun 6 pula. Anum, Jezzie, Sabina, Shaniza dan Zairani. Tahniah anak!


Ingatkah kalian kepada Awit? Pelajar cemerlang SK Lemoi yang kini sedang melanjutkan pelajaran sekolah menengahnya di SMK Sri Rompin, sebuah sekolah projek khas untuk anak orang asli yang cemerlang. Nahhh, mari aku ceritakan pula tentang Sabina. Adiknya. Sabina memang antara murid calon kami untuk lulus semua matapelajaran, tapi masalahnya kadangkala dia koya sikit. Sehinggalah ke hari peperiksaan Sains, setelah habis - aku meminta kertasnya untuk aku periksa dan amat mengejutkan apabila kertas soalannya itu kosong tidak bertanda sepertimana yang aku ajar dan bila aku kira-kira jawapan yang betulnya amatlah merunsingkan hati aku. Aku cuma mampu berharap dia dapat jawab bahagian B sahaja. Dan itu sedikit sebanyak akan membantu dia untuk lulus. Sehingga ke hari pengumuman keputusan UPSR itu, ketika satu persatu nama disebut sehinggalah kepada namanya - aku antara orang yang paling gembira. Aku dan Miss Afidah peluk dia erat-erat. Sekali lagi air mata aku menitis. Emang dasar! Bikin malu sahaja ini  orang... hahahaha...

Sabina melangkah ke pentas. Tunduk. Menyalami tangan Batin, menerima RM200 dan turun. Ketika dia duduk di kerusinya, dia tunduk. Kemudian kakaknya datang, mengucapkan tahniah kepadanya dan menyuruh anak saudaranya menyalami tangannya. Kami suruh dia bangun, dia masih tunduk berdiri disebelah kakaknya itu dan duduk kembali. Kemudian datang lagi seorang kakaknya, memeluknya... dan ketika itu air matanya  baru mengalir. Dia menangis, mungkin kerana dia tidak menyangka bahawa dia akan lulus semua matapelajaran setelah aku beberapa kali mengeluh kepadanya. Demi tuhan, aku rasa bersalah sangat... T___T kerana hampir memusnahkan harapan dia. Dan mungkin juga dia menangis, kerana dia mampu mengikut jejak langkah abangnya dan tidak akan mengecewakan ibu dan bapanya. Saat itu, detik itu... sungguh menyentuh rasa sesiapa yang melihat. Bahkan ada anak-anak murid yang lain ikut mengesat-ngesat mata mereka. Air mata turun tanpa disuruh-suruh pun...

Alhamdulillah... akhirnya, walaupun keputusan agak merosot tapi kami berpuas hati. Bersyukur kerana legasi kecemerlangan akademik SK Lemoi tetap berjaya kami teruskan. Terima kasih 13 anak-anak yang selama setahun ini banyak bersabar dengan karenah kami, akur dan ikut dan kadangkala takut. Tapi, semangat mereka bukanlah calang-calang. Disebalik kesukaran hidup mereka yang jauh daripada arus kemodenan, berjaya mereka tempuhi.


Sehingga itu, tiada lain yang cikgu harapkan daripada kalian. Selain daripada teruskanlah belajar selagi kamu mampu. Jangan takut, jangan mudah mengalah... peliharalah diri kamu sebaik-baiknya. Jangan mudah terpengaruh dengan arus di luar sana, dunia masih terlalu baru buatmu anak... Belajarlah sebaik-baiknya. Selagi kamu mahu, cikgu ada...

Sekian.



13 comments:

mamamia said...

Aku pulak yang meleleh air mata gak..sama sentimental ngan demo!!

Pak Din Farmasi said...

Tersangat tabik dgn empunya blog dan rakan-rakan. Aku yg di sini cuma menempuh jem plg lama sejam dalam kereta ber"ekon" dan berkerusi empok jika dibandingkan umpama langit dan bumi. Pon ada kala tak dak perasaan nak pergi ofis. Anda semua guru2 lemoi terlebih layak mendapat tabik hormat . Respect!!

Anonymous said...

Tahniah cikgu

Anonymous said...

Selamat pagi,hebat sungguh tarian korang

Anonymous said...

hebat sungguh korang menari ye sangat!

Anonymous said...

Tahniah cikgu... "_"

Anonymous said...

lama x update, ape kabornye pun

Unknown said...

salam cikgu, walaupun entri dah agak lama saya baru terjumpa, terharu saya membaca coretan cikgu, inilah jiwa pendidik yang sebenar, tahniah cikgu dan rakan-rakan!

doni said...

terimakasih infonya,,
sangat menarik dan bermanfaat,,

Anonymous said...

congrats cikgu....
you are such a great teacher!
keep it up!
may god bless you...

candra said...

mantap

Unknown said...

Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website ini www.kumpulbagi.com untuk info selengkapnya.

Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, resepi dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)

Sya said...

nape dh lama x update blog...suka sgt ikuti cite cikgu dan anak2 murid tuh...