Jan 5, 2014

HARI PERTAMA 2014

Assalamualaikum w.b.t,

Aku naik ke Tanah Tinggi pada 31 Disember 2013 selepas kami berbincang dan menetapkan hari dan masa untuk masuk sekolah. Kami itu mewakili - aku, Fida, As dan Faizahlah tentunya. Aku dan Fida bergerak dari kampung kami masing-masing lebih awal daripada kebiasaannya. Sebabnya, kami sudah berjanji untuk ke bengkel motor Uncle Panjang di Bertam Valley itu. Biasalah, bila sudah cuti lama - sudah tentulah kami kena hantar belalang tempur masing-masing ke bengkel buat pemeriksaan. Biar solid, biar tip-top kondisinya untuk memulakan sekali lagi cabaran sepanjang tahun ini. Pemeriksaan biasa-biasalah - tayar, minyak hitam, brek, spoket... dan sebagainya. Kena naik off road dulu, kemudian kalau motor rasa tak best baru pergi balik jumpa Uncle Panjang, bagitahu dia apa yang rasa tak kena.


Sebab baru je sebelum cuti berhabis dekat RM500 lebih tu, jadi kali ini motor aku tak adalah kena banyak sangat. Takat tukar brek depan, mentol lampu, letak minyak dekat rantai sikit... itu sahaja. Hmmm, dekat motor aku tu selut tahun lepas punya tu. Stok nak buat kenangan. Hahahaha. Bukan apa, hari terakhir sekolah tu dah memang kelam-kabut nak balik kan, lalu tidak sempat pun nak basuh motor. Tak apa, nanti esok masuk - basuhlah. 


Dah siap semua termasuk isi minyak siap-siap, kami balik semula ke rumah sewaan dan mengemas segala benda barang yang hendak dibawa masuk esok. Awal-awal tahun memang banyak sikit barang, baju baru (cikgu pun nak baju baru juga pergi sekolah kan?), mandian dan ubat gigi segala, alat tulis untuk anak-anak murid, beberapa buku rujukan baru, stok makanan dan beberepa benda lagi yang berkaitan dengan hidup sehari-hari dan kerjaya sebagai seorang guru. Bukan main!

1 Januari 2014. Kami berempat bertemu di Medan Selera Ringlet seawal jam 1130hrs lagi. Asalnya ingat hendak bungkus sahaja nasi dan lauk-lauk buat makan di sekolah, tapi godaan bauan dan lauk-lauk ditambah lagi dengan perut yang memang sudah hampir berkeroncong - maka kami terus sahaja makan di situlah sambil berbual-bual. Almaklumlah, sebulan lebih kot masing-masing tak jumpa. Dah siap makan, baru bergerak ke KedaI Runcit Sin Ming - tempat di mana kami mendapatkan barang-barang makan. Beli semua agak-agak cukup untuk dua hari kemudian barulah kami bergerak masuk ke sekolah.

Sampai di Bukit Pasir - yang selalu kami akan berhenti sekejap, buat minum air atau betul-betulkan urat belakang yang sudah terasa lenguh - kami ambil gambar ini. Gambar kenang-kenangan di hari pertama 2014. Pakai self timer, jenuh nak berlari masuk ke dalam frame. Jadi, nahhh terimalah - kami dalam pakaian rasmi kami untuk masuk ke sekolah. 


Sebelum cuti lagi kami telah dimaklumkan bahawa kerja-kerja membuat jalan akan di buat. Tapi sebab dah lama, maka kami ingat jalan yang dikhabarkan akan dibuat itu hampir siap lah. Tapi, silap... sebenarnya baru sedikit sangat tanah yang ditolak dan diratakan itu. Malah, jalan yang sebelum ini sudah diturap itu juga kelihatan semakin membimbangkan. Dengan besi-besi yang ditanam semakin berceracak keluar dari konkrit seakan-akan satu jerangkap samar yang bila-bila masa sahaja akan membaham mangsa. Minta dijauhkan...

Oleh kerana jalan sebelum ini hanya diturap sampai ke Kampung Telimau, maka jalan baru yang akan dibuat itu bermula di Kampung Telimau. Rata memang rata, tapi kan dalam keadaan musim hujan sekarang, memamg berselutlah - menari-nari jugalah kami dengan motor.



Kalau dah siap bina rumah macam ni, maknanya memang lama lagilah nak siap kan?


Tapi yang kelakarnya, oleh kerana di kiri dan kanan jalan itu baru ditebas-tebang dan diratakan - kami yang sebelum ini tidak nampak pun sungai ini baru sahaja perasan akan kewujudan dan kecantikan sungai yang masih terpelihara ini. Sungai memang ada sepanjang jalan kami, tapi sebelum ini terlindung oleh semak dan pokok-pokok buluh.



Jalan yang sudah diratakan.


Berhati-hati menelusuri jalan. Sebelah kanan tu adalah gaung dan sungai yang terletak jauh di bawah. Kawasan bukitlah katakan.


Bermula di sini adalah jalan asal ke Pos Lemoi. Masih belum ditolak dan diratakan.



Kat sini agak licin. Tak nampak sangat dek gambar. Tapi alur yang terbentuk oleh tayar motor itu adalah alur yang kami lalui. Kalau lalu situ, InsyaAllah tidak akan tersasar sebab atas-atas tu dah licin dan tu. Kalau lalu jugak, silap-silap boleh jatuhlah. Dah bertebing pun sebenarnya...


Kat sini bukit agak curam, dan licin dan banyak alur-alur yang telah terbentuk dek laluan motor dan kenderaan keluar masuk. Dan berbatu-batu juga... kalau masa turun tak ada masalah sangat, tapi kalau naik memang boleh sangkut kalau tak kena gayanya. Lepas tu kalau nak tolak, susah payah juga sebab kaki dah tak boleh jejak betul-betul sebab licin sangat.


Agak berpeluh jugalah bila sampai di kuarters. Lagi satu sebab dah lama  cuti bawa motor kan... Hahaha. Kami sampai memang agak awal, lalu perkara pertama sebelum menjenguk ke dalam rumah adalah membersihkan motor dari selut-selut hari ini malahan selut-selut tahun 2013 juga. 


Ini wajah-wajah yang berlari menyambut kami di pagar kuarters. Tersenyum malu-malu. Tapi, biasalah... bila dah cuti, budak-budak ini memang agak comot sikitlah. Dengan kulit yang bertambah gelap, rambut kusut-masai... tunggu buka sekolah dan kembali duduk asrama nanti seminggu dua eloklah semula.


Rupa-rupanya anak-anak Kampung Cenan Cerah dan Kampung Telimau belum datang lagi hari ini. Mesti esok pagi-pagi akan mula gerak dari kampung masing-masing.

Kami pula, lepas dah siap cuci motor dengan bantuan beberapa orang anak-anak murid lelaki - sambung pula cuci rumah. Najis kambing memang berteraburan di depan rumah, nasib baik ada anak-anak yang ringan tulang tolong cuci sekali.


Lepas dah siap cuci semua, barulah lega rasanya. Dah boleh rehat-rehat dah. Tak lama kemudian, kedengaran motor-motor cikgu lelaki mula sampai. Agak awallah juga, sampai sempat main futsal lagi tu.

Jadi, itulah hari pertama 2014 kami. Keesokannya, sesi sekolah 2014 kami akan bermula. Rasa tak sabar juga nak jumpa anak-anak murid yang sudah sebulan lebih ditinggalkan.

Sekian.



No comments: