Dec 25, 2013

LAWATAN TAHUN 6 BAHAGIAN 1

Assalamualaikum w.b.t,

Alhamdulillah, tahun ini ada rezeki anak-anak murid untuk berjalan selepas peperiksaan UPSR. Selepas bermesyuarat, kata putus diambil - lawatan ke Lost World Tambun! Sebelum ini pun, selalu sogok anak-anak "Jawab periksa elok-elok, kalau lulus cikgu bawak pergi jalan-jalan ke luar." Ataupun, kalau anak-anak malas nak belajar "Siapa malas, nanti pergi ke luar tak payah bawak dia." Sepanjang tahun dimomokkan begitu bukan bertujuan untuk mengugut - akan tetapi untuk memotivasikan mereka. Look at the bright side ke kata orang putih tu kan?

"Berjalan ke luar." adalah antara satu frasa yang agak digemari di kalangan anak-anak di sini. Iyalah, asyik duduk terperuk sahaja di kampung atau paling tidak pun keluar ke bandar terdekat - Ringlet atau Tanah Rata sesekali ikut emak ayah berbelanja. Itupun jarang  benar, malah tidak aneh pun kalau ada anak-anak murid yang sekalipun tidak pernah dia keluar dari kampung sepanjang hidup dia.

Lalu, bila terpilih mewakili sekolah contohnya untuk acara sukan, atau bercerita atau paling-paling pun ke kem motivasi - adalah sesuatu yang agak mengujakan bagi mereka.

Berbalik kepada cerita lawatan tadi. Murid-murid tahun 6 yang sebelas orang itu - Alhamdulillah walaupun selepas peperiksaan UPSR - kedatangan ke sekolah agak bagus juga. Walaupun sebenarnya sebelum periksa dulu cikgu selalu cakap "Sikit je lagi belajar ni, lepas periksa ni sukahatilah nak buat apa. Nak tengok tv ke. Nak datang sekolah ke tak ke... sukahatilah." Tapi, bila selepas peperiksaan tetap datang sekolah - kalau ada pun seorang dua sahaja yang ponteng sepanjang minggu. Tapi bab "Nak tengok tv ke..." itu memang sangat terbukti. Boleh kata sepanjang hari dari pagi membawa ke petang membawa ke malam memang itulah kerjanya. Tengok TV sungguh-sungguh. Sampai hafal intisari rancangan kartun di 611, 615 segala itulah. Kejap-kejap Mebius, kejap-kejap Upin Ipin, kejap-kejap Oggy dan segala bentuk kartun lagilah - sampai cikgu nak tumpang tengok tv pun kena tengok kartun juga selagi remote ada ditangan mereka. Bukan  mainnn!

Pada hari Jumaat yang berbahagia itu, murid-murid tahun 6 pun bersiap-sedia dengan beg masing-masing. Dah pesan bawak baju cantik-cantik, seluar jeans... tapi iyalah, tak ada kot dalam definisi kamus hidup mereka - sebab balik-balik baju yang duduk pakai harian kat asrama itu jugalah yang ada, seluar yang duduk lenjan main bola kat padang itu jugalah yang dipakai. Nak buat macamana, dah itu sahaja yang mampu. Tapi tak apalah, kami pun sudah faham benar sebenarnya. Itu belum lagi tanya bab duit poket. Lagi kesian... ada tak ada pun, bawaklah beberapa ringgit yang mak atau ayah bagi. Tak sampai sepuluh ringgit pun dan siap ada sen-sen lagi. 


Kami lepaskan murid tahun 6 lebih awal untuk berjalan kaki dahulu. Sebab masa tu, jalan agak tidak mengizinkan untuk memboncengkan mereka sedari awal. Aku dan Miss Afidak mengekori mereka dari belakang.


Bila sampai separuh jalan terserempak dengan Hairil, Rosmadi, Arman dengan Sofia. Kata mereka, Sofia tak larat sampai Rosmadi tolong bawakan beg dia. Aku syak sudah tentu Sofia tak berapa sihat sebab hari sebelumnya kami ada Sukaneka Asrama, panas betul harinya. Sebab kalau nak kata Sofia tak biasa berjalan adalah mustahil sebab jalan yang dilalui adalah jalan yang sama dia lalui setiap minggu untuk pergi dan balik sekolah. Bila begitu, Miss Afidah pun angkutlah Sofia... Memang muka dia tak larat benar dah tengok.



Cikgu Hanis bawak Suhairi. Sebab sebelum cikgu ambil kena jalan kaki - bebudak lelaki ni siap buka-buka baju dah sebab tak tahan panas. Jadi, agaknya Suhairi tak sempat nak pakai semula baju dia masa Cikgu Hanis sampai. Dan aku syak, memang sampai keluar kot Suhairi berlenggeng begini. Hahahah...



Rosmadi, Hairil dan Arman yang lekas-lekas pakai baju sebaik menyedari yang cikgu-cikgu dah hampir tiba untuk membawa mereka.



Ini kumpulan yang di hadapan. Sudah hampir sampai pun di tempat yang sepatutnya cikgu jemput. Bukan main laju lagi mereka berjalan. Tu muka tengak eksaited tunjuk "bekho" tengah sodok tanah hendak baiki jalan. Antara kenderaan yang jadi pujaan mereka selain daripada motor cikgu, helikopter dan landrover. (Kenderaan yang selalu mereka nampak keluar-masuk ke pos)


Okay, cikgu dah sampai... Sebenarnya, anak-anak ni sebab selalu juga keluar dengan cikgu sampai mereka dah siap ada cikgu kegemaran masing-masing untuk tumpang naik motor. Sebab dah ada pengalaman kan, dengan Cikgu A dah pernah jatuh, dengan Cikgu B bawak motor laju, Cikgu C bawak motor ganas sangat misalnya... Siap beberapa hari sebelum dah siap-siap "chop" sesama sendiri hendak naik motor cikgu mana masa nak keluar nanti. Siap berebut-rebut jugalah bila cikgu yang dikehendaki sampai. Hahaha...

Aku dan Miss Afidah biasanya akan pilih anak-anak yang susuk tubuhnya paling kecil sebab senang nak bawa dan nak imbangkan motor. Tapi, baru hari itulah kami perasan bahawa sudah tidak ada lagi anak-anak bertubuh kecil dalam kalangan anak-anak tahun 6 ni. Sobs sobs... terasa alangkah cepatnya masa berlalu. 




Dalam masa menunggu semua guru tiba, anak-anak tahun lain pun sudah mula sampai ke Kampung Telimau. Bukan main laju lagi mereka berjalan.



Bila sampai di luar, hentian pertama sudah tentulah Food Court yang terletak di Ringlet ini. Selalunya pun kami memang akan singgah beli makan tengahari di sini. 

Muka pening-pening lagi ni. 



Bila dah rehat kejap (tak makan di kedai sebab anak-anak sudah dibekalkan dengan nasi bungkus dari sekolah) baru bawak balik rumah aku dan Miss Afidah yang perempuan manakala yang lelaki akan di rumah Cikgu Wan dan Cikgu Hanis. Bila di rumah kami, anak-anak selalunya bebas hendak buat aktiviti apa. Tapi selalunya yang jadi pilihan adalah menonton TV-lah sampai aku dengan Miss Afidah pun tak ada can hendak menengok Maharaja Lawak.

Terbongkang depan tv dengan gaya bebas.



Lepas tu main-main rambut sampai jadi macam niii...



Selain tengok TV mereka ni juga memang suka sangat sembang. Sembang macam dah lama tak jumpalah pendek katanya. Seronok dan riuh rendah bukan main. Memang tidak duduk diam langsung. Ada sahaja yang hendak dibualkan. Ada tak ada senyap pun bila masa ni...


Haaa, tidur. Baru diam. Itupun ada yang mengigau-ngigau cakap dalam tidur lagi. Hahahaha. Saja suruh tidur awal-awal sebab esok hendak naik kereta turun ke Ipoh kannn, nanti penat pulak nak main air, nak tengok binatang...

Bersambung...

1 comment:

Anonymous said...

hahahahaha...wah bestnye dapat tidur... :)