Dec 24, 2013

PECUTAN AKHIR UPSR 2013

Assalamualaikum w.b.t,

Sebelum bercerita mengenai keputusan UPSR kami baru-baru ini, marilah aku "throwback" sedikit beberapa adegan pecutan akhir sebelum UPSR kami. Almaklumlah, banyak betul cerita-cerita yang nak kena qada' sejak kali terakhir aku menulis. 

Pada minggu terakhir sebelum UPSR tersebut, kami guru-guru dan murid tahun 6 berada di sekolah. Cikgu tidak keluar dan anak murid tidak balik ke rumah masing-masing. Jumaat, di saat anak-anak bergegas berlari-lari keluar dari sekolah dan cikgu-cikgu prung preng prung preng (bunyi motor) keluar dari sekolah - maka tinggallah kami terkebil-kebil. Oleh kerana hari itu hari Jumaat maka - cikgu Amri dan cikgu Tuan keluar dahulu sebab solat Jumaat. Maka tinggallah aku dan Miss Afidah dan sebelas orang anak murid, beserta makcik kantin dan dua orang jaga. Pehhh... masa tu sunyi bukan main rasanya sampai ke hati dia punya perasaan sunyi tu. Sampai membawak kepada perasaan sedih jugalah sebab kena berhujung minggu di dalam hutan. Ditambah pula dengan redup-redup cuaca, sekejap hujan sekejap berhenti dan kabus mengelilingi. Begituuu...

Oleh kerana kami guru tahun 6 ada empat orang, dua lelaki dan dua perempuan - maka cikgu Amri awal-awal lagi sudah mengedarkan jadual kelas pecutan akhir tersebut kepada kami. Di situ, tertulis juga waktu-waktu rehat beserta dengan beberapa contoh juadah yang kena kami sediakan kepada anak-anak nak sebelas itu. Ya... kami yang sediakan. Kantin ada, tapi sebab hari cuti maka tak naklah menyusahkan mereka kononnya - itupun untuk sarapan, makan tengahari dan makan malam sahaja mereka sediakan. Untuk setiap rehat selepas kelas sebelum makan tengahari, sebelum makan malam dan "supper" kata orang putih - kami berempat yang sama-sama menyediakan. Antara contoh, kentang goreng, nugget, bugger, spaghetti dll yang dijangka akan mendapat sambutan hangat di kalangan mereka. Motto senang "Makan sampai kenyang baru boleh belajar".

Walaupun sebenarnya agak terkejar-kejar juga mana nak mengajar lepas tu rehat nak kena pergi goreng nugget ke kentang ke pulak. Tapi tak apa... kami redha. T___T





Calon nan sebelas. Dari kiri Riko, Suhairi, Jezzie, Arman, Rosmadi, Hairil, Sofia, Shaniza, Sabina, Anum dan Zairani. Setiap seorang ada perangai masing-masing, tapi semua sudah ada dalam poket cikgu ;p


Hari baru lepas hujan ni sebenarnya agak mengundang bantal dan selimut sahaja tapi kami kuatkan iman untuk menghadapi hari-hari terakhir ini. Iyalah, anak-anak ni kalau diberi balik rumah dan minggu depannya dah kena datang sekolah hendak menghadap peperiksaan - memang zero dah dalam kepala tu. Sebab tu kena jaga sampai hari terakhir kaki melangkah ke dalam dewan peperiksaan. Sampai begitu.



Tapi sebenarnya, kelas pecutan akhir ini lebih berbentuk santai sahajalah. Tak adalah marah-marah sampai not paling tinggi pun. Kita relaks-relaks tapi belajar. Ulangkaji mana yang patut sahaja. Jadi, anak-anak tak tertekan cikgu pun tak adalah tidak keruan.

0800hrs - 1000hrs kelas, rehat sekejap - makan pagi. 1030hrs - 1230hrs kelas, makan tengahari ( di kantin), 1430hrs - 1630hrs kelas - makan petang, kemudian riadah, makan malam (di kantin) dan sambung belajar balik 2000hrs - 2200hrs - "supper" dan tidur. Sambung esoknya pula...

Jadi kesimpulannya, makan - belajar - makan - belajar jeee... Bila ada makan-makan, murid-murid rasa seronok dia lebih sikit. 




Main-main dan sembang-sembang sementara menunggu kelas seterusnya... Seronok layan mereka ni berbual.




Biasalah, bebudak pun ada tekanan juga... Hahahaha, 



Selamba je tidur dalam semak. Tak payah larang, biar jeee...



Rosmadi kata dia menyamar jadi cikgu khedor (perempuan). 



Nampak tak kat bawah tu? Photobomb! Entah bila diorang masuk bawah tu aku pun tak perasan. Tahu-tahu tengok gambar ada Jezzie dan Suhairi menyusup masuk.



Makan lagi...







Kemudian pada petang ahad itu, tibalah rombongan yang bawa masuk kertas peperiksaan UPSR bersama-sama dengan guru-guru pengawas peperiksaan nanti. Mereka pun sama, kena naik motor jugalah masuk ke sini. Masuk sekejap sahaja, hantar kertas - makan - solat dan mereka keluar semula.



Dan tibalah pada hari yang sangat mendebarkan itu, cigu yang berdebar. Murid-murid, aku pasti tak adalah berdebar sangat. Awal pagi selasa itu, kami jumpa murid-murid, salam-salam dan halalkan segala ilmu dengan doa dan harapan semoga mereka berjaya hendaknya... InsyaAllah...

Masing-masing muka berseri-seri, rambut bersikat-ikat kemas, berbedak dan berwangi-wangi lagi...





Murid-murid dibekalkan dengan sebuah kotak pensel yang berisi beberapa batang pensil, pemadam, pengasah dan juga pembaris untuk kegunaan mereka sepanjang peperiksaan berjalan. 



Maka melangkahlah anak-anak murid kami ke dewan peperiksaan. Berjuanglah mereka dengan segala ilmu yang telah kami berikan. Besarlah harapan kami untuk mereka berjaya mengharungi peperiksaan kali ini.

Sekian.


No comments: