Dec 19, 2013

ANEKA RAGAM

Assalamualaikum w.b.t,

Pada suatu petang pada bulan ramadhan yang lalu - kelihatan seorang guru dan sekumpulan anak-anak muridnya sedang bertungkus-lumus mengangkat batang kayu, memacak dan menukulnya ke dalam tanah. Kemudian, anak-anak itu menyangkutkan pula pelita yang telah siap diisi minyak ke paku yang telah siap di pasang oleh si guru. Dan dengan perasaan yang tidak sabar menunggu malam hendak melihat cahaya-cahaya yang terbit di hujung sumbu. Sepanjang menunggu malam menjelma, sekejap-sekejap dicuit-dipegang-dilihat deretan pelita-pelita kecil yang berwarna-warni itu dengan mata bersinar-sinar teruja. Seumur hidup barangkali, inilah kali pertama mereka merasakan dan melihat suasana sebegitu. 





Bukan main meriah lagi sambutan Ramadhan di minggu terakhir sebelum menjelang lebaran di SK Lemoi. Bukan sahaja ada pasang pelita, tapi ada lampu lip lap segala. Alhamdulillah, rezeki anak-anak merasa bagaimana malam 7 likur dan bagaimana suasana di penempatan masyarakat Islam di luar sana khususnya menjelang Hari Raya Aidilfitri. 

Anak-anak murid punya teruja, padahal pelita sahaja. Kat rumah pun pasang pelita je kot, tapi dia punya lain macam - bila pasang pada kayu berbaris, dengan pelita yang comel warna-warni begitu - bukan pernah ada di kampung mereka. T__T



Boleh bawa gaduh juga dia punya berebut nak ambil giliran pasang pelita setiap petang tu. Tak menyempat-nyempat minta "liter" (baca : lighter) dengan cikgu untuk buat pasang pelita. Bila dah bagi berebut pulak nak jadi tukang cucuh pada pelita.



Deretan dan cahaya lampu pelita di malam 15 Ramadhan di perkarangan SK Lemoi. Kelas malam boleh jadi lebih seronok bertemankan cahaya pelita yang meliuk-lentok di tiup angin malam.





Juga pertunjukan bunga api atau bahasa rahsia yang diguna pakai oleh tuan GB kami - "ANEKA RAGAM". Punyalah dia duk sebut, ulang-ulang pasal "aneka ragam" ni dengan cecikgu lelaki. Tinggallah kami berempat terpinga-pinga tak faham dan tak tahu apa bendalah "aneka ragam" tu. Rupanya inilah...


Tengah-tengah dalam keadaan yang agak konsentrasi lah malam tu aku dengan anak-anak yang bakal menduduki UPSR dalam kelas. Tiba-tiba terdengar letupan di udara memecah malam sunyi. (Ia betul, sunyi. Memang sunyi malam kat sini, apa yang kau dengar bila kau pejam mata hanyalah deruan angin, bunyi air sungai mengalir dan juga suara unggas-unggas bersahutan..... di selang-selikan dengan bunyi kambing mengembek dan kadangkala ja lembu sekeluarga itu ikut menyampuk sama buat memeriah malam). 

Bila bunyi letupan tu, anak-anak murid yang dalam kelas apa lagi. Melompatlah berlari keluar. Anak-anak tahun 6 terkebil-kebil mintak simpati dengan aku mahu ikut sama menonton bunga api atau mercun kata mereka. Kau ingat aku bagi ke? Yaaa, memanglah aku bagi. Takkan aku kesian kat mereka. Benda setahun sekali sahaja pun. 

Bila nampak bunga api tu maka aku terfikir alangkah bagusnya kalau aku boleh bawa bunga api untuk diberi anak-anak murid main. Masa tu, aku dengan Fida kononnya cakap "Kita bagi dekat murid-murid yang besar je lah." Bukan apa, takut bahaya kan... Maka, pada cuti hujung minggu itu kebetulan aku balik ke kampung lalu aku pun bersegeralah ke "pasar lambak" buat membeli bunga api siam yang di jual "sekejap ada sekejap tak ada di atas meja" itu. Beli situ sikit, sini sikit, sana sikit - agak-agak cukuplah nak main dua, tiga round. 

Maka pada petang hari nak masuk sekolah itu, aku pun bungkus bunga-bunga api tersebut sehabis elok, masuk dalam bakul sikit masuk dalam beg sikit, dalam beg Fida sikit (sebab tak muat, tapi sebab nak macam-macamanapun nak bagi budak-budak rasa main bunga api). 

Sebaik habis solat terawih, kami pun kumpullah anak-anak murid darjah 5 dan 6. Buat demonstrasi sikit cara-cara nak main bunga api sebelum memberikan sebatang seorang dahulu buat warm up . Tapi, ternyatanya kami tidak tega melihat anak-anak lain yang lebih kecil hanya melihat dengan sayu abang-abang dan kakak-kakak mereka bermain bunga api dengan bukan main gembira dan seronok tersebut maka dengan pengawasan guru-guru maka anak-anak itu pun turut kami beri peluang merasa bermain bunga api.

Mari aku cerita bagaimana caranya mereka bermain bunga api. First timer kata orang putih. Kalau kita bila main bunga api kita nyalakan dan pusing-pusingkan bunga api tu macam bulatan kan? Ke korang main macamana? Aku main macam tu masa kecik-kecik dulu, lebih advance sikit aku bengkokkan hujung batang besi bunga api tu, nyalakan dan baling atas pokok kekabu depan rumah, biar tersangkut di ranting. Percikannya lebih kelihatan cantik di atas sana. Itu definisi aku main bunga api.

Tapi, anak-anak ini sebaik dinyalakan terus dia pegang dan lari menjerit-jerit sambil bawa bunga api itu, ada yang melompat dan tak kurang yang sibuk dekatkan dengan muka sebab nak tengok cahaya percikan tu.

Hambikkk... tak ke huru-hara ni? Hahahaha, satu gambar pun tak elok sebab memang tak duduk diam langsung. Bukan main teruja. Bukan main-main punya seronok. 







Alhamdulillah. Murid-murid seronok, cikgu pun apatah lagi. Anak-anak ini tidak ada sebarang perayaan yang khusus. Oleh itu, maka kami bawakan kemeriahan ramadhan dan malam-malam terakhir menjelang lebaran kepada mereka. Diharapkan, kalau pun tak banyak tapi serba sedikit dapatlah mereka merasai bagaimana suasananya.


Sekian.


1 comment:

Anonymous said...

salam kak bungo.....
rindu la dkt post akk........ttunggu2 sy stiap hari.....
hope akk dpt truskn prjuangan suci ni kak.....
chaiyok2 kakak

nazirul sepang....