Jul 16, 2013

SALAM RAMADHAN

Assalamualaikum w.b.t,

Minta maaflah, kali ini entry aku tidak bergambar. Bukan apa, masa aku sedang update ini - aku berada di Kelas Pra Sekolah. Tempat kami hampir setiap petang bergotong-royong untuk memasak juadah buat berbuka puasa. Gambar ada di dalam telefon tetapi tidak aku bawa kabelnya. Kalaulah aku tahu, aku hendak update blog - menulis satu entry sekurang-kurangnya untuk mengubat rindu pembaca (pehhh... bukan main!) sudah tentu-tentu aku bawa segala kabel buat memindahkan gambar ke sini. Jadi, oleh kerana sebenarnya aku tidak berniat untuk menulis - namun demi melihat sebuah pc yang hanya memainkan lagu-lagu daripada radio online THR Gegar ini tanpa pengawal, dan dapur sedang penuh dengan kawan-kawan yang hebat memasak - maka aku tidak punya kerja lain selain daripada membasuh pinggan, mangkuk, besen segala yang dibuat guna memasak oleh mereka - aku membawa diri ke depan pc ini. Lalu mula menaip. 

Alhamdulillah, hari ini sudah masuk 7 Ramadhan. Seperti tahun-tahun sebelumnya, jadual memasak dan menu Ramadhan pun dikeluarkan, dimana kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil dengan tugasan membeli segala lauk-pauk dan sayur-sayuran mengikut menu yang disediakan. Yang kebanyakan masanya, lebih banyak tidak mengikut menu. Biasalah, kita manusia hanya merancang tapi Tuhan yang menentukan. Begituuu...

Setiap petang, kami berkumpul di dapur Pra Sekolah. Gotong-royong untuk memasak. Beruntungnya aku kerana di sini punya ramai yang hebat memasak. Namakan sahaja, nescaya bisa dihidangkan di hadapan mata. Atau paling-paling pun berpandukan resipi yang boleh di google bila-bila masa. 

Selepas semua menu dihidangkan di atas meja yang sebelah paginya menjadi meja belajar murid-murid Pra Sekolah, kami menunggu waktu berbuka bersama-sama. Kadang-kadang, guru lelaki akan bermain futsal dahulu. Biasalah, seperti yang aku selalu beritahu - kalau tidak sehari menyentuh bola, mereka boleh kena demam. Oleh itu, tidak kira puasa atau tidak - kecuali jika cuaca tidak mengizinkan, maka di atas padanglah mereka berada. Kalau tidak cukup guru sekalipun (kerana menghadiri mesyuarat, taklimat, bengkel dan sebagainya) mereka akan ajak murid-murid bermain sekali. Buat mencukupkan korum.

Apabila masuk sahaja waktu berbuka, semua sudah menunggu di meja. Berbuka bersama-sama dan mengemaskan segala pinggan, mangkuk, periuk, belanga barulah kami akan naik ke kuarters. Mandi, solat maghrib dan bersiap-siap untuk turun ke Surau di sekolah kembali untuk sama-sama menunaikan solat Isyak dan terawih. Guru-guru lelaki bergilir-gilir menjadi imam. 

Selalunya, kami solat dan berbuka dengan beberapa orang kampung yang telah memeluk Islam. Kami jemput mereka bersama untuk merasa suasana berpuasa, berbuka dan solat terawih bersama-sama. Yang mana satunya aku sangat pasti, mereka tidak akan pernah tahu dan rasa betapa meriahnya Hari Raya Aidilfitri itu sendiri. Mereka adalah golongan minoriti yang hidup dalam kalangan masyarakat yang rata-rata masih tidak mempunyai kepercayaan agama.

Begitulah hari-hari kami menyambut Ramadhan jauh di hutan ini. InsyaAllah, kali lain aku letak gambar-gambar suasana meriah di dapur Pra Sekolah yang kecil ini. Begitupun, Alhamdulillah. Syukur.

Sekian.


9 comments:

Anonymous said...

salam kak bungo....
salam ramadhan jugo buat akak yg jauh di pedalaman.....tringin sgt la nk msuk ke pedalaman tu....nk merasa jerih perih seorang cikgu untuk anak2 murid nye....sy tgok dr ap yg cikgu post di blog ni sgala mcm prasaan ade.....tp lbih kpd sronok....hehe...
hope cikgu2 yg ade di pdalaman tu sihat sntiasa hendakNya....aminn.....

nazirul sepang

Anonymous said...

assalam kak sah.... salam ramadhan.. n selamat berpuasa.....

salam peluk cium xoxo.. najwa n harraz....

Rose Azadir said...

Hi…saya blogwalking kat sini. Jemput datang ke blog saya yer http://ibu2ahmad.blogspot.com

ayu jamal said...

Selamat berpuasa sah... Ko memang boleh jd penulis la sah

Unknown said...

sekurang2nya kehadiran para guru di sana dpt membuka ruang dakwah dan juga membimbing saudara baru islam kita di tempat terpencil sana secara tidak langsung. Teringat satu kuliah di radio ikim ttg saudara baru islam di sabah.. setelah berbelas thn memeluk islam mereka msh tidak tahu solat kerana mrk tiada sumber utk merujuk kpd siapa.. sedih kan?

Anonymous said...

http://www.businesscircle.com.my/the-secrets-of-the-most-improved-school-in-malaysia/

I almost cried when i read this article

siti.fizzie.fizz said...

Salam cikgu, your blog should have a disclaimer : JANGAN BACA JIKA ANDA SENANG MENANGIS. I had a bad week, after reading ALL your Lemoi posts, I realised how blessed I am. It is really easy to forget how blessed we are, when god has given as so much. Insaf (nangis!)

pupple_licious said...

sedang menyelami perasaan sbg seorang bakal guru, pengalaman berpbs, praktikum dan internship sedikit sebnyk buatkan sy jatuh cinta dengan profesion ni. namun sy sedar byk lagi perkara yg perlu sy belajar dan alami. semoga sy dpt menjadi seorang guru yang berbakti kepada generasi baru dan semuanya hanya untuk DIA... semoga kak nisa sentiasa cekal, tabah dan istiqamah dalam perjalanan ini... kirim salam sayang pd anak2...

Anonymous said...

dh lama x post