Jun 29, 2013

SAMBUTAN HARI GURU 2013

Assalamualaikum w.b.t,


Hai semua. Terlebih dahulu, aku ingin memohon maaf kepada sesiapa yang selalu buka blog ini dan mendapati tiada sebarang entry baru yang terpapar di skrin anda. Minta maaf banyak-banyak. Aku belum berhenti menulis, aku masih lagi ada di sini. Cuma, kadang-kadang kekangan waktu dan juga line internet selalu jadi alasan punca aku lama tidak menulis.

Baiklah, kali ini biar aku cerita dahulu mengenai sambutan hari guru kami baru-baru ini.  Seadanya, namun tetap meriah. Alhamdulillah, tahun ini adalah kali keempat aku menyambut hari guru sebagai seorang guru. 

Seperti biasa setiap kali apabila hampirnya kepada hari guru, maka kami akan mengingatkan anak murid seperti "Esok hari guru tauuu, nanti ambil kertas warna dengan cikgu, buat kad." Begitulah. Hendak harap mereka sendiri tahu dan ingat bahawa 16 Mei adalah sambutan hari guru ternyata adalah agak mustahil. Hendak mak ayah yang tolong ingatkan anak-anak pun bagaikan usah diharap padi seberang. Jadi, demi membawa sedikit rasa dihargai dan diingati pada hari itu, tugas kami lah yang mengingatkan mereka. 

Lalu, selepas mengagihkan kertas berwarna kepada murid-murid --- maka bertungkus-lumuslah mereka menulis, menggunting, menampal, melukis, mewarna dan menghias kad-kad ucapan bikinan mereka. Sekeping kertas A4 itu bisa jadi paling kurang dua keping kad ucapan. Paling terer murid boleh buat empat keping. Saiz paling kecil, tulisan paling kecil dan hiasan paling minimum.

Kalau ditanya, "Kau tak jeles ke tengok-tengok cikgu kat luar tu dapat hadiah berderet sampai penuh bonet kereta?" Contoh. Begini jawabnya, paling klise tapi masih laku "Bukan hadiah yang kami pinta." Percayalah, aku rasa semua guru punya jawab yang ini. Dapat hadiah itu bonus. Tak dapat tak apa. Kannn???

Maka, pagi-pagi 16 Mei itu, murid-murid pun berkeliaran mencari guru-guru untuk diberikan kad ucapan. Malu-malu, bertolak-tolak di luar pintu bilik guru sebelum ada yang memberanikan diri mengetuk dan berkata "Cikgu, saya boleh masuk?" dan barulah yang lain-lainnya mengikut. Itupun, bila dah masuk - pergi kepada guru yang berkenaan - ucap Selamat Hari Guru - cepat-cepat letak kad atas meja dan tergesa-gesa keluar. Malu sangatlah. Padahalnya, hari-hari... pagi-petang-malam duduk menghadap muka yang sama. Sembang kencang, bergurau senda pun dengan yang itu jugalah. Tapi bila datang bab-bab begini, malunya lebih daripada tidak pernah bersua muka.

Ini aku mahu kongsi antara kad-kad yang aku dapat tahun ini. Boleh sahaja mengundang senyum apabila membaca coretan-coretan mereka. Macam-macam perasaan ada bila menatap tulisan mereka yang selalu aku berharap lahir daripada hati mereka yang tulus dan ikhlas.



Yang ini daripada Zairani, murid tahun enam. Biasalah, bila sudah di tahun enam - memang selalu paling banyak kena marah. Selalu kena bandingkan dengan murid tahun enam tahun-tahun sudah. Macam kes kami di sini, lagi dekat dengan UPSR - lagi terasa tekanannya. Tambah lagi bila diberi kerja ada yang tidak siap, buku hilang, kertas hilang, tak ingat - haruslah kena bebel. 



Yang ini daripada Dioi, tahun empat. Kelakar. Semestinya dia paling suka main bola jaring sebab ucap terima kasih sebab aku ajar mereka main bola jaring. Bukan sebab ajar Sains. Siap tulis "Saya patut main bola jaring setiap hari-hari." Paling rare. Lep yang ada anak panah itu entah datang daripada mana pengaruhnya aku tidaklah berapa pasti. 


Yang ini tak pasti daripada siapa. Nama aku pun salah eja, tapi tak mengapa. Kelakar sebab minta maaf sebab dia hari-hari "koya". Aku selalu guna perkataan ni sejak aku masuk tahun 2010 tapi masa tu murid tahun dua yang selalu kena sebab aku banyak ajar kelas tu. Sampai sekarang, perkataan "koya" ini sudah jadi favourite kat sekolah ni. 


Hahahaha... tak tahan nak gelak. Ini murid yang pasrah ni walaupun hari-hari kena marah tapi tetap sayang tu. Kihkihkih. 

Sekian cerita kad-kad ucapan yang diterima. 


Jadinya, untuk tahun ini. Kami berkeputusan untuk mengadakan sukaneka. Biasalah kalau sekolah rendah, nak-nak lagi sekolah pedalaman macam kami ini - semua guru yang buat sendiri. 

Guru diagih kepada kumpulan-kumpulan untuk setiap acara dan beberapa murid tahun enam dipilih untuk menyertai manakala murid lain jadi penyokong yang bersorak seronok melihat betapa bersungguhnya guru-guru meniup tepung, melompat lari dalam guni dan sebagainya. Bukan selalu boleh tengok.


Dimulakan dengan perhimpunan ringkas, guru besar menyampaikan ucapan dan seterusnya bersama-sama menyanyikan lagu Kami Guru Malaysia. Tidak pernah gagal untuk menerbitkan rasa terharu di sudut hati, walaupun haya dinyanyikan setahun sekali.



Murid yang menjadi penyokong dan yang berbaju oren itu adalah peserta KEDAP yang turut sama memeriahkan lagi sambutan.





Perlawanan futsal antara guru lelaki. Setiap petang main futsal pun tidak pernah jemu. Bahkan, aku syak kalau sehari tidak bermain futsal nescaya boleh kena demam mereka ini.




Kami guru perempuan bergabung dengan murid dan peserta KEDAP untuk pertandingan bola jaring. Kelakar bila tengok kakak-kakak, makcik-makcik yang tidak tahu menahu undang-undang bola jaring itu bermain dan bergerak sesuka hati mereka. Hentam sahajalah... Amboi memang terasa penatnya mengejar anak-anak ini. Aktifnya bukan main. 




Dan seterusnya bersambung pula ke acara sukaneka. Isi air dalam botol, baling belon berisi air, cari gula-gula dalam tepung, lari dalam guni, makan buah epal dan beberapa acara lagi. Suasana di padang ketika itu memang riuh rendah. Gamat. Murid-murid ketawa dan bersorak menyokong kami dengan penuh semangat. Guru-guru pun bersemangat bermain dan mensabotaj antara kumpulan. 

Handphone diserah kepada murid-murid yang dipercayai untuk mengambil gambar sepanjang sukaneka. Sebab masa ini, cikgu memang pulun main sungguh-sungguh. Tak ada masa dah nak pegang-pegang handhphone untuk ambil gambar.















Pada malamnya pula, kami sambung lagi sambutan hari guru kami dengan jamuan makan-makan dan sesi pertukaran hadiah. Yang paling best tahun ini ada pula hadiah bagi kategori Guru Paling Disayangi, Guru Paling Garang, Guru Paling Kelakar, Guru Paling Kacak/Cantik dan Guru Paling Baik Hati dimana untuk kategori ini, murid yang akan mengundi. 

Sesi membakar ayam, udang, sotong, sosej, kambing... Sambil-sambil tu, pasang skrin dan murid-murid berkumpul menonton wayang pacak percuma di bawah sinaran bulan, ditemani angin sepoi-sepoi bahasa. Terbaik!




Antara hadiah-hadiah yang ditukar. Caranya, guru-guru membeli hadiah dengan nilai tidak kurang daripada RM50. Bungkus, letak nombor dan cabut undi. Tahun lepas aku dapat jam, tahun ini dapat seterika. Tahun depan harap-harap aku boleh dapat peti ais pula.





Keterujaan membuka hadiah masing-masing dan-dan tu jugak. Kecoh dengan gelak mengetawakan hadiah-hadiah yang diterima. Ada yang dapat pencukur, tupperware, jam, thermos, bantal, cadar dan bermacam-macam hadiah lagilah.


Kami bersama hadiah masing-masing. Bantal-bantal itu adalah hadiah bagi 5 kategori yang dipertandingkan. Ehemmm, kakak dapat Guru Paling Disayangi tahuuuu. Hahaha, Alhamdulillah. 


Ehhh, sebelum terlupa. Terimalah gambar makanan yang menjadi hidangan kami pada malam itu. Alhamdulillah dengan rezeki ini. Kenyang sampai dua hari. 



InsyaAllah, jika ada rezeki tahun hadapan kita sambut lagi. Semoga kita terus gigih dan ikhlas mendidik anak-anak demi menjadi orang yang berjaya suatu masa nanti.


5 comments:

zach adam said...

first!!! lalala :P
great entry, love it so much,
bon travail!
:D

Tie-Ibu wawanisolehah said...

nak marah ni akak slalu buka tapi masih entry tajuk panjang hehe.. baca blog ni mcm baca novel..jimat takyah beli novel..apapun selamat berbakti..moga diberi ganjaran setimpal oleh Allah SWT

Anonymous said...

salam kak,
sy pon slalu bkak blog ni sbb nk bce pngalaman akak bungo lale dgn ank2 di pedalaman....sronok bce story akk....
mcm cerpen.....smoga akak bungo lale n the geng sihat sejahtera hendak-Nya...

nazirul sepang

hanna zuhana said...

Salam... akhirnya ade entry... seronok membaca setiap entry... mcm nak sekolah semula... hehehe.. thanks bungo lale... kenangan lalu ada yg mcm anda tulis disini.... gambate kudasai!!!!

ieda said...

seronok baca blog ni...bila buka & takde entry baru rasa frust jugak...hehe
selamat berpuasa buat semua guru di sana....jangan lupa cerita bulan puasa.