Apr 26, 2013

PENGALAMAN MASUK SEKOLAH DALAM HUJAN LEBAT

Assalamualaikum w.b.t,


Rasanya, ini entry aku yang mempunyai tajuk yang paling panjang. Bukan main!

Seperti biasa, setiap Ahad kami akan bersiap-siap untuk masuk ke sekolah. Tidak kira bagaimana rupa wajah langit yang memberi amaran bahawa hujan akan turun sekalipun. Bukan sekali dua kami meredah hujan untuk sampai ke sekolah. Tapi, selalunya paling-paling pun bila sampai separuh jalan hujan akan semakin reda ataupun kadang-kadang tidak hujan langsung pun pernah juga. Memikirkan dua kemungkinan itu, kami meneruskan perjalanan kami untuk masuk ke sekolah. 

Apabila sampai di Bertam Valley, hujan yang tadi turun manja-manja mula melebat. Perit jugalah rintiknya bila kena badan. Rasanya bagaikan diserang oleh kumpulan semut pun ada juga. Pakai baju hujan sahaja, seluar yang disertakan sekali itu tidak pernah pula kami pakai. Walau pakai jeans, rintiknya tetap terasa. Walau berbaju hujan, sampai di sekolah tetap kuyup juga.

Masuk sahaja jalan kebun, hujan turun semakin lebat. Tiada tanda hujan akan berhenti pun. Air mengalir ke jalan dengan laju. Bayangkan, kiri kanan adalah hutan dan bukit yang telah ditebas-tebang-teroka untuk dibuat kebun sayur. Air yang melimpah dari bukit ke jalan bagaikan air sungai itu - warnanya berlumpur. Tapi, masa tu tidaklah berapa kisah lagi sebab jalannya pun masih jalan  bertar. Tak adalah rasa bahaya sangat, walaupun air mengalir laju. 

Apabila kami sampai di Bukit Pasir, hujan masih tidak menunjukkan tanda-tanda untuk berhenti. Sedang kasut but kami sudah penuh dengan air. Terpaksa berhenti dahulu dan buka kasut untuk buang air yang bertakung di dalam but. Berkali-kali juga kami berbuat demikian pada setiap kali berhenti. Sejuk jangan ceritalah, lagikan hujan di tempat biasa pun sejuk - inikan pula hujan di atas bukit yang cuacanya memang sedia lebih sejuk. Tangan pun sudah kecut-kecut, badan pun gigil-gigil. Sejuk.

Hujan yang lebat dan kabus yang semakin tebal agak menyukarkan perjalanan kami. Pemandangan menjadi agak terhad. Tapi kami terpaksa juga teruskan perjalanan. Tawakkal sahajalah. Semoga kami selamat sampai ke sekolah. 

Namun, makin lama hujan yang semakin lebat itu mula beserta dengan guruh, petir, kilat segala. Tidak pernah-pernah selama empat tahun aku di sini dan masuk dalam keadaan hujan lebat pakej dengan guruh, petir dan kilat tersebut. Dan tipulah kalau aku tak rasa cuak. Sudah tentu aku rasa agak ngeri, tengah-tengah konsentret bawa motor - tiba-tiba kilat memancar dan guruh berdentum. Rasa nak terloncat daripada motor pun ada. Sudahlah hari semakin gelap. Hutan kiri kanan pun semakin berwajah garang.

Apabila sampai di sini, air turun dengan laju. Semasa di sini juga Faizah jatuh. Sebab bila keadaan hujan dengan air penuh di jalan - kami jadi sukar membezakan bahagian mana nak lalu ni? Rupa bentuk jalan memang berubah. Longkang-longkang mula terbentuk akibat daripada arus air. Kadang-kadang termasuk lubang sebab tidak nampak jalan. Kadang-kadang rasa naik motor berlumba dengan arus air pun ada. Kadang-kadang kami mengikut arus dan ada kalanya kami menongkah arus.

Gambar sebelum kejadian Faizah terjatuh, aku yang dihadapan berhenti untuk membantu tengok kalau ada yang gagal naik bukit ini memang kena tolaklah jawabnya. Rupa-rupanya memang ya, kena tolong angkat motor Faizah. Cahaya lampu daripada motor di belakang aku. Fida, As dan Faizah. Beginilah keadaan hujan masa tu, memang lebat. 

Kami kemudiannya meneruskan perjalanan. Nasib baik juga jatuh Faizah itu tidak teruk. Jatuh secara gerak perlahan sebab tersalah pijak sahaja. Tiada sebarang kecederaan yang dilaporkan. 

Hujan masih belum menampakkan tanda-tanda akan reda. Sampai di bukit ini, motor Fida pula buat hal. Brek lekat. Tapi masa ni, nasib baik Wan dan Syam sempat kejar kami. Bayangkan tengah-tengah turun bukit yang licin dan air yang bagaikan air terjun itu - brek pula lekat. Memang jem terus tayar hadapan motor Fida. Tak bergerak.



Air yang mengalir menuruni bukit memang sudah macam air terjun. Sedang cuba menolak motor Fida ke tempat yang lebih selamat.


Wan dan Syam memang sampai tepat pada masanya. Kelihatan Wan sedang cuba membaiki brek motor Fida. Baiki sementara, cukup untuk sampai di sekolah sahaja dulu sudah. Kemudian, kita baiki lain.



Ada antara jalan yang terputus terus. Contohnya macam gambar di bawah:



Kalau macam ini, kami terpaksa menyeberang sahajalah. Nasib baik lubang tidak besar mana, tapi arusnya kuat.

Dan, ada juga jalan tiba-tiba berubah menjadi sungai. Sungai naik ke darat! Ini memang sudah tidak jauh mana daripada sekolah. Sampai di sini, air sudah hampir melintas titi. Nasib baik belum tenggelam. Ke depan sikit baru nampak air sungai yang sudah naik ke jalan. Masa ini hujan sudah agak reda. Itu yang masih sempat ambil gambar.






Bahagian sebelah kanan itu agak dalam dan arusnya lebih laju.


Namun, walau bagaimanapun syukur Alhamdulillah - kami selamat tiba di sekolah walaupun semua sudah basah kuyup dan menggigil-gigil kesejukan. Elok-elok sahaja sampai di kuarters - hujan kembali lebat, pakej kilat-guruh-petir. Pehhh, memang nasib baik. Alhamdulillah.


10 comments:

Anonymous said...

besarnya dugaan kak...tharu je bc..:(

Unknown said...

singgah sini..
seronok baca pengalaman cikgu dipedalaman..

selamat bertuga cikgu..

zach adam said...

strong and brave girl :)

mokja said...

semoga anda semua yang menabur bakti disini sentiasa terpelihara dan berada dalam selamat sejahtera.Jasa dan khidmat anda besar ertinya .Terharu baca pengorbanan semua.

Anonymous said...

Jenuh malaikat mencatat pahala cikgu2 semua dengan pengorbanan begini. Mendidik anak bangsa sudah sebesar2 kebaikan, ditambah pula dengan penuh kesukaran. Semoga Allah lindungi cikgu2 dan anak2 Lemoi. I want to tell all of you warga SK Lemoi that you're so damn inspiring! ;D

Anonymous said...

tahniah kak bungo....truskan perjuangan mu mndidik ank bngsa......

nazirul sepang

cik yah said...

salam cikgu,

tak terbalas pengorbanan cikgu mendidik anak bangsa....

ieda said...

bangga dengan kamu semua...yg kat luar ni asyik terpekik terlolong minta itu ini sedangkan kamu di sana terus berkhidmat walau dalam sejuta kepayahan.moga Allah merahmati kamu semua.

zach adam said...

hey there, everything alright?

Unknown said...

Salam cikgu...mak sy pun guru jugak.dah berkhidmat slama 25 tahun..,. Slalu die mintak sy bukakkan blog cikgu ni...mak sampaikan salam n mintak almat skolah cikgu..katenye ade nak pos brg sikit uk anak2 situ.... Cikgu email la sy ye.... =)
nurnadia163@gmail.com