Apr 21, 2013

BAH LEMAN

Assalamualaikum w.b.t,

Pada suatu hari jumaat beberapa ketika yang lalu, di mana pada hari sabtu keesokan harinya kena sekolah ganti tersebut - selepas bermandi-manda di sungai bersama anak-anak murid, aku mengajak Faizah untuk sama-sama berjalan keliling kampung. Nama sahaja sekolah dalam kampung, tapi jejak kaki jarang sekali sampai tidak lebih dari kawasan kuarters guru kalau hari sekolah. Tambah lagi sejak kebelakangan selalu pula kedengaran anjing menyalak melengking-lengking menandakan adanya orang kampung yang mula memelihara binatang tersebut. Aku jadi tidak berani. 

Kampung Lemoi ini pun bukanlah besar mana. Kalau hendak pusing satu kampung, jalan kaki tak sampai 10 minit pun sudah habis pusing. Kalau hendak dikira jumlah rumah pula hanya terdapat kurang lebih 20 buah sahaja. Kurang atau lebih, sebab aku tidak pernah kira betul-betul. 

Jalan punya jalan, sampailah kami di hadapan rumah Bah Leman. Sebenarnya, memang aku ada pasang niat hendak melawat Herkoi. Anak Bah Leman yang sudah berbulan tidak ke sekolah itu. 

Bah Leman baru tahun lepas tinggal di kampung ini. Sebelum ini, dengarnya dia duduk di Pos Bihai, Gua Musang. Di sini memang kampungnya, ada adik beradik dan saudara-maranya juga. Bah Leman seorang bapa tua yang masih menanggung empat anak termasuk yang paling bongsunya menghidap penyakit syndrom down. Dikatakan isterinya, mempunyai masalah mental (yang mana ini merungkai misteri hilai tawa yang kami selalu dengar di beberapa malam). Isterinya kerap tidak bersama mereka, kerana selalu balik ke kampungnya di Pos Bihai itu. Oleh kerana Bah Leman terpaksa ke kebun demi mencari rezeki demi menyuap mulut dia dan anak-anak, Herkoi yang berada di tahun 6 itu terpaksa menjaga adiknya yang istimewa itu. Menurut borang tanggungan yang pernah diagihkan, yang menurut aku diisi sendiri oleh Herkoi, adik beradiknya ada 11 orang dan mereka ini adalah 4 yang terakhir. Tapi, semua abang dan kakak mereka tidak bersama mereka. Menjadikan Herkoi anak yang paling besar di sini.


Rumah Bah Leman ini baru dibina. Sebelum ini, dia tinggal menumpang di rumah Bah Papak - adiknya. Semasa aku dan Faizah sampai di halaman rumah, suasananya sungguh sunyi. Ada beberapa helai baju masih bergantungan di ampaian dan keliling rumah yang agak kotor.



Kelihatan, Kelyol sedang terbaring di luar rumah, dari dalam rumah kelihatan Bah Leman yang tidak berbaju sedang menghadap dapur yang tidak berasap. Melihat kami di hadapan rumah, dia terus keluar mendapatkan kami. Apabila ditanya, katanya Kelyol merajuk kerana berkehendakkan aiskrim yang berharga RM2.50. Kebetulan hari itu, ada bai aiskrim masuk berjualan. 

Katanya lagi, dia tidak cukup duit hendak belikan Kelyol aiskrim tersebut. Aku raba dalam poket, duit yang aku bawa semasa hendak turun tadi pun sudah habis aku guna buat beli aiskrim anak-anak lain yang ikut berjalan bersama kami. Lalu aku cuba pujuk dia, "Aiskrim satu ringgit pun sedap Kelyol. Tadi pun semua kawan awak makan aiskrim tu je." Nyatalah, aku bukan seorang pemujuk yang baik. Kata-kata aku bahkan tidak diendahkan oleh Kelyol. Melainkan dia terus memberontak sehingga Herkoi yang sedang memujuk dia juga jadi serba-salah. Nyatalah aiskrim kon cap Polar itu lebih menarik minat dia daripada aiskrim satu ringgit yang batang itu. Yang perisanya balik-balik oren itu. 


"Koi, pergi la kamu beli yang harga seringgit tu je. Nanti dia mesti makan juga." Kata aku. Herkoi bergegas turun ke bawah mencari bai aiskrim. Semasa Herkoi tiada itu aku sempat berbual dengan Bah Leman, bertanya dia kenapa Herkoi sudah lama benar tidak ke sekolah. "Macamana hendak pergi cikgu, mak dia tak betul, sewel..." Sambil berkata dia ketawa-ketawa malu. "Kena jaga adik dia ni, kalau tak macamana saya nak pergi kebun." Tutur dia. Lembut. Perlahan. "Mak dia selalu tak ada, balik kampung."

Aku tanya, tidak adakah dia saudara-mara yang boleh dia tumpangkan Wak Capik sementara Herkoi ke sekolah. "Tak ada cikgu...orang tak nak." Kata dia. Tapi barangkali juga dia tidak mahu susahkan orang.


Tidak lama kemudian, Herkoi kembali dengan muka berseri-seri. Ditangannya terdapat aiskrim kon yang berharga RM2.50 yang diidam-idamkan Kelyol itu. "Ha? Siapa bagi duit?" Tanya aku. "Abang tu bagi harga dua ringgit je, cikgu." Aiskrim itu lantas diserahkan kepada Kelyol yang masing terbaring itu. Untuk selanjutnya, aku tidak sampai hati melihat. Mahu gugur air mata aku di situ. Aku dan Faizah minta diri. 

Begitulah. Nampaknya apa lagi yang boleh kami buat demi mengembalikan Herkoi ke sekolah? Dulu sebelum kami tahu masalah dia, pernah ada seorang guru yang bertanya kenapa dia tidak hadir ke sekolah, dia kemudiannya menjawab... "Mak saya gila, cikgu."  Katanya tidak berselindung.

Herkoi, mengorbankan hak dia untuk ke sekolah demi menjaga adiknya. Bahkan dia tidak pernah rasa ragu atau malu dengan keadaan adiknya. Jika ada yang mempersendakan adiknya yang bercakap tidak tentu butir itu, dia akan menjawab... "Diakan cacat!" bagai mengatakan, jangan kau mempersendakan dia kerana dia bukan normal seperti kita. Selalu aku nampak mereka adik beradik melayan Wak Capik penuh kasih sayang. Baik dia, mahupun Dioi mahupun Kelyol sekalipun. 


Inilah dia Bah Leman. Dia tidak muda lagi, kudratnya juga sudah semakin hilang dimamah usia. Tapi, demi anak-anak yang masih kecil dia tetap paginya pergi mengusahakan kebun demi sesuap nasi atau setongkol ubi kayu. Petangnya, dia masih punya masa untuk menggendong Wak Capik berjalan-jalan keliling kampung. Sungguh, jarang benar aku nampak Wak Capik berjalan sendiri. 


Kedua-dua adik Herkoi, Kelyol dan Dioi masih bersekolah. Kelyol di tahun 3 dan Dioi di tahun 4. Antara mereka, aku nampak Dioi lebih cerah penerimaannya terhadap pelajaran. Dioi duduk di asrama, tapi Kelyol tidak mahu. Dioi juga seorang yang rajin, yang boleh diharap untuk buat sesuatu kerja. Selalu aku berpesan kepada Dioi supaya dia belajar bersungguh-sungguh, dengan air mata bergenang dia angguk. 

Semoga suatu hari nanti, isteri Bah Leman kembali pulih. Atau ada antara anak-anak Bah Leman yang sudah berkeluarga itu kembali dan tinggal di kampung ini. Bolehlah mereka menjaga Wak Capik dan makan pakai Bah Leman sekeluarga.

Inilah sebuah kisah hidup.

Sekian.


8 comments:

Shazwan Azizan - wanblur said...

wan singgah ke blog nie. Semoga terus cekal semangat menabur bakti dan jasa untuk anak nusa bangsa. Semoga Allah memberi kejayaan dunia akhirat kepada kak. :)

Unknown said...

akak hanis :)

Anonymous said...

Allah.....sayunya hati. Masih ada yang tercicir rupanya :'(

Anonymous said...

akhir nye akak bungo lale kembali dgn post terbaru.......sy skong perjuangan akak...smoga akak sihat sentiasa hendak-Nya......

nazirul sepang....

MrsYusofhussain said...

Hampir menitis air mata ni...dalam kita rasa kita ni susah, dekat sana lagi la susah...

Salam kenal...moga anda teruskan perjuangan utk masa depan anak2 itu...

kak bett said...

Selalu menyinggah dan membaca dan masih selalu juga bergenang airmata..Majalah 3 last week ada mengenengahkan isu guru di pendalaman..tetiba teringat bunga lale..patutnya dia datang kat sini...lagi sayu cerita yang dapat dipaparkan..semoga anak2 asli ini terbela nasibnya dengan adanya cikgu seperti bunga lale...

ieda said...

sedih baca kisah ni....teruskan menabur bakti utk mereka dik...moga Allah memberi ganjaran terbaik buat kamu & semua teman2 di sana...moga penduduk kg ini terus hidup aman damai.

Anonymous said...

kisah yg mnyedihkn hati..