Apr 20, 2013

KEJOHANAN BOLA SEPAK MSSDCH

Assalamualaikum w.b.t,

Ini ceritanya, 


Murid-murid sedang menjalani sesi latihan memanaskan badan bersama GPK Ko sendiri. Memang berkuasa bentuk memanaskan badan daripada GPK Ko, entah berapa kali dia lari pusing padang yang tidak berapa sempurna itu, kemudian tidak cukup dengan itu - dia bawa murid-murid jogging lagi di jalan kampung. Selepas itu ada lagi sesi memanaskan badan di padang. Aku tahulah sebab aku jeling-jeling tengok daripada gelanggang bola jaring yang bersebelahan ini sahaja. Kagum ah, sebab aku hanya tahu suruh sahaja murid-murid buat - nama hendak ikut lari bersama tidak sekali. T___T

Minggu-minggu sebelum kejohanan berlangsung, hujan pula kerap turun di sebelah petang. Maka hendak atau tidak, mahu tidak mahu - latihan perlu diteruskan juga. Bagi murid, mereka memang tidak ada hal untuk bermain dalam hujan. Walau akhirnya, padang yang ada itu mula bertukar jadi tempat berkubang. Dengan lumpur dan selut segala. Sungguhlah, padang kami tidak sempurna. Untuk buat larian secukup bulatan 200 meter pun tidak cukup, kemudian siap ada batu besar lagi di tengah-tengah padang. Tapi, tiada padang yang sempurna bukanlah alasan. Tengok sahaja SK Menson - yang merupakan antara empat sekolah orang Asli di Cameron Highlands - mereka langsung tidak punya padang. Tapi, untuk kebanyakan acara sukan - mereka muncul juara. Olahraga mereka juara, bola sepak juga... Jadi, kami yang ada padang ini haruslah tahu hendak bersyukur. Ada tidak, kami perlu gandakan usaha dan latihan untuk sama hebat dalam sukan seperti SK Menson. Kalau SK Menson boleh, mengapa tidak SK Lemoi juga bukan?

Kalau hujan turun, hari-hari yang semakin dekat dengan kejohanan bila mana latihan harus diteruskan - beginilah keadaan jurulatih. Berpayung. Anak-anak murid tidak ada masalah dengan hujan, bukan jenis bila kena hujan terus demam bagai. Bukan. Mereka lagi seronok dapat main hujan dengan 'kebenaran guru'. Kadang-kadang sengaja buat-buat jatuh di depan pintu gol yang ternyata lebih berlumpur. Seronok sangat kalau dapat berpalit dengan lumpur. 


Kemudian, hari yang di nanti itu tiba. Sehari sebelum kejohanan, murid-murid keluar selepas habis sesi persekolahan. Jalan kaki separuh hingga ke Kampung Telimau, dan menaiki motor dari situ. Oleh kerana murid yang hendak dibawa keluar itu agak ramai - 14 orang kesemuanya, maka pihak sekolah terpaksa meminta bantuan daripada orang kampung yang mempunyai motor untuk membawa murid-murid keluar. Kesemua murid-murid seperti biasalah, duduk di rumah Cikgu Wan.

Semasa hari kejohanan. Semangat dengan jersi pasukan yang baru. 





Yang ni jersi baru, yang gambar di atas tu jersi tahun-tahun lepas. Emmm, lepas ni pasukan bola jaring nak pinjam boleh? Seperti telah ku beritahu, kami ambil berat soal penampilan murid-murid. Biar mereka kemas, segak, bergaya... sekurang-kurangnya keyakinan diri akan bertambah sedikit.




Alhamdulillah, kami berjaya mendapat tempat ketiga. Begitulah, tahun lepas kami langsung tidak dapat hantar penyertaan kerana keadaan jalan yang teruk. Tahun sebelum hantar, tapi tidak berjaya mendapat sebarang tempat. Harap tahun-tahun mendatang memberikan kami lebih kecemerlangan.



Tuan Guru Besar bersama guru-guru dan murid selepas acara penyampaian hadiah.


Alhamdulillah. Tahniah kepada semua murid yang telibat.

Sekian.


No comments: