Mar 4, 2013

MERENTAS DESA MSSP 2

Salam,

Oleh kerana perjalanan ke Bera dijadualkan jam 0830hrs, seawal jam 0630hrs, kami mengejutkan murid-murid yang masih lena berselimut walaupun kedudukan tidur sudah tunggang langgang dan huru hara. Kejut sekali sahaja, murid-murid terus bingkas bangun ke bilik mandi.

Selesai mandi dan bersiap, kami berikan mereka sebungkus roti dan air teh sebagai pengalas perut perjalanan. Risau kalau bagi minuman bersusu takut muntah pula. Kemudian suruh mereka telan ubat tahan muntah. Wajib setiapkali perjalanan jauh. Ehhh, kalau ke Tanah Rata sekalipun aku dan Fida mesti beri ubat juga. Langkah berjaga-jaga, walaupun sebenarnya kalau dia nak muntah tu memang muntah juga. 

Dah siap-siap, rambut kemas berminyak-bersikat dan bertocang, baju jersi Malaysia, trek dan lengkap berkasut sukan yang disediakan oleh pihak sekolah, kami menunggu bas yang memuatkan kontinjen Cameron Highlands. Tapi, oleh kerana katanya Ketua Kontinjen iaitu Cikgu Mohd Zain - bas tidak muat, maka aku dan Fida akan membawa empat murid perempuan dengan kereta manakala dua murid lelaki akan naik kereta dengan Cikgu Mohd Zain.


Guru Besar sempat berjumpa dengan murid-murid dan memberi kata-kata semangat kepada mereka.


Selepas bas rombongan sampai, kami bergerak bersama-sama. Tak sampai sepuluh minit, ruang belakang sudah senyap. Toleh-toleh semua sudah tidur secara berirama. Belum pun sampai ke Bandar Raub, aku dan Fida dikejutkan dengan suara Sinah, "Cikgu, Syakira muntah." Bila toleh belakang nampak Syakira sedang tadah muntah dengan tangan, habis seluar dan kusyen kereta kena muntahnya. Terus tepuk dahi, lupa pula nak sediakan plastik! Terpaksa berhenti sekejap untuk menguruskan Syakira.


Kemudian kami meneruskan perjalanan. Sepanjang jalan memang aku ikut bas betul-betul. Takut sesat. Atau tertinggal. Kami berhenti makan tengahari di Bentong. Masuk tandas dulu, kena segarkan diri bebudak ni balik. Syakira masa ni memang dah tak ada perasaan dah riak muka dia. Pening la tu kot, tapi bila ditanya pening ke, dia kata tak.

Makan tengahari.


Sampai di SMK Seri Bera yang merupakan tempat penginapan kurang lebih jam 1530hrs. Matahari memang panas terik. Berpeluh-peluh. Kesian aku tengok anak-anak Cameron Highlands yang jarang berpanas ini, muka masing-masing memang macam udang kena bakar. Merah dan peluh jangan ceritalah. Semua berada dalam keadaan yang tidak selesa. Selepas diberi dorm maka semua laju-laju bergerak ke dorm untuk mandi.



Sempat ambil gambar Syakira sedang sikatkan rambut Shaniza. Sebelum itu, Shaniza ikat rambut Sinah. Amboiii, sweet sekali. Siap bantu membantu walaupun untuk ikat rambut.


Jam 183hrs, waktu makan malam. Ini kali pertama murid-murid ini beratur untuk mengambil makanan mereka sendiri. Walaupun awalnya semua macam takut-takut dan malu-malu, tapi aku paksa-paksa juga masuk dalam barisan - sekejap sahaja, hilanglah segala canggungnya. Dan pandai pula pergi ambil air sendiri. 

Makan sambil termenung. Agaknya Sinah macam tak percaya yang dia akhirnya menjejakkan kaki sejauh ini.


Sementara tunggu waktu taklimat, kami jalan-jalan sekitar SMK Seri Bera. Yang murid lelaki dua orang tu, pandai pula bawa diri. Aku tengok mereka siap bersembang dan bergurau senda dengan murid-murid lain dah. Bagusss... Tapi, yang perempuan ini, pemalu amat. Walaupun, ada kakak-kakak orang Asli dalam Kontinjen CH yang mengajak mereka bersama-sama, memang tak nak pergi langsung. Sampai kena tarik baru nak masuk dalam kumpulan. 



Taklimat dan diberi nombor oleh Cikgu Mohd Zain.


Balik bilik, mandi dan siap-siap pasang nombor di baju masing-masing.


Keesokan harinya, kami bertolak ke SMK Bera, Bandar 32 - tempat dimana Kejohanan Merentas Desa MSSP 2013 akan diadakan. 

Muka masing-masing di awal pagi selepas sarapan nasi lemak dengan telur dadar. Tak ambil sambal sebab takut sakit perut. Bagi Shaniza dan Rosmadi yang sudah biasa kerana tahun lepas juga mereka mewakili daerah mungkin debarnya kurang dirasa. Tapi bagi Misah, Syakira, Sinah dan Hairil memang muka tak boleh sembunyi betapa cuaknya mereka. Sampai aku dan Fida cakap berkali-kali kepada mereka minta bertenang, lari je macam kamu lari masa rentas desa daerah tu. Tak payah nak takut-takut.


Ikut kakak-kakak dan abang-abang semasa sesi memanaskan badan. Lari pun nak satu kumpulan je, tidak boleh berpisah langsung.






Taklimat dan kata-kata semangat daripada Pegawai PPD yang datang -  Encik Bad dan Encik Nasir.



Perasmian Kejohanan.


Acara pertama adalah bagi kategori bawah 12. Masa ni, muka Hairil memang cuak sungguh. Bila pegang dada dia memang dia punya berdebar tu boleh dirasa. Kesian dia...

Di garisan mula. Masa ni, aku yang lebih-lebih berdebar rasanya. Kalau boleh memang hendak ikut lari sekali. 

Murid lelaki dilepaskan dahulu.



Murid perempuan.




Kami memang tunggu kat tepi jalan. Walaupun sebenarnya tak boleh hendak tipu hati, ada rasa kecewa bila setiap murid yang melewati kami tetapi tiada anak-anak SK Lemoi. Mana ni? Mana ni? Hati berfikir, jatuh ke pengsan ke...

Kemudian, baru nampak Hairil. Terus jerit kuat-kuat. "Go Hairil!!! Sikit lagi! Sikit lagi!!!"


Tak lama lepas tu nampak Rosmadi. Kata dia, dia sakit perut. Walaupun sebenarnya, bukan perut yang sakit tapi pinggang dia. Dia selalu ada masalah ini setiap kali lari. Tapi tak apa, janji sampai di garisan penamat dengan selamat sudah cukup buat cikgu.


Shaniza yang sendirian. Agak awal dia tiba. Hati kembali rasa seronok.




Tak lama lepas tu, nampak Sinah, Syakira dan Misah yang berlari dalam satu kumpulan.


Elok sahaja habis murid-murid SK Lemoi, aku dapat panggilan daripada Cikgu Prabhu bahawa ada seorang murid kontinjen kami cedera, dan dirawat di khemah JPAM. Terus berkejar naik ke atas. Meninggalkan Fida meneruskan perjuangan memberi sorakan semangat kepada murid-murid lain.

Sampai di khemah JPM, nampak Kogila berada di atas pengusung dengan seorang anggota JPAM sedang merawat dia. Kejang pinggang katanya. Kogila inilah yang mendapat tempat pertama semasa peringkat daerah. Kesian dia tidak berjaya menamatkan larian.

Selepas itu, baru aku jumpa murid-murid SK Lemoi. Dan hasilnya, Shaniza adalah pelari terbaik kami yang mendapat tempat ke 20 daripada 88 orang peserta. Sinah 44, Syakira 46 dan Misah 47. Manakala Hairil 57 dan Rosmadi 62.

Walaupun keputusan begitu, tapi tetap kami berasa puas hati. Sekurang-kurangnya ini adalah sebagai pendedahan kepada mereka. Harapnya, tahun depan kami ada peluang lagi untuk mewakili daerah.



1 comment:

johan adam said...

aku bangga ada cikgu mcm ni. tahniah