Mar 4, 2013

MERENTAS DESA MSSP 1

Salam,

Selepas SK Lemoi berjaya mendapat Johan Keseluruhan Kejohanan Merentas Desa MSSD Cameron Highlands, dan seramai 6 orang murid kami telah mendapat tempat antara 1 hingga 8. Dengan itu, mereka telah layak untuk mewakili daerah Cameron Highlands ke Kejohanan Merentas Desa MSSP. Atau ringkasnya peringkat negeri.

Oleh kerana aku rasa cerita ini agak panjang, maka aku tulis dalam beberapa siri ya. Siri 1 : Perjalanan Murid Keluar, Siri 2 : Semasa Kejohanan dan Siri 3 : Perjalanan Murid Balik. 

Tahun lepas kejohanan diadakan di Raub, jadi tak adalah jauh sangat nak bawa murid. Tapi, tahun ini diadakan di Bera pula. Agak jauh. 

Jadi, hari Khamis itu - murid-murid pun bersiap dengan gembira dan teruja untuk berjalan ke Bera. Biarlah tak tahu langsung kat mana Bera itu sebenarnya. Jangan kata mereka, aku sekalipun tak pernah sampai ke Bera. Macam tahun lepas, tahun ini - aku dan Fida yang akan mengiring murid kami ke Bera.




Rosmadi, Hairil, Misah, Shaniza, Sinah dan Syakira. Zairani tu saja tumpang bergambar. Masa ni murid-murid dah siap dengan beg pakaian masing-masing. Oleh kerana jalan masih teruk, dengan licin-lumpur segala kerana hujan yang turun bersambung-sambung maka, murid-murid diminta berjalan kaki sehingga ke jalan berturap iaitu di Kampung Telimau. Dari situ, kami akan ambil dengan motor. Maknanya, murid keluar jalan kaki dahulu dan kami akan ikut dari belakang. Sebenarnya, nak bawa murid-murid keluar di tengah-tengah minggu sekolah ini memang akan timbul masalah. Siapa yang hendak keluar dan kena masuk pagi-pagi keesokan harinya. Sementelah lagi, minggu ini ramai guru tiada di sekolah kerana ada kursus atau mesyuarat di luar. Nasib baik, guru besar dan GPK Ko dan GPK HEM kami masuk petang rabu dan khamis terpaksa keluar lagi sebab ada mesyuarat lagi. Jadi dengan beberapa orang inilah - kami membawa murid-murid keluar.

Murid-murid berjalan kaki sehingga ke Kampung Telimau. Punyalah laju sehinggakan aku dan Fida tidak terkejar. Tambah lagi jalan berselut yang lorong tayar motor kami lalu itupun semakin dalam, tersangkut-sangkutlah kami. Terpaksa berlari dengan motor. Atau kayuh motor. Sambil bawak motor naik bukit sambil kaki menolak tanah dengan kuat untuk sampai ke atas. Memang agak tercungap-cungap dan mengah juga. Dalam dingin cuaca badan berpeluh juga. 

Bila sampai di Kampung Telimau, murid-murid sudah sedia menunggu.


Oleh kerana GB, Cikgu Nik dan Cikgu Tuan belum tiba - tapi renyai hujan sudah mula terasa, kami tahu kami tidak boleh tunggu lagi. Bawa sahaja mana mampu. Aku bawa Syakira dan Sinah sekaligus. Fida bawa Sinah - itupun dalam bakul diisi beg-beg Rosmadi, Hairil dan Shaniza. Memang muatan melebihi had. Tapi apa boleh buat. Aku dan Fida bergerak dahulu dan kami minta mereka yag tinggal untuk jalan perlahan-lahan sementara guru lelaki sampai. 


Hujan masa tu semakin lebat. Kesian pula murid-murid yang kesejukan di belakang. Punya hendak cepat tadi tak teringat langsung hendak bekalkan dengan plastik. Nasi yang siap dibungkus oleh makcik kantin untuk bekal mereka juga langsung tertinggal. 

Dengan muatan yang lebih itu, memang agak sukar hendak mendaki bukit. Terhuyung-hayang juga. Tapi, mahu atau tidak kena teruskan perjalanan. Sampai di Bukit Pasir, hujan semakin lebat. Kami berhenti dan berteduh di pondok tinggal sementara menunggu yang lain-lain sampai.


 Tidak lama menunggu Cikgu Tuan yang memboncengkan Shaniza sampai dan mengambil Sinah juga. Dengan beg-begnya. Susah memang susah, tapi susah itulah yang kami kena tempuhi demi anak-anak ini.Boleh sahaja kalau kami tidak mahu hantar murid keluar, beri sahaja alasan "Susah nak bawak budak..." dah selamat. Tapi setakat ini, setiap acara yang dipertandingkan di luar - seboleh mungkin kami akan hantar peserta. Bola sepak, bola jaring, sepak takraw atau bercerita segala. Sesusah mana selagi boleh usaha, pasti kami akan hantar juga. Sebagai pendedahan buat mereka. Kalah atau menang itu bukan ceritanya. Tapi setakat ini, jarang juga kami balik dengan tangan kosong ;p



Cikgu Nik yang tiba dengan Rosmadi dan Hairil. Ini siap bawa beg silang lagi. Memang berbeg-beg. 


Aku dan Fida meneruskan perjalanan kami. Masih jauh. Kali ini aku bawa Syakira dan Fida bawa Sinah sahaja. Seorang satu. Hujan pun semakin lebat. Kami yang berbaju hujan inipun kesejukan apatah lagi murid yang hanya berbaju t, seluar trek dan selipar jepun. Alahaiiii...

Sampai di titi ini, Syakira dan Sinah turun berjalan kaki. Aku tak berani nak bawa mereka sekali melalui titi nan dua ini. Aku sendiri pun belum tentu lepas.


Berani-berani takut. Atau lebih tepatnya lebih takut daripada berani. Masa ni fikir, aku kena cuba juga lalu jambatan ni dengan motor. Kalau tak sampai bila aku nak sorong motor ni setiap kali lalu sini? Aku pilih titi kayu itu, sebab ada ruang yang tayar motor boleh masuk. Kira lebih stabillah kononnya pada fikiran aku. Tapi, aku lalu bukan dengan sekali vrooom terus sampai ke seberang. Takkk... aku bertatih-tatih dengan kaki memijak batang kayu. Dan batang kayu itu pula licin sebab basah. Macam-macam yang bermain di fikiran aku. Macam, kalau aku silap pijak atau kalau aku tergelicir sebab licin ni macamana? Ke bawahlah jawabnya. Dengan aku-aku dengan motor-motor sekali. Kalau motor rosak tak apa lagi. Tapi kalau aku yang cedera, macamana? Macamana nak bawa aku keluar? Pehhh... aku punya fikir memang bukan calang-calang.

Tak apa. Biar perlahan, janji aku dan motor selamat sampai ke seberang. Kenapa aku tak pilih titi yang diletakkan papan ini? Sebab aku nampak papan dia dah mula patah-patah dah. Lagi ngeri.


Bila aku dan Fida sampai ke tempat makan di Ringlet - Rosmadi, Hairil, Sinah dan Shaniza sudah sedang menikmati makan tegahari mereka. Nasi dengan lauk ayam bersama sirap bandung sekali. Amboiii... kemain korang. Cikgu Nik kemudian memesan makanan yang sama untuk Syakira dan Misah. Maka, makanlah mereka dengan penuh berselera walaupun baju di badan lembab-basah dan kaki yang comot berlumuran lumpur. Kami tidak boleh elak pandangan orang. Iya, memang bukan sekali kami berjaya mencuri pandangan orang ramai. Ada yang beriak pelik, hairan dan takjub. Okay, yang takjub tu aku tahu agak melampau. Saja aku tulis.



Selepas murid siap makan, maka kami bawalah balik ke rumah kami. Sebenarnya, rumah kami ini adalah kuarters JKR lama. Lama betul. Bukan main-main punya lama. Memang agak old skool. Tapi cool. Antik. Dan kawasan itu juga daripada sederet kuarters tu, empat buah rumah dihuni oleh cikgu-cikgu SK Lemoi. Jadi, senang kalau bawa murid-murid keluar memang rumah kamilah yang akan jadi asrama. Buat beberapa hari itu, kamilah yang akan jaga mereka. Contohnya, malam ini - Cikgu Nik yang akan uruskan makan malam mereka. Rumah Cikgu Nik yang akan jadi tempat lepak mereka sebab rumah aku dan Fida mana ada TV. Oh kesian.

Bila malam. Murid perempuan bermalam di rumah kami dan murid lelaki di rumah Cikgu Nik. Tidur awal-awal sebab esok akan menempuhi sebuah perjalanan yang panjang. 

Ini baru empat orang, bayangkan kalau bawa team bola jaring nanti. Memang penuhlah ruang tamu rumah kami dengan deretan mereka. Baik je nampak tidur ni, tapi tak sampai sepuluh minit lepas aku tutup lampu sudah tunggang langgang. Sinah sudah melintang di atas Syakira. Misah sudah ketepi dinding dan selimut entah kemana-mana. Selamat malam, mimpi indah ;)



P/S: Sampai di rumah, aku terima sebuah bungkusan daripada seorang pembaca. Intan Sahara. Bila aku buka, maka kelihatanlah pensel-pensel warna Luna ini di dalam kotak yang Intan kirimkan untuk 96 anak-anak SK Lemoi. Ya Allah, terharu sungguh. Terima kasih Intan. Biarpun awak kata pemberian ini tidak seberapa tapi sebenarnya ianya sangat bermakna buat kami. Walau siapapun awak, saya doakan agar awak sentiasa dimurahkan rezeki olehNya.


4 comments:

Siti said...

dahsyat gaklah diorang ek. nampak sorang2 kecik halus je tp semangat tinggi. tahniah cikgu...

Cikja said...

adoi cikgu..tiap kali baca N3 cikgu, macam-macam rasa ada..macam nak tolong cikgu meniti titi tue pun ada..mcm nak tolong bawa beg pun ada ..tapi sebenarnya saya tolong tengok je..huhuhu...

kagum kagum kagum..sangat kagum.


shahida rosli said...

cikgu...sedih saya baca coretan cikgu kali ni..macam mana ye kalau saya nak beri sedikit bantuan untuk anak2 murid cikgu tu? boleh bagi alamat tak, senang saya boleh pos..

saliz said...

bila bace entry2 cekgu, selalu tgk cermin sambil kata dlm hati "ah mengada2 sungguh aku ni. itu nak sentap. ini nk kecik hati. hantar gi lemoi baru ada akai".