Mar 10, 2013

KARNIVAL KO AKADEMIK BM

Assalamualaikum...

Rasa macam tak menyempat-nyempat dah nak bagi salam ni sebab nak cakap perkataan ini... YEAYEAHHH!!! 

Sebab apa gembira sangat sampai perlu semua huruf besar dan bold segala? Hahaha. Jawabnya inilah. Sebab INI...


Nampak tak? Johan Bercerita Tahap 1 (SK POS), Johan Pidato (SK POS) dan Naib Johan Bercerita Tahap 2 (SK POS). Untuk Karnival Ko Akademik BM dan BI, sekolah pos atau sekolah orang asli punya kategori sendiri. Jadi, mereka hanya akan berentap sesama sendiri (Amboiii, bukan main lagi menggunakan perkataan berentap di situ). Di Cameron Highlands ada 4 buah sekolah orang asli iaitu SK Lemoi, SK Menson, SK Terisu dan SK Telanok. Tapi dalam keempat-empat ini, kedudukan SK Lemoi adalah paling jauh dan tersorok sekali.

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Syukur yang tidak terhingga kerana hasil tahun ini lebih baik daripada tahun lepas. Kalau tahun lepas kami terpaksa berpuas hati dengan 1 johan dan 2 naib johan, maka tahun ini 2 johan dan 1 naib johan sudah dikira satu peningkatan yang cukup baik. Walaupun sebenarnya tidak berapa jauh dalam lubuk hati aku sebenarnya aku punya cita-cita untuk sapu bersih Johan bagi ketiga-tiga acara. Tamak bukan? Tapi, tamak aku itu pun sebenarnya tidak beri apa-apa keuntungan peribadi. Demi untuk murid-murid dan sekolah sahaja semestinya.

Tak apalah.Kalau tahun depan aku masih di sini dan jika masih GPK Ko beri kepercayaan kepada aku untuk melatih mereka - maka ya, tidak bertangguh tidak bertunggu - berlatih terus seawal minggu pertama sesi persekolahan lagi. Hahaha. (Gelak evil).

Ini tidak, sebab teragak-agak, ternanti-nanti bila tarikh sebenar Karnival Ko Akademik BM akan diadakan, campur dengan komitmen kerja lain (KONONNYA) maka kurang dua minggu sahaja sempat berlatih. Bercerita tak apa lagi, sebab tajuk dan cerita kita boleh pilih sendiri tapi pidato tajuknya diberi. Semasa dapat tajuk, hari pertandingan kurang lebih daripada seminggu lebih sahaja lagi. Tapi, dek kerana GPK Ko bertekad untuk hantar penyertaan juga maka berlatihlah Ayek dalam tempoh sesingkat itu. Minggu pertama dapat tajuk, kena berperang untuk mengingat teks. Sehabis ringkas aku cuba pendekkan teks pidato tersebut. Dan sehingga saat hari terakhir melepaskan Ayek keluar itupun dia masih tidak ingat isi keempat pidatonya. T___T

Minggu lepas, masuk hari ahad malamnya terus turun ke sekolah untuk melatih Ayek, Mat Yo dan Jezzie buat kali terakhir. Walau telah berkali aku kata, malam ini tidak boleh tidak semua kena hafal tapi sampai ke penghujung pun Ayek masih gagal mengingat teksnya. Maka, cikgu yang "panas" ini pun mulalah mengungkit... "Cuti buat apa? Main? Mancing? Pergi kebun? Jaga adik?" Sehinggakan terkebil-kebillah Ayek kerana gagal menangkis serangan bertubi-tubi daripada gurunya itu.  

Isnin, pagi-pagi lagi sampai sekolah terus cari mereka bertiga. Memang begitupun rutin sejak dua minggu kebelakangan. Rehat pun kena baca juga. Petang je dapat rileks sedikit sebab Cikgu  ada di gelanggang bola jaring, tapi malam memang tidak boleh lari. Rutin yang berterusan selama lebih dua minggu. Susah hati aku bukan mainan sebab dah dekat hujung-hujung latihan pun budak bertiga ni boleh tiba-tiba tersilap-terlupa. Tapi, kalau nak nyanyi lagu "Andai Dapat Ku Undur Waktu" tiga empat juta kali pun, waktu itu tetap tidak dapat diundur. Mahu atau tidak kena hadap juga.

Tengahari Isnin itu, keluarlah Ayek, Mat Yo dan Jezzie dibawa oleh guru yang akan mengiring mereka kali ini - Nik, Wan dan Mel. 

Malam itu, dapatlah khabar dan gambar melalui WhatsApp. Ketika Ayek, Mat Yo dan Jezzie sudah lena dibuai mimpi...



(Amboiii, seksi aih Mat Yo tidur sampai terselak-selak baju...)


... ada insan yang sedang bertungkus-lumus menggosok baju sekolah murid-murid buat dipakai semasa Karnival Ko Akademik esok. 


Biar kemas, biar segak, biar bergaya di mata semua. Kalaupun terpencil, tersorok, - bukan alasan untuk kita tampil tidak kemas. Kami selalu mahu setiap kali murid dibawa keluar biar penampilan mereka tidak jauh bezanya dengan murid-murid di luar. 



Oleh kerana bukan aku yang mengiringi, maka cerita selanjutnya atau cerita dengan lebih mendalam lagi termasuk suasana hari pertandingan atau perasaan murid-murid itu sendiri - tidaklah dapat aku ceritakan kepada kalian. Oleh itu, biar sahajalah gambar-gambar ini yang berbicara.

Guru-guru sedang memperkemaskan murid-murid. 



Kemudian mereka bersarapan dahulu. Mat Yo muka konfiden sahaja, almaklumlah ini kali kedua dia dihantar mewakili sekolah ke Karnival Ko Akademik BM ini. Tahun lepas dia naib johan, tapi tahun ini dia telah menebus kekalahan lalu dengan muncul johan. 


Shaharinie a.k.a Ayek sedang menyampaikan pidatonya yang bertajuk "Bahasa Jiwa Bangsa". Untuk pengetahuan, dia ni abang kepada Mat Yo. Untung Shamsudin, dapat anak-anak yang cerah mindanya. InsyaAllah, boleh berjaya suatu hari nanti.


Shaharul Asziedienie a.k.a Mat Yo dengan ceritanya "Anak Tupai Yang Ingkar".


Jezzie dengan ceritanya "Pengajaran Buat Kenyam". Cerita asal daripada sebuah novel kanak-kanak, tapi sebab nak pendek maka aku olah kembali dalam versi aku sendiri. Nasib juga menjadi.



Disebalik setiap kejayaan murid, berdirinya seorang guru. Haaa, gambar candid GPK Ko kami - Cikgu Nik .



 Upacara penyampaian hadiah kepada pemenang.






Aku suka tengok gambar kat bawah ni. Aku tak tahu apa sebenarnya yang berlaku, tapi nampak tak muka Mat Yo dan Ayek yang ceria menunjukkan hadiah mereka. Bangga.



Maka dengan itu, satu lagi tanggungjawab yang diamanahkan kepada aku sudah aku selesaikan. Untuk acara seterusnya, Karnival Ko Akademik BI yang dijadualkan dalam bulan April nanti - Fida yang akan menggalas tanggungjawab pula. Okay, jadi Fida - semoga berjaya, kalau BM kita tidak dapat gondol Johan semua, kepada BI lah kami berharap. Chaiyokkk!!!

Sekian.



16 comments:

Siti said...

tahniah sekali lagi cikgu...

mj said...

tahniah... jugak...

~SESEMUT~ said...

tahniah!

Anonymous said...

Ohhh....tetibe nyesal tak jadi cekgu....priceless sgt nengok muke murid bangga tunjuk medal...

Unknown said...

Tahniah!!

zach adam said...

Tahniah!!!

Anonymous said...

salam cikgu,
saya teringin nak menyumbang sesuatu seperti alat tulis/barang keperluan belajar/pakaian utk murid cikgu.. Boleh saya tahu apa barang yg mereka perlukan ?

ibu najlaazuhaira
ida@gmail.com

Rina.. said...

Salam perkenalan...
Membaca blog ni mengingatkan kembali kenangan mengajar di sklh OA dulu.(2005-2008). Rasanya sy lbh bernasib baik krn kereta blh sampai ke kwsn sklh. Tp keadaan murid lbh kurang sama je. Best kan, less stress dgn mslh disiplin murid n perangai sesetengah parent kat sklh luar skrg ni yg suka komplen ntah apa2.(sikit2 ugut nak saman). Klu x disebabkan dah kawin n husband kat kedah ni, rasanya saya still lagi kat Perak nun.

Anonymous said...

salam cikgu, kenapa dah lama tak update blog?

Anonymous said...

salam cikgu.....
sy mnunggu dan trus mnunggu update drpd cikgu yg komited ntok trus mngajar ank2 org asli ini......sgguh sronok bile bce blog ni yg cikgu gne kn perkataan yg diubah2 sndri......mybe cikgu ad mslah kot.....tu yg lmbt update or mybe cikgu da kne transfer?brape bnyk mybe daaa.....
hope cikgu sihat sejahtera hendak-Nya

nazirul sepang

Anonymous said...

cikgu, update la plissss.
ketagih dah ni.

zach adam said...

i come here everyday for your new post, hope everything doing well.

Anonymous said...

salam, best sgt bc tulisan cikgu...menyuntik smgt saya utk terus menggalas amanah ini.

Admin said...

baru jumpa blog ni.. sangat menarik :')

Sekolah tu ada nama cikgu zaki tak? hehe..

cikguHidayah said...

tahniah cikgu..saya dulu berpengalaman menjalani praktikum di salah sebuah sekolah orang asli di kuala lipis. kawan saya ad yg ditempatkan di sk telanok n terisu untuk praktikum tahun lepas. murid orang asli ni memang ada bakat tersendiri. cuma perlu buang sifat malu yg masih menebal. huhu ^^

Anonymous said...

Saya anak jati Lemoi,manghargai jasa dan pengorbanan guru2 SK Lemoi.Abor...lay pigoi.ALIN