Jan 20, 2013

CABARAN 2013

Salam,

2013. Banyak yang dah berubah. Antaranya, separuh jalan ke sekolah sudah berturap. Bukan dengan tar tapi macam simen kasar tu. Semasa proses pembinaan memang banyak insiden kelakar berlaku. Sebab kadang-kadang masa kami lalu nak masuk atau keluar dari sekolah tu, jalan baru lepas simen. Ingatkan boleh lalu sebab macam simen dah keras tapi rupa-rupanya masih lembik lagi. Maka bergarislah jalan dengan kesan tayar motor kami. Lepas tu kelam-kabut cepat-cepat blah daripada tempat kejadian sebab takut kantoi. Tapi, esoknya guru besar cakap kontraktor mengadu kami rosakkan jalan. Hahaha. Lepas tu, kalau jalan baru simen - mereka akan tutup. Kadang-kadang tutup elok, jadi kami tahu maksudnya tak boleh lalu. Tapi, kadang-kadang tutup jalan macam aci tak aci je sampaikan kami yang nak lalu kena berhenti dulu. Kemudian fikir, boleh lalu ke tak ni.. Kadang-kadang salah perkiraan. Sebab, bila mula-mula naik atas simen tu macam okay - tapi bila sampai ke tengah terus mendap. Alamak. Namun, akhirnya jalan tersebut siap disimenkan. Akan tetapi, oleh kerana faktor muka bumi dan keadaan cuaca - jalan sudah mula rompong sana-sini. Ada yang sudah runtuh sikit.

Awalnya, ingatkan disimen sampai ke sekolah. Rupanya separuh jalan sahaja. Sampai Kampung Telimau. Berbaki perjalanan kurang lebih 30 minit untuk sampai ke sekolah. 30 minit tu kalau ikut memang sekejap, tapi bila duduk atas motor memang rasa lama sangat. 

Dan, biasanya juga awal tahun - hujan kerap turun. Permukaan jalan jadi licin dan berlumpur. Kadang-kadang tempat yang sebelum ini elok pun jadi tak elok. Jadi perkara-perkara jalan tidak elok ini memang tidak boleh kita jangkakan. Tapi, adalah beberapa tempat yang kita ingat - yang selalu berlumpur dan licin.

Jadi, hari jumaat minggu pertama itu - guru besar membenarkan kami, guru perempuan untuk keluar lebih awal sedikit daripada guru lelaki yang lain. Maka, kami berempat dengan semangat wajanya pun keluarlah terlebih dahulu. Kalau nak masuk ke sekolah, jalan lebih banyak menuruni bukit - jadi agak senang bagi kami melepaskan diri daripada cengkaman selut. Tapi,  bila hendak keluar - jalan lebih banyak mendaki.

Ini cabaran pertama. Masa ni, hanya kami berempat yang berjuang untuk melepaskan setiap buah motor kami. Memang agak memenatkan sampai terpaksa berhenti rehat, tarik nafas dalam-dalam. Kerjasama memang amat penting dalam keadaan ini. Selalunya kalau ikut formasi aku jalan dulu, kemudian Fida, As dan Faizah. Dah jadi biasa dengan formasi macam ni. Jadi, mereka bertiga ikut jalan aku. Kalau katalah aku salah pilih jalan atau sangkut, maka begitulah nasib tiga buah motor lagi. Tapi, kalau aku sangkut dan masih ada jalan lain yang boleh lalu maka aku akan cakap pada Fida supaya ikut jalan tersebut. Kalau nasib baik dia lepas maka lepaslah. Lepas tu baru mereka akan tolong aku yang tersangkut tadi. 




Masa sampai di bukit ni, motor aku dah lepas. Tinggal lagi motor Fida, As dan Faizah. Lorong yang kami lalu yang muat-muat tayar je tu dah dalam benar. Memang berjerih perihlah kami nak menolak motor naik bukit ni. Nasib baiklah, Cikgu Fadli sampai. Dia sempat tolong kami. Lepas tu, yang dia ni nak mengelak jalan yang kami lalu tu pergilah ikut jalan lain. Sekali sangkut jugak. Terjatuhlah sekejap dia kat situ sebelum datang Cikgu Nik untuk membantu. Tapi, kami sebab dah biasa - perkara-perkara jatuh ini memang jadi bahan ketawa dahulu baru datang nak menolong. Macam kes ini, sempat lagi ambil gambar dahulu.




Masa nak sampai ke Kampung Telimau ni, jalan memang dah jadi bubur sangat. Masa ni kumpulan cikgu lelaki yang sempat menolong tadi dah lepas. Yalah, mereka pun mengejar waktu. Nak balik kampung jumpa anak isteri dan yang lebih penting supaya mereka sempat solat Jumaat di Gua Musang. Jadi, itulah yang mereka tidak tunggu kami. Lagi pula, ada kumpulan kedua guru lelaki yang belum keluar.

Masa ni, memang lagi teruk lumpur dia daripada tempat tadi. Sebabnya, ada kenderaan pacuan empat roda hak milik TNB yang kandas kat sini. Memang sampai sudah tak boleh masuk, maka terpaksa ditarik oleh kenderaan lain pula untuk dibawa keluar. Sebenarnya macam nilah, kalau tempat lain pacuan empat roda boleh masuk - kat sini PPD nak bayar RM1000 untuk bawa mereka masuk pun, kontraktor tak nak. Sebab kes-kes macam ni. Dan lagi parah, kenderaan mereka rosak teruk.

Memang sudah tak larat sangat, jadi kami berempat pun rehat sekejap. Masa ni motor aku tu dah mati, puas aku, Fida, As dan Faizah cuba start semula tapi dia tak mahu hidup. Lelah. Sesak dada. Merah muka. Semua ada. Nasib baik tak lama kemudian bantuan pun tiba. Guru-guru lelaki kumpulan kedua. Merekalah yang berhempas pulas cuba melepaskan motor kami daripada belenggu selut itu.

Parking tak payah pakai tongkat. Mejik.




Wan ni dalam demam-demam dia tu pun sanggup susah payah menolong sampai lepas tu terpaksa duduk dalam semak tu. Kumpul balik oksigen.




Tuan, yang berangan jadi jockey. "Derah, derah wak  naik dulu muto - nanti joki gi tulong. Joki nok paka sarung tangang dulu nih." Kata beliau. 




Opppsss. Kadangkala tidak semudah yang di sangka. Ingat ringan ke nak angkat motor tu dari lorong tu ke atas? Berat wooo... Ni nyaris-nyaris jatuh sebab kaki pun dah terselam dan sangkut dalam lumpur.



Lepas dah lepas empat buah motor kami, baru mereka lalu dengan KLX mereka. Tapi ini pun jenuh kaki nak mengais bagi lepas tu. Naik KLX pun bukan senang ooo. 




Ini guru besar yang penuh berlumpur. Sebabnya, masa dia menolong tolak motor Fida - dia jatuh tertiarap tapi cepat-cepat dia bingkas bangun dan tolong tolak lagi sampai lepas.



Murid-murid Kampung Telimau yang berjalan kaki pun sudah sampai sedang kami masih lagi berjuang untuk melepaskan motor masing-masing. Muka Dahari steady je. Memang dah biasa duk ulang-alik jalan kaki. 



Namun, apapun halangan dan dugaan yang kami tempuhi - kami tetap happy. Alhamdulillah, Allah SWT telah pilih kami untuk merasa pengalaman ini. In shaa Allah, kami akan terus mendidik anak-anak Orang Asli ini.


Sekian.

13 comments:

Yunus Badawi said...

Salam kenal.

Saya tabik dengan kegigihan dan kesungguhan cikgu-cikgu untuk mendidik anak bangsa. Hanya Allah yang dapat membalas jasa kelian.

DoodleDesign said...

baca cerita pun dh rasa cam penat... fuh! mncaboo nyaaaa...

all da best, sis :)

Kay said...

pengalaman!!

kagum dgn guru2 yg tabah!

InaAchik said...

assalamualaikum.

tabik spring dgn guru2 ni semua specially wanita besi seperti penulis dan kawan2...

jasa seorang guru yg tak terbayar dgn wang ringgit.
semoga dibalas dgn SAHAM tertinggi di akhirat kelak.

semoga terus diberi kekuatan dan kecekalan sekuat badang! ;)

#proud of u.

Gieyana said...

Alhamdulillah..mmg memerlukan jiwa yg kental nk lalui semuz nie kan..

Suka yg mejik tue..motorxyah pakai tongkat..:-)

azryn said...

waaa respect sy kat cikgu2 ni semua :)

semoga Allah mudahkan segala urusan.

Aza Aje said...

Tergelak2 saya baca pos ni. Teringat kenangan bersama ayah merentas selut mcm ni masa kami tinggal di Ladang Tereh Kluang. Memang jerih kalau hujan, tapi bila hujan tak turun, berdebu pula. Alhamdulillah kini saya pula jadi cikgu. Cuma bukan di kawasan pedalaman. Syabas bunga lalang.

fathen yaya said...

salam.
kalian mmg kental. Salut!!!

~Sya~ said...

kagum dgn kegigihan cikgu2...walaupun cikgu rs kelakar tp meleleh air mata sy baca kisah ni..lg2 tgk guru besar penuh lumpur...guru besar kat KL siap ada driver...

mj said...

ye betul tu... baca cerita cikgu ni buat saya insaf diri, kerja kat tempat selesa, tak perlu lalu halangan nak sampai tempat kerja. Memang tabik la kat guru besar tu, sangat merendah diri.

Anonymous said...

pengalaman berharga cikgu....x semua yg bertuah dpt pengalaman mcm ni.....

. said...

Ya Allah,

Berikanlah kekuatan dan semangat kepada guru-guru ini untuk terus berkhidmat. Kalau nanti mereka telah tiada, tetapkanlah janjiMu Ya Allah untuk mengurniakan rahmat yang berkekalan kepada setiap ilmu yang dipanjangkan oleh mereka. Amin.

zach adam said...

i really salute all teachers there, especially the writer of this blog, keep it up!