Jul 22, 2010

Kenapa Saya?

Sejak akhir-akhir ini, tanah Lemoi selalu dibasahi hujan. Fenomena hujan di petang hari atau di malam hari mahupun di pagi hari adalah kerap berlaku. Sepanjang minggu ini seingat saya setiap hari pun hujan akan turun, baik dalam kuantiti yang sedikit atau pun dalam kuantiti yang mencurah-curah.

Kadangkala kalau hujan lebat sangat, saluran air akan tersumbat dan mensebabkan bekalan air ke kuarters akan terganggu. Bila begitu, air di tangki pun tidak bisa mentampung jumlah kami yang seramai 6 orang (termasuk 2 pekerja kantin). Selalunya, bila bangun pagi - air di dalam kolah plastik yang kecil itu sudah tinggal suku dek kerana orang pertama bangun mandi dan tidak beringat kepada orang belakang. Dan bila terjadi begitu di pagi hari, emosi mulalah terganggu. Geram. Nasib juga rumah sebelah tidak berpenghuni. Jadi, saya akan mentumpang mandi di sana. Tapi sejak hari Selasa - rumah itu telah didatangi penumpang sementara iaitu para jururawat yang masuk setiap bulan. Nasib juga sejak itu, bekalan air tidak terganggu pula.


Perubahan cuaca juga berlaku. Udara semakin dingin. Kalau tidur malam, saya siap memakai baju panas, berstoking dan berselimut tebal. Namun dingin cuaca terus mengganggu tidur saya. Malahan, pipi pun terasa sejuk sangat macam ada penyaman udara sahaja padahal tak pun. Pagi-pagi datang sekolah, kain baju kurung memang tidak dapat mentampung cuaca yang sejuk begitu. Sejuknya menyengat-nyegat ke kulit. Tapi, yang hairannya saya degil-degil juga tidak pakai baju panas pula tu. Heheheheee...

Macam hairan kan kenapa saya tiba-tiba menggunakan kata ganti nama saya. Padahal sebelum ini saya guna aku sahaja. Maklumlah, bagi saya - blog ini tidak ada pembaca pun berdasarkan komen yang saya terima. Kadang-kadang setiap entry saya tidak pernah ada orang komen pun. Malah yang selalu komen pun adalah orang-orang yang saya kenal sahaja. Tapi, setelah saya tahu blog ini ada "Silent Reader" yang saya tidak jangka-jangka - saya ambil keputusan untuk lebih bersopan. Heheheee... lagi pula, saya rasa penggunaan kata ganti nama saya ini agak manis juga dibaca. Mula-mula dulu saya terkejut, bila dapat tahu Guru Besar sekolah saya (kini beliau telah bertukar ke PPD) turut membaca blog saya - saya jadi malu. Entah apa-apa bahasa yang saya guna dalam blog ini, entah apa-apa perkara yang saya tulis dalam blog ini yang kebanyakan masanya saya merepek tidak tentu fasal sahaja. Kalau emosi tengah marah, saya tulis sajak yang konon-konon sajak itu untuk melepas perasaan. Entahlah, saya kalau rasa sedih ke marah ke apa ke - saya suka zahirkan dalam bentuk sajak, yang dulu menurut Pok Su saya (masa saya ikut kursus penulisan sajak di Hotel Sri Malaysia) terlalu melankolik itu. Heheheee... Sebenarnya Pok Su saya itu bekerja di DBP. Beliau adalah idola saya sejak kecil. Dalam keluarga kecil kami hanya beliau yang menjawat jawatan yang bagus, mendapat pendidikan yang tertinggi - yang lain semua kerja kampung sahaja. Jadi, bila Pok Su juga baca blog saya - dan komen secara langsung dengan saya, maka saya pun ada simpan azam untuk cuba ubah gaya bahasa saya. Walaupun begitu, saya masih senang guna imbuhan-imbuhan ciptaan saya. ;p

Sebenarnya, saya dalam proses menyiapkan satu blog lain. Blog khas untuk saya curahkan segala suka duka saya semasa bergelar guru di pedalaman ini. Niat untuk membuat blog lain telah lama saya simpan sebenarnya, tapi kadang-kadang sebab sibuk saya terpaksa lupakan dahulu. InsyaAllah di blog itu nanti, saya akan tuliskan segala pengalaman saya di sini secara teratur dan menggunakan bahasa yang sepatutnya. Tambah memarakkan semangat saya untuk membuka blog khas tersebut adalah selepas saya membaca buku Pahit Manis di Bumi Tok Gajah (kalau tidak silap beginilah tajuknya) kompilasi tulisan daripada guru-guru yang mengajar di Bumi Tok Gajah. Saya bukan harap ada orang baca, cuma sekadar satu catatan ingatan untuk saya - kenangan saya. Kalau ada orang baca pun bagus juga. ;B - Sebab semua orang tidak punya pengalaman yang sama bukan? Saya cuma ingi berkongsi sahaja.

Esok hari Jumaat. Kami akan berjuang lagi. Berjuang untuk keluar dari perbukitan ini. Tambah pula sebab fenomena hujan setiap hari. Jalan memang sudah jadi bubur. Nescaya tidak ragu-ragu lagi saya dan kawan-kawan akan mengerah tenaga yang lebih esok. Banyak kemungkinan yang akan terjadi. Motor sangkut, jatuh, terpelanting - pendek kata macam-macam hal. Sebab itu, saya sudah siap pesan awal-awal dengan Kakak Kantin. Bungkuskan nasi untuk saya sekali. Supaya bila sampai keluar nanti saya boleh terus makan. Lagi pula, nasi bungkus dalam daun pisang berbalut kertas surat khabar macam mengimbau nostalgia sahaja. Beberapa minggu yang lepas, saya tengok Kakak Kantin bungkus nasi seperti tersebut. Harum betul baunya. Padahal Kakak Kantin terpaksa bungkus begitu sebab tidak ada bekas polisterin. Sejak minggu nasi berbungkus daun pisang itu sebenarnya saya teringin betul. Cuma tadi baru saya sempat mensuarakan hasrat hati saya. Walaupun awal-awal lagi Kakak Kantin beritahu nasinya cumalah berlauk sambal sardin - namun saya tetap hendak juga. Memang sardin adalah antara makanan kegemaran saya pun. Heh !

Sekian untuk kali ini. Saya undur diri dulu. Anak-anak saya yang seramai 50 orang ini sedang menuntut perhatian saya. Kuat betul suara mereka berlari-larian di sekeliling padahal hari sudah senja. Sekejap-sekejap, Cik Warden akan keluar beraksi sebentar lagi... siap korang!!!


8 comments:

kundangcrew said...

hahahha bagus.. buat la blog baru ya..kalau jururawat dtng kirim slm ya hehehe

Anonymous said...

Sesungguhnya tidak ada seorang pun yang tidak bermula dengan kosong

Aini Faizi Jaslan said...

bestnyer.. aku ditempatkan di bilik guru.. aku berharap aku duduk di bawah kipas.. hehe

Bungo Lale said...

kundangcrew,

Bulan depan jururawat masuk aku sampaikan.

Anon,
Siapalah sebenarnya kamu ini ye? Bermakna betul kata-kata tersebut.

Bintang,
Sini kipas jadi perhiasan je.

ctgvilla said...

Saya merupakan peminat setia blog ni.nk komen tu jaranglah tp seperti apa yg saya katakan dulu blog ni byk mengimbau kenangan2 lama.TERIMA KASIH,CIKGU.

JUSOH said...

Niat untuk membuka laman pengalaman adalah adalah stu pilihan yang baik kerana pengalaman itu amat tinggi nilainya.
" apa pun yang dihadapi dan dilalui, yang paling penting ialah ketabahan dna keberanian menghadapi tiap detik yang menggores. Lebih dari itu ialah kesedaran terhadap kehidupan, bahawa hidup sekarang tidak untuk menangis dan merintih, tetapi menghadapinya secara berani dan yakin"

Unknown said...

im reading ur blog sis!!!!!!!!

suterazen said...


As Salam,

Baru singgah sini, today 15/01/2013...gigih selak entry lama2. Sgt2 menarik bila segala pengalaman jerih perih menjadi cikgu dipedalaman dilakarkan dengan gaya bahasa yang bersahaja dan tulus.
Keep on writing dear.