Jul 26, 2010

Senandung




Pemandangan sepanjang jalan untuk masuk ke Lemoi adalah sangat indah. Gambar di atas saya ambil semasa kami dalam perjalanan untuk masuk ke Lemoi. Kelihatan kebun sayur menghijau yang dilatari dengan banjaran gunung dan kabus. Serius, masa snap gambar ini memang ada rasa untuk berlama - dan kalau boleh hendak masuk ke dalam pun. Akan tetapi, ada seekor anjing besar betu-betul dihadapan pintu pagar telah membantutkan niat suci kami hari itu. Fida memang pantang betul kalau nampak anjing, sebenarnya dengar salakan anjing pun beliau dah pucat - apatah lagi terlihat anjing. Menggigillah beliau.



Ini adalah sebahagian cabaran di Bukit Pasir. Sekarang di sini pun sudah memberikan cabaran yang semakin besar. Kadang-kadang... yang sebenarnya kebanyakan masa - saya tidak yakin pun untuk mempandu Panji menuruni Bukit Pasir ini, sebab lorongnya sudah kecil amat, muat-muat untuk tayar motorsikal sahaja - bila begitu selalunya saya turun dan tolak sahaja. Ada sekali tu masa balik, saya memang sudah rasa tidak yakin - tapi degil-degil juga bawa motor. Sebab konon-konon hendak kontrol macho depan Tuan yang ada di belakang. Tiba-tiba, tayar hadapan salah masuk haluan, saya gagal kawal dan terus gedebum motor jatuh. Motor yang jatuh, saya sempat lompat turun. Hahaha... Habis berterabur pokok-pokok orkid liar yang saya cabut di sepanjang jalan untuk bawa pulang kepada Ma di kampung yang hobinya sekarang adalah mentanam dan membelai bunga-bunga di sekeliling rumah. Fida dan Tuan di belakang sudah gelak-gelak. Tapi saya kontrol macholah. Kutip balik pokok orkid liar berbunga ungu dan masukkan ke dalam bakul kembali.



Jalan ini sekarang sudah rosak betul. Rosak sepenuhnya. Bukit Kuning namanya. Nama Kuning sebab tanah kat sini warna kuning agaknyalah. Ini, kalau hujan memang super licin dowh. Minggu lepas, saya keluar dengan Fida. Memang licin sungguh. Sampai kat puncak tu, motor hilang kawalan. Saya nampak longkang besar depan saya. Macam menganga-nganga mentunggu mangsa sahaja. Cuak betul. Tapi tidakan refleks telah menselamatkan saya. Saya melompat turun daripada motor. (Sekarang ini pandai betul saya melompat dari motor sebelum terbalik) Motor terbalik, sikit lagi hendak masuk dalam longkang. Kalau masuk, saya tidak tahulah bagaimana gayanya dengan kudrat saya dan Fida untuk menkeluarkan semula motor. Dulu, pernah juga dengar cerita motor Pak Chu masuk dalam lubang/longkang tersebut. Lama juga beliau mentunggu orang kampung yang lalu untuk meminta bantuan angkat motor. Ialah beliau kan naik motor scrembler. Berat tu... kalau nak angkat seorang memanglah tiada daya.

Punca utama jalan ini sekarang semakin rosak adalah - hasil daripada laluan landrover-landrover kontraktor bekalan air bersih yang tiada belas-kasihan itu. Memang setiap kali tengok ada landrover masuk terus mengeluh dalam hati. Tapi nasib juga mereka ada belas ihsan kepada kami guru-guru pedalaman ini. Jalan yang rosak kini diturap tanah, mana-mana jalan yang sudah jadi bubur diubah haluan, ada yang kena naik bukit pun ada.



Ini Bukit Batu. Permulaan Bukit Batu. Batunya memang jenis seperti batu sungai yang besar-besar, sederhana-sederhana, kecil-kecil. Penuh atas jalan. Kalau naik motor memang terhentak-hentak secara hebatlah. Ada ketika kalau tidak kena gayanya memang rasa seluruh organ dalaman jatuh pun ada juga. Jalan ini memang merbahaya kepada isteri-isteri orang - yang sedang hamil apatah lagi. Sebab itu, di sini tidak ditempatkan guru/staf perempuan yang sudah berkahwin(sebenarnya). Kadang-kadang hendak dijadikan cerita dah nasib badan - motor boleh sangkut di batu, press minyak - tak jalan - licin - terlebih press - memang gedebang jugalah.


Ini di Bukit Batu juga. Nampak tak di sebelah kiri anda itu? Adalah gaung yang sangat dalam sebenarnya. Dekat sahaja dengan tempat laluan. Kalau naik motor - gaung itu dihujung kaki sahaja. Pernah terjadi, bekas Guru Besar kami - motornya jatuh ke dalam gaung. Beliau terselamat. Motornya memang sayup jauh ke bawah. Saya pernah lihat gambar - penduduk kampung berhampiran sedang mentarik naik motor menggunakan rotan. Nanti kalau saya jumpa gambar itu lagi akan saya muat naik ke sini. Cerita daripada beliau memang agak menggerunkan dan mendirikan bulu roma jugalah masa saya dengar. Sebab itu setiap kali melalui sini saya rasa seriau sangat. Macam terbayang-bayang saya akan jatuh tergolek...

Jumaat lepas. Saya hanya keluar dengan Fida. PPM perempuan yang berdua itu keluar lebih awal daripada kami setelah mendapat arahan untuk berbuat demikian.
Bukan apa, kadang-kadang kami yang perempuan ini dibenarkan keluar awal sedikit kalau keadaan jalan teruk. Sebabnya nanti, kami mungkin akan mengalami masalah di mana-mana bahagian sukar sepanjang perjalanan keluar - guru lelaki yang keluar kemudian akan selalunya sempat mengejar kami dan memberikan bantuan. Setelah tamat sesi persekolahan hari itu, saya dan Fida pulang ke kuarters dulu. Sebenarnya, guru-guru lelaki macam terkejut juga sebab kami masih tidak keluar-keluar - mereka malah siap mensuruh kami keluar sahaja. Tapi, alang-alang sudah lambat kami teruskan sahajalah. Kasihan pada guru-guru lelaki, memang selalunya kalau hari Jumaat mereka akan terkejar-kejar hendak balik ke kampung berjumpa anak isteri ataupun ibu bapa di kampung. Jadi, kami tidak hendak mensusahkan dan melambatkan mereka. Tidak mengapalah... macam-macamanapun kami tempuhi jua. Berbalik kepada cerita tadi, setelah balik kuarters dan mempanaskan enjin motor masing-masing kami bergerak sebagai warga terakhir sekolah yang mentinggalkan sekolah - walaupun sebelum kami ada Zahidi yang memberi isyarat agar kami jalan dahulu.

Sebelum sampai di kawasan di atas. Saya memberhentikan Panji dan mentongkatkannya. Saya naik melihat jalan tersebut. Selalunya begitulah. Saya akan survey jalan dahulu. Saya siap kutip dan buang batu-batu yang ada di sepanjang laluan motor. Saya baling ke gaung itulah... saja nak tengok sedalam mana gaung itu ;B. Setelah agak berpuas hati, saya jalan dahulu. Fida turun daripada AHAnya untuk melihat saya dahulu.
Standby kalau-kalau apa-apa terjadi kepada saya. Hendak dijadikan cerita, tayar belakang Panji tersangkut di atas batu betul-betul di puncak seperti yang kelihatan di gambar. Licin, puas saya press minyak tetap tidak bergerak. Saya bertahan begitu sambil mentunggu Fida yang sedang mempanjat bukit mengelak dari ranting kayu yang secara tiba-tiba jatuh dihadapannya. Saya menjerit minta Fida cepat sebab sudah lenguh tangan saya pulas minyak tapi rasanya semakin saya menggelongsor ke bawah. Kaki saya tekan kuat-kuat ke tanah. Saya cuba tarik brek tangan, tapi Panji menggelongsor turun. Walaupun kuat saya cuba bertahan tapi tetap menggelongsor. Sebab itu, kaki saya terkena pemijak. Pedih dan sakit rasanya masa itu tapi... ahhhh... saya tidak peduli lagi. Nasib baik masa saya sedang menggelongsor Fida sampai menghulur bantuan. Huh... kalau tidak selamatlah saya ke bawah. Bila sampai ke atas giliran saya pula untuk menjaga Fida. Tapi, nasib baik juga masa itu ada dua orang penduduk kampung yang kebetulan hendak keluar terserempak dengan kami. Merekalah yang tolong mentolak Fida di tempat yang sama yang saya tersangkut tadi. Sampai hendak jatuh-jatuh beliau mentolak Fida. Memang sampai di sini kami sudah penat. Tenaga kami sudah hampir habis sebab sebelumnya kami telah berperang dengan lumpur tebal (ceritanya di bawah).



Tengok Panji saya yang terlekat di lumpur. Dalam perjalanan keluar ini adalah antara cabaran pertama kami. Masa sampai di sini kami masing-masing berpandangan. Sudahlah kami berdua sahaja. Sebelum itu, kami terserempak dengan Said (penduduk kampung) - kata beliau, motor PPM perempuan yang berdua yang keluar dengan Penyelia Asrama, Encik Hanis (lebih awal) pun sangkut juga, dan beliaulah yang mentolong angkat motor. Ohhh...

Dan memang itulah yang terjadi. Kami tersangkut-tersekat di lumpur tebal itu. Berjerih berialah kami. Untuk mengusir kepenatan yang beraja dan ketensenan yang sedang cuba mengacah-acah kami - kami buat sorakan semangat ala-ala pasukan cheerleader - buka langkah silat untuk mentolak motor dan segala macam hal yang agak kurang siuman jugalah. Memang kalau siapa-siapa yang terlihat kami sebegitu mesti kami akan malu selama 7 keturunan. Langsung tidak fikir untuk berayu-ayu lagi. Pakaian sudah comot benar. Penuh dengan lumpur. Sampai baju hujan pun penuh lumpur juga. Sebabnya, kalau motor sangkut kami akan ubah haluan motor dengan mentarik keluar tayar hadapan ke haluan lain, bila begitu habis kotorlah tangan dan saya selalunya akan sapu pada baju hujan saya sahaja. Kadang-kdang tidak perasan lumpur sampai kena muka. Memang super comotlah... hendak lagi kalau hari hujan dan lumpur adalah yang terbaik. Huh... memang haru...


Timberland saya ini telah rosak terus. Tapaknya terkopak masa terkial-kial mentolak motor Yati dan Hasmat di Bukit Batu tempoh hari. Tidak dapat diselamatkan lagi. Itulah, sekarang kami pakai kasut but yang orang buat pakai pergi kebun sahaja. Kalau cikgu lelaki, depa pakai but kuning PCK itu. Saiz saya tidak ada. Jadi saya pakai but hitam tinggi hampir paras lutut. Sebab itulah, kadang-kadang saya perasan kala terserempak dengan remaja-remaja yang naik motor beramai-ramai di stesen minyak misalnya mesti kami kena gelak. Ialah sudahlah pakai but, motor comot betul. Jadi, kami selalu di salah anggap sebagai pekerja kebun. Pandangan mata orang tiapkali melihat kami yang selalu keluar berlumpur itu memang lain macam sahaja. Agaknya, mereka juga ingat kami ini orang Indon. Ialah, di sini pekerja kebun perempuan semuanya orang Indon. Heh...

Tidak mengapalah... apapun, semua yang berlaku tidak pernah mempatahkan semangat kami. Malah rasa semakin bersemangat, berkobar-kobar, walau gentar tetap tempuhi juga... Kami jadikan halangan ini sebagai satu cabaran yang menarik.

Sekian.

2 comments:

Unknown said...

anda sangat kuat la kakak =_=

Anonymous said...

Kenapa guna bahasa yang salah..mentolak..etc etc...