Jul 18, 2010

Kembara


Beberapa minggu yang lepas, saya dan kawan-kawan telah berdarmawisata ke SK Lenjang. Sajalah. Hari cuti tidak ada buat apa, jadi elok juga berjalan-jalan melawat sekolah lain yang sama kategori dengan sekolah tempat saya berkhidmat sekarang. Kategori apa? Hmmm... sama-sama sekolah orang asli dan sama-sama pedalaman tahap dua.


Memang satu pengalaman yang amat mengujakan badan dan minda saya. Sebabnya, hari Jumaat keluar dari Lemoi - penat badan pun masih belum hilang keesokan paginya seawal-awal pagi lagi telah bergerak dari Ringlet. Sudah tentu dengan Panji. Walaupun sebenarnya tidak pernah memiliki lesen memandu kelas B tapi tetap berlagak-lagak dan degil-degil hati dan berani-berani hendak bawa motor dari Ringlet ke Lenjang. Bak kata kawan-kawan serombongan - polis tidak ada. Lagi pula jalan dalam. Memang betul pun, jangan kata polis - nama hendak bersua dengan kenderaan lain sepanjang jalan itu pun punyalah susah. Super sunyi sekali. Dua kali pun sama juga sunyi. Berkali-kali pun tetap sunyi. Yang hanya kedengaran adalah enjin-enjin motor kami membelah jalan yang dikelilingi hutan nan tebal itu. Cerita, kalau tidak ada gambar memang tidak kacis sebenarnya. Sebab tiada bukti. Hemmm... tapi apakan daya, komputer riba saya yang usang itu tiba-tiba terus mogok berdiam diri secara begitu sahaja. Mungkin sudah sampai masanya saya memiliki yang baru...(apakah?) Sebab beliau mogok itu, maka tidak dapatlah saya hendak edit gambar-gambar ke Lenjang tempohari untuk dimuat naik ke sini. Tunggulah ada masa nanti, bawa beliau jumpa pakar dulu. Susah betul. Sekarang - kehidupan saya yang berhubung secara terus dengan dunia luar cumalah bermula jam kurang lebih 1300hrs hari Jumaat sehinggalah jam 1600hrs hari Ahad. Hari lain, di sinilah saya. Di perbukitan yang sejuk-tenang-damai ini. Begitupun, saya tidak mahu merungut kerana inilah pengalaman saya yang paling berharga selama 30 tahun saya hidup ini. Sangat menseronokkan walaupun tiada talian telefon, tiada elektrik 24 jam, tiada tv yang bila-bila masa sahaja boleh dibuka, tiada kedai makanan segera, tiada kedai runcit - pendek kata jauh sekali dengan kesenangan hidup moden ini.

Apa yang boleh saya katakan. Selain Lemoi, Lenjang adalah satu tempat yang agak dekat di hati juga. Perjalanan dari Betau ke Lenjang menaiki motorsikal tempohari memakan masa kurang lebih dua jam juga. Penat dan lenguh-lenguh jugalah badan saya untuk sampai ke destinasi. Walaupun cabaran tidak seteruk Lemoi, tapi Lenjang tetap punya cabaran tersendiri. Dan saya percaya - Lenjang kini pun sudah banyak berubah sama seperti Lemoi juga.

Rentetan dari Kembara Lenjang itu, kami lanjutkan pula kepada Kembara Lemoi. Walaupun ahli rombongan tidaklah seramai mana - tapi seronoklah. Sabtu semalam harinya, saya dan Fida membawa kawan-kawan dari Menson ke Lemoi. Walaupun penat keluar dari Lemoi hari Khamis itu masih bersisa - kami gagah-gagah juga hendak masuk ke Lemoi dengan ahli rombongan yang lain. Seperti cerita di atas - gambar-gambarnya akan dimuat naik kemudian.

Paling mencabar, saat perjalanan pulang. Hujan turun lebat ketika kami tiba di Bukit Batu. Fenomena itu biasa sejak akhir-akhir ini. Hujan memang akan turun pada sebelah petang. Menjadikan jalan yang sedia teruk menjadi semakin teruk mencabar. Minggu lepas masa keluar dengan Fida pun kami banyak kali sangkut. Tolak motor sampai habis kudrat rasanya. Penat macam hendak pengsan pun ada juga. Lepas itu tambah dengan hujan pula. Memang terbaiklah.

Kesian si Bai dengan Nor. Saya memang pesan daripada awal. Kalau hendak masuk Lemoi - bawalah motor sorang satu, kalau membonceng nanti penat. Kesian si pembonceng akan lebih banyak berjalan daripada menaiki motor. Macam Bai tu, mula-mula muka boleh lagi senyum-senyum saat kena menapak naik Bukit Batu, masuk separuh jalan muka mulalah berubah riak. Heheheee... saya cakap ni sebab saya pernah rasa. Masa saya belum beli Panji dulu, masa motor yang saya pinjam rosak - saya membonceng dengan Fida. Memang serius rasa macam hendak pengsan. Letihhh...

Apapun di sini, alah bisa tegal biasa. Jatuh-bangun-tergolek-tersungkur-terpelanting-terbenam adalah lumrah. Masih boleh ketawa-ketawa dan sampai rumah baru sedar telah terluka dan lebam-lebam. Tidak mengapa. Ianya adalah madu.

InsyaAllah... saya dan kawan-kawan akan melanjutkan kembara kami ke SK Titom, SK Sendrop, SK Balar dan lain-lain. Sekadar untuk mencari pengalaman dan menghirup pahit maung-jerih perih-susah payah kehidupan guru-guru yang lain dalam mendidik anak bangsa untuk menjadi manusia yang berguna kepada Agama, Bangsa dan Negara.

Guru Pembina Negara Bangsa.


No comments: