Jun 30, 2010

Perempuan, Bunga Kekwa dan Ubi Kayu

(Gambar: Man sedang kira biskut)

Semalam, masa sedang sibuk bersiap hendak keluar. Sofian datang di luar pagar kuarters kami dengan tiga tongkol ubi kayu yang belum dimasak dalam pangkuan tangan kecilnya.

'Teacher! Teacher nak kayu?' Tanyanya, menunjukkan ubi kayu di tangan dengan mulut. Si Hitam Manis comel berlesung pipit itu agak malu-malu apabila aku merapatinya. Memang tipikal mereka. Padahal bukan kali pertama pun dia datang ke rumah.

'Amek bagi kat teacher ke?'

'Ya.' Dia angguk. Muka macam hendak cari gaduh pun ada.

'Okay... Terima kasih.'

Sofian menghulurkan tongkol ubi kayu yang dibawanya melalui celahan jaring pagar kuarters kami. 'Cakap terima kasih dekat Amek tau...'

'Ya.' Dia menguntum senyum sebelum berlari-lari balik ke rumahnya yang terletak di hujung kampung.

Bukan perkara luar biasa jikalau aku menterima ubi kayu daripada keluarga Sofian. Ameknya dulu selalu bertandang ke rumah, bawa ubi kayu bakar, duduk dan bersembang dengan kami. Kini, sejak berbadan dua Ameknya tidak berapa kuat lagi untuk berjalan. Lalu, hari Selasa lepas... aku dan Fida bertandang ke rumahnya. Sambil-sambil itu turut membawakan satu beg plastik baju-baju yang sudah tidak dipakai ke rumahnya. Baju-baju tersebut adalah sumbangan daripada jiran-jiran Fida.

Rumah PPRT dibina bersambungan dengan rumah tradisi mereka. Dengan lantai dan dinding daripada buluh, aku dan Fida jadi sangat teruja untuk naik dan duduk merasa. Walaupun kaki terasa agak tidak yakin dengan kekuatan buluh yang hanya diikat untuk dijadikan lantai. Takut betul kalau terpatah. Lagi pula, lantai itu jarang. Boleh nampak ayam, itik, kambing yang berkeliaran di bawah rumah. Tapi seronok. Sekali angin dingin datang rasa macam ada penghawa dingin.

Rumah buluh itu tidak berbilik. Hanya satu ruang sahaja. Menurut Amek Sofian, semua mereka tidur di rumah itu. Rumah batu PPRT tersebut hanya dijadikan tempat simpan barang sahaja. Bila aku jenguk ke dalam rumah batu tersebut pun memang kelihatan tidak berapa terurus. Siap simpan motor lagi. Di tengah-tengah rumah buluh itu, ada satu tempat api yang dijadikan dapur dan batang kayu besar jadi bahan apinya. Dihujung sudut ada gebar dan bantal yang disusun ke tepi dinding, manakala di sudut bersebelahan pula terletaknya barang-barang dapur. Periuk, pinggan, cawan dan sebagainya. Ada satu jag besar air teh di situ juga.

Lama juga kami bersembang. Selalunya pun, satu-satunya wanita yang selalu mentegur dan bersembang dengan kami hanyalah Amek Sofian itu. Yang lain masih terlalu tebal dengan sikap malu mereka. Kala berjumpa di jalanan pun sukar sekali hendak mentegur kecuali segaris senyuman yang jelas menserlahkan sifat pemalu mereka.

Tiga tongkol ubi kayu pemberian Sofian tadi aku masukkan ke dalam bakul Panji. Hendak masak macamana aku sendiri pun kurang pasti. Aku langsung tidak ada pengalaman untuk mengoperasi ubi kayu - apatah lagi masih dalam bentuk yang lengkap berkulit begitu. Ahhh... apa-apa pun bawa je keluar nanti serah sahaja pada budak-budak rumah yang memang pakar masak-memasak.

Oleh sebab ubi kayu itu ada yang terjulur keluar, maka bawa Panji pun tidak selesa mana. Takut jatuhlah, mengganggu kakilah... sebab itu bila terserempak dengan tukang masak kantin yang keluar terlebih dahulu daripada kami tapi masih sempat kami kejar dek kerana banyak berjalan dan mentolak motor - aku berikan tongkol ubi kayu terbesar itu kepada mereka. Heheheee... lalu perjalanan jadi bertambah mudah.

Sampai di kawasan kebun, Mat Bangla sedang memetik sayur. Kebun seterusnya, mereka sedang siram tanaman. Kebun seterusnya adalah kebun bunga. Sebenarnya sekian lama sudah terdetik di hati untuk meminta bunga yang cantik-cantik kembangnya itu. Menurut kata Tuan, jika di kebun sayur - pemiliknya memang telah sedia memberi keizinan kepada pekerjanya supaya beri sahaja sayur-sayur jika ada guru-guru yang meminta. Aku pun pernah beberapa kali terserempak dengan Tuan berhenti di kebun sayur tersebut. Tapi bunga? Aku tidak tahu... Yang aku tahu, semalam aku berhenti di bawah bukit kebun bunga kekwa yang sedang cantik berkembang. Ada Mamat Nepal sedang menyiram pokok bunga. Aku pun jerit...

' Nak satu!!!'

Mamat Nepal itu menjenguk ke bawah. ' Nak ambil sendirilah. Naik atas sini.'

Lereng bukit itu agak curam dan licin-basah. Godaan bunga kekwa itu buat aku tidak fikir banyak. Aku ambil lajak dan berlari memanjat lereng bukit. Fida yang agak kurang yakin juga ikut berbuat demikian. Heheheee...

' Saya ambil satu ye?'

'Ambiklah... itu yang di depan awak, yang pendek-pendek tu ambiklah semua?'

' Semua?'

'Ya... ambiklah, yang pendek itu tak boleh jual punya.'

Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, aku dan Fida teruja mentarik keluar bunga dari tanah. Banyak kuntum juga kami ambil. Dan sekarang bunga-bunga itu elok di dalam bekas di atas meja di ruang tamu kami.

Jadinya... itulah. Perempuan itu aku, bawa motor yang mana di dalam bakulnya ada ubi kayu dan di dalam beg dibelakangku terjulur keluar kuntum-kuntum bunga kekwa yang putih itu. Makanya jadilah - Perempuan, Bunga Kekwa dan Ubi Kayu.

Sekian.


No comments: