Mar 4, 2013

MERENTAS DESA MSSP 3

Salam,

Selepas tamat sahaja kejohanan, kami terus kembali ke asrama penginapan untuk makan tengahari dan terus bertolak balik. Sampai di Tanah Tinggi kurang lebih jam 1830hrs sudah.

Lepas tinggalkan murid-murid di rumah, suruh mandi dan tukar baju semua - aku dan Fida terus ke kedai makan. Beli makan malam. Nasi goreng ayam dengan air limau ais buat hidangan makan malam. Bila sampai semula di rumah, tengok semua murid sudah siap mandi dan wangi dengan bau bedak baby johnsons. 

Sambil menikmati makan malam, sambil ketawa-ketawa dan bergurau senda. Hellooo... korang ni tak tahu penat ke? Cikgu yang tak lari ni pun bukan main penat lagi rasa badan tapi korang boleh lagi bergurau senda dengan penuh semangat? 

Oleh sebab masa ni, Cikgu Wan dan Cikgu Hanis belum ada di rumah - maka Rosmadi dan Hairil menumpang berteduh di rumah kami dahulu sementara Wan dan Hanis sampai.


Selepas Wan dan Hanis sampai, kami minta mereka tolong basuhkan pakaian yang dipakai oleh murid-murid sepanjang mereka di luar. Memang selalunya begitulah, kalau murid-murid keluar - Hanis dengan Wanlah yang akan basuh baju mereka. Almaklumlah, rumah kami ini tak ada mesin basuh - apapun tidak ada. Usahkan mesin basuh, tv pun tidak kelihatan dimana-mana sudut rumah ;p

Esoknya, pagi-pagi lagi aku dah kerah murid perempuan sidai pakaian mereka yang sudah siap dibasuh siap dengan wangi bau pelembut pakaian. Maka bersama-samalah mereka menyidai pakaian di pagar rumah. 


Bila budak-budak yang sidai. Memang agak tunggang-langgang, bertindan-tindan. Tak apalah, janji kering baju korang nak bawa masuk nanti.


Kemudian, baru bersarapan roti canai di rumah Wan dan Hanis juga. Sebab pagi-pagi lagi Wan dah mesej bagitahu sarapan murid-murid nanti dia belikan roti canai. Untunglah korang boleh makan roti canai, kalau harapkan Cikgu dan Miss - memang korang makan roti gardenia dengan air milo tin sahaja. 


Makan tengahari pun Wan yang masakkan untuk murid-murid. Jadi, untuk hari ini segala makan murid - Wan yang tanggung. Bolehlah aku dan Fida rehat lebih sikit. Kumpul tenaga sebab petang nanti dah nak kena masuk sekolah dah.

Wan yang sedang memasak hidangan tengahari untuk murid-murid. 


Makan dengan penuh berselera. Cikgu Wan masak apa weh? Ayam ke?



Usai solat Asar, kami bergegas bergerak untuk masuk ke sekolah. Tiba-tiba didapati tayar belakang motor Fida anginnya kurang, disyaki pancit. Maka kena pam dahulu sementara untuk ke bengkel menukar tiub. Tapi sebelum ke bengkel, motor kena isi minyak dahulu, dah siap isi minyak kena pergi kedai runcit Sin Ming dulu buat beli bekalan makanan dan barang keperluan segala. Selepas dah selesai semua baru gerak ke bengkel yang terletak dalam perjalanan ke sekolah. 

Masa ni, Fida bawa Misah, aku bawa Shaniza, As yang kecil itu dapat murid yang paling kecil iaitu Sinah. Manakala Wan, Hanis dan Syam masing-masing bawa Hairil, Rosmadi dan Syakira. Kami yang perempuan gerak dahulu sebab tahu macamanapun mesti akan terkejarkan oleh mereka yang berada di belakang.

Tapi, rupa-rupanya bukan setakat tiub yang kena tukar bahkan dengan tayar-tayar sekali kena tukar. Jadi, masa yang diambil lebih lama. Dekat jam 1800hrs juga kami bergerak meninggalkan Bertam Valley. Elok sahaja bergerak, hujan pun turun. Sekejap renyai, sekejap lebat. Sekali lagi yang jadi mangsa kesejukan-basah-kehujanan adalah tidak lain dan tidak bukan murid-murid yang diboncengkan. Alahaiii...


Dengan bawa murid lagi, dengan beg sendiri lagi dan bakul yang penuh muatan barang-barang dan makanan, perjalanan yang ditempuh adalah tidak mudah. Bawa motor paling berhati-hati dalam dunia, sebab masa ni bukan keselamatan sendiri sahaja kena fikir tapi yang lebih penting lagi keselamatan anak-anak dibelakang. Beberapa kali terserempak landrover kebun yang dipandu laju walaupun di selekoh. Aku yang selaku paling hadapan banyak kali juga terpaksa brek kecemasan, bukan itu sahaja beberapa kali juga menonong ke tepi semak sebab hendak mengelakkan landrover yang kadang-kadang kurang berperikemanusiaan ini. Itu nasib baik menonong ke tepi, buatnya terlanggar ke apa, macamana? Beringatlah sedikit, takkan tak tahu bahawa setiap petang ahad ada guru-guru yang akan masuk ke sekolah. Melalui jalan yang sama. Apalah salahnya bawa dengan berhemah dan ikutlah tepi kiri. Kadang-kadang tu kita tengah pecut naik bukit, tiba-tiba muncul landrover dari arah hadapan dah masuk jalan kita, bukankah itu agak huru-hara namanya. Habis, takkanlah pula nak naik bukit bawa muatan lebih kena bawa perlahan-lahan. Manalah hendak naiknya.

Sampai di Kampung Telimau untuk hantar Misah dan Shaniza. Ingatkan mereka hendak duduk di rumah dahulu dan akan ke sekolah keesokkan harinya, tapi sekali mereka hanya hendak singgah ambil baju sahaja. Maka, hendak tak hendak terpaksalah aku dan Fida menggendong mereka sampai ke sekolah. Sebelum ini, tidak pernah lagi bawa murid lalu jalan licin-berselut ini. Perasaan cuak juga. Takut terjatuh.

Masa sampai di Kampung Telimau ini hari sudah jam 1910hrs. Sempat ambil gambar sebab pemandangan yang sangat menakjubkan. Cantik, bagaikan dalam kisah dongeng sahaja. Sebenarnya, kami jarang singgah di sini sebab kampung ini ada banyak anjing yang berkeliaran sesuka hati. Tak berani. 

Baru lepas hujan, kabus melatari bukit. Rumah yang cantik bersusun ini adalah rumah bantuan yang dibina.



Sungai tenang mengalir.



Rumah Amat. Aku kira ini rumah yang paing daif, yang tidak layak pun sebenarnya untuk dipanggil rumah. Tapi, disinilah diamnya Amat sekeluarga. Menurut sumber, Amat dapat juga rumah bantuan tapi dia degil untuk duduk di sini, dibahagian hadapan kampung.



Dengan zink-zink yang sudah kemek dan berkarat sebagai dinding dan atap - sudah pastilah keadaan yang sangat tidak selesa setiap kali hujan menimpa. Tapi, entah kenapa Amat mahu juga duduk di sini. 




Bila keluar dari kampung ini, Wan, Hanis, Syam dan Azmil tiba. Singgah dahulu untuk Rosmadi mengambil pakaiannya.

Sumber gambar daripada Wan. Katanya Hanis jatuh, sekali dengan Rosmadi yang diboncengkannya. Sebab jalan licin. Habis berteraburan segala barang-barang. Muatan macam hendak isi dalam kereta sahaja banyaknya, siap dengan sauk ikan dan anak ikan segala. Padahal naik motor je. Mejik bukan?


Hari semakin gelap ketika kami meninggalkan Kampung Telimau. Hujan masih turun. Jalan semakin licin dan berlumpur. Memang sakit belakang, sakit tangan, sakit pinggang segala sebab bawa muatan banyak. Kalau turun bukit tu, rasa bagaikan seluruh berat tertumpu kepada handle motor - dan rasanya bagaikan boleh tertanggal handle dibuatnya dengan berat yang terpaksa dia tanggung. Berat aku lagi, berat budak lagi, berat barang-barang lagi. 

Beberapa kali juga hampir tergelincir tapi nasib memang baik sebab tidak jatuh. Kalaulah jatuh yang paling kasihan adalah murid semestinya. Takut pula kalau dia tercedera. Perlahan  sahaja bawa motor dengan seluruh perhatian dan kekuatan ditumpukan. Bukan sedikit aku punya takut. Takut jatuh dan mencederakan anak murid. Cedera aku, cedera motor - itu tak apa. Jangan sesekali, tanggungjawab dan amanah yang ada dibelakang itu yang cedera sudahlah.

Hari semakin gelap. Satu lagi kekuatan teruji. Kekuatan penglihatan. Yaaa... bukan senang nak bawa motor dalam keadaan jalan dan cuaca serta waktu seperti ini. Penglihatan memang terhad. Kadang-kadang mata tersilau dengan cahaya lampu daripada motor belakang. Tapi Alhamdulillah, tidak ada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.


Kami dan murid-murid berjaya sampai dengan selamat di sekolah lagi 10 minit ke jam 2000hrs. Alhamdulillah, disebalik kesulitan yang terpaksa ditempuhi kami tetap selamat sampai.

Dengan ini, tamatlah siri Merentas Desa MSSP ini ya. Terima kasih sudi baca.

Nota kaki : Ayek, Mat Yo dan Jezzie telah selamat dibawa keluar petang tadi untuk menyertai Pertandingan Bercerita dan Pertandingan Pidato Karnival Ko-Akademik Bahasa Melayu yang akan diadakan pada ESOK, 5/3/2013 di SK Kampung Raja. Doakan agar kami berjaya ya.

4 comments:

mj said...

Syukur alhamdulillah selamat sampai...

Unknown said...

salam... bestnye
http://fizapja.wordpress.com/

Anonymous said...

ketika sedang bersusah begitu, bercupak-cupak pahala sedang dikredit malaikat ke 'akaun' belah kanan cekgu2 semua. tahniah. tak semua allah pilih melalui pengalaman begini.

~Sya~ said...

walaupun bukan cite sedih tp tiap kali baca blog ni air mata pasti bergenang...besar sungguh pengorbanan mu guru...