Sep 26, 2011

Hujan

Kebelakangan ini, hujan selalu turun di petang hari. Oleh itu, aktiviti untuk menyihatkan badan seperti bermain bola jaring bersama anak murid misalnya akan selalu terbatal. Untuk menggantikan itu biasanya, cikgu akan membawa anak-anak murid untuk melakukan aktiviti kedua yang paling digemari selepas bermain adalah - menonton tv. Untuk aktiviti ini, cikgulah makhluk yang paling bosan kerana saluran tv akan ke 611 untuk kebanyakan masanya.

Hujan itu rahmat. Waktu-waktu begini selalunya perjalanan masuk dan keluar dari Lemoi biasanya akan diiringi oleh hujan. Hujan renyai, hujan rintik malah hujan lebat juga. Jalan-jalan yang sebelum ini kering dan cantik dibaiki kontraktor solar mula berubah wajah. Lubang-lubang dalam, longkang-longkang air, lopak, lumpur dan perkara-perkara sewaktu dengannya akan mula terbentuk. Beberapa minggu kebelakangan ini juga, tunggangan kami menjadi begitu comot dan mengundang tandatanya dan perhatian orang ramai tatkala kami singgah untuk isi minyak, atau singgah untuk beli beberapa cucuk hati ayam goreng di pasar malam. Fenomena biasa bagi orang tempatan. Fenomena agak kurang biasa bagi pelancong. Oleh itu, hati tidak menyalahkan mereka kerana menganggap kami sebahagian daripada pekerja kebun sayur. Betul. Dengan baju hujan, motor comot dan but separas lutut - tidak mungkin ada yang menyangka kerja kami sebahagiannya adalah memegang marker pen menulis di papan putih dan bukannya menanam dan mengutip sayur di lereng-lereng bukit.

Hujan itu rahmat. Kadang-kadang semasa perjalanan masuk, hujan akan turun ditengah-tengah perjalanan. Sejuk air tambah dengan kedinginan cuaca kadangkala mampu menggigilkan badan juga. Percik-percik air yang kasar agak menimbulkan rasa sakit juga. Tapi, aku kadang-kadang oleh sebab mudah terpengaruh jadi bodoh juga sebab bosan perjalanan selalu berangan. Dan angan-angan itu akan bawa aku ke mana-mana sehingga ke filem Rab Ne Bana Di Jodi yang SRK dengan the cantik Anushka Sharma tu, yang ada satu adegan tu SRK suruh Anushka biarkan titik-titik hujan membasahi diri dan rasa ke hati (lebih kurang gitulah maksud dia). Aku pun buat begitu, tapi sebenarnya sambil motor bergerak laju - titik hujan jadi kasar dan kuat. Sakit sebenarnya. Tak sempat rasa ke hati pun. Perjalanan hampir dua jam begitu, cenderung membawa otak aku merewang ke mana sahaja. Jangan kata SRK dan Anushka, ke bintang kejora pun jiwa bisa pergi.

Hujan itu rahmat. Pernah sewaktu masuk ke sekolah, petang ahad. Hujan turun juga. Jam 1800hrs, hari sudah gelap. Tambahan pula di rimba, keadaan jadi sekali ganda lebih gelap daripada di luar. Motor Faezah pancit bermula di bukit pasir lagi. Mahu atau tidak motor terpaksa di tunggang juga walau dengan kelajuan yang amat perlahan. Hendak ditinggalkan takut dirembat. Hari semakin gelap, dan rasa tidak enak mula datang menjengah. Sampai di Telimau, motor ditinggalkan di situ. Minta orang kampung baiki dan hantar ke sekolah esoknya. Mustahil hendak tunggu, hari semakin malam. Dan hanya kami bertiga. Guru lelaki masih belum masuk. As dan Faezah membonceng. Aku bawa beg Faezah. Barang kami banyak pula, stok makanan. Sekarang masak sendiri, barang basah barang kering juga bawa sendiri. Hari malam, aku dibelakang. Mereka didepan. Aku risau, rasa tidak enak. Hutan dan malam dan hujan - kombinasi yang memang tidak boleh dibawa berbincang. Langsung. Alhamdulillah, Tuan sempat kejar kami. Tiba selamat di sekolah. Dan masih punya ketawa untuk dikongsi.

Hujan itu rahmat. Untuk apa alasan sekalipun, hujan masih tetap ada tempat di hati aku.
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone

No comments: