Jan 8, 2011

Cabaran dan Dugaan di Awal Tahun


Ahad itu. Saya, Fida dan Yati mendahului guru-guru lelaki masuk ke Lemoi. Dalam rintik hujan kami meneruskan perjalanan. Ditambah dengan dingin cuaca, menggigil kesejukan jugalah. Oleh kerana hampir sebulan lebih kami tidak menunggang - rasa kekok pula. Lama betul tidak pegang handle motor. Heh.
 
Guru lelaki sempat kejar kami di sini. Sebenarnya, sebulan yang lalu jalan ini tidak begini. Masih ada ruang untuk kami melaluinya. Tapi oleh kerana kenderaan kontraktor solar hibrid melaluinya masuk keluar - ditambah dengan hujan, jalan ini jadi hancur terus. Saya yang berada di hadapan terpaksa berhenti dahulu. Menimbang-nimbang arah mana yang perlu saya lalui. Ketika sedang berfikir-fikir itulah - Wan, Zahidi dan Hanis tiba. Namun, oleh kerana jalan ini menuruni bukit - tidaklah terjadinya kejadian sangkut di lumpur - cumanya, jalan jadi sangat licin dan terpaksa bertongkat-tongkat menyeimbangkan badan dan motor dengan menggunakan kaki.


Ini cabaran pertama dahulu, tapi kini sudah jadi cabaran kedua. Bukit Pasir. Memang sudah hancur terus. Lorong-lorong dahulunya kegunaan motorsikal langsung tidak kelihatan lagi. Apa yang kelihatan di mata adalah lumpur berpasir yang lembik dan boleh menenggelamkan kaki sahaja. Dalam gambar, Wan sedang survey jalan - agak-agak bahagian mana yang boleh dilalui supaya tenaga boleh dijimatkan. Nampak tak di gambar ada Hilux? Itu Hilux pembekal makanan kami. Terkandas di Bukit Pasir dengan muatan-muatannya. Bahan mentah makanan, tong gas, barang-barang sekolah, termasuk barang-barang yang saya kirim juga.

Wan dengan KLXnya. Wan antara guru lama yang berkhidmat di Lemoi. Nasib baik juga mereka sempat kejar kami sebelum Bukit Pasir. Agaknya, kalau mereka masuk terlebih awal daripada kami - maka haruslah kami berumah di sini sahaja sementara menanti bantuan tiba. Heh.

Adegan-adegan biasa apabila jalan teruk. Tolak motor yang tersangkut di lumpur. Zahidi dan Hanis sedaya upaya cuba melepaskan motor. Tengok dalam bakul motor - stok bihun untuk RMT murid-murid.


The srikandis. Heh. Malu je nak ngaku srikandi. Kami cuba dahulu bawa motor. Kalau sangkut sangat - baru ditolong oleh guru lelaki. Matilah kalau semua nak harapkan depa sahaja.


Jalan sudah jadi bubur. Selut setinggi atas buku lali sudah. Istilah yang kami guna - 'galo' ataupun membajak dalam bahasa standardnya. Nak masuk okay lagi. Bila keluar, punyalah susah. Masa nak keluar - Yati sangkut disini - Pok Nik tolak tayar belakang motor Yati dengan tayar scremblernya sahaja. Kebetulan Pok Nik di belakang Yati.

Menuruni Bukit Batu. Perlu sangat berhati-hati. Tapi, sebagaimana kita cuba beringat terkadang silap langkah juga. Saya pun tunggang langgang tergolek di sini. 

Masa nak masuk ni, saya agak-agak adalah dalam dua kali saya jatuh terpelanting daripada motor. Pertama jatuh di Bukit Kuning. Kedua di Bukit Batu. Tapi kedua-duanya saya sempat lompat turun. Kira motor je tergolek tapi saya sempat berpencak silat. Hahaha. Tapi, jatuh di Bukit Batu - saya sempat lompat namun kaki tak stabil jadi saya siap terduduk secara gerak perlahan lagi. Buruk sungguh rasanya cara saya jatuh itu. Tapi biasalah, mestiigelak-gelak lagi tak tahu kenapa kalau jatuh mesti kena gelak sampai Zahidi jerit suruh cepat-cepat angkat motor sebab takut minyak keluar. Hahaha. Last-last dia yang kena datang tolong sebab saya tak kuat nak angkat sorang dan Fida dan Yati tidak dapat turun daripada motor sebab lumpur jadi tidak boleh tongkat motor untuk tolong saya.


Di jambatan yang sudah roboh. Jambatan ini sudah jadi bentuk V. Tunggu masa je bila-bila akan jatuh sepenuhnya. Kalau sudah begitu, makanya nanti kami kena menyeberang sungai dengan motor pula. Tengok Wan tu, gaya macam dalam pertandingan motorcross sahaja. 

Kami adalah kumpulan pertama yang tiba di Lemoi petang itu, kemudian baru diikuti oleh guru-guru lain. Kami tiba di Lemoi hampir jam 0600hrs ++. Perut lapar oleh kerana terlupa hendak makan. Sudah teruja sangat campur dengan gemuruh hendak hadapi cabaran gamaknya. Namun, rupa-rupanyakenderaan pembekal makanan gagal masuk ke Lemoi hari itu. Kami sempat jumpa pembekal makanan dan anak-anak buahnya yang sudah berada di Lemoi - katanya mereka berjalan kaki bermula dari Bukit Pasir dan memohon untuk meminjam motor kami untuk perjalanan keluar hari itu.

Permukaan jalan yang dipenuhi dengan lumpur membuatkan kenderaan pacuan empat roda milik pembekal makanan terkandas seawal di Bukit Pasir lagi. Apa yang ada? Sardin dan beras. Bawang semua memang tidak ada. Maka selama dua hari itu, kami makan nasi berlaukkan sardin yang dicatu sahaja. Sardin yang dimasak tanpa menggunakan bahan-bahan lain - hanya sardin semata-mata. Untuk tambah perisa - kami tambah kicap sahaja. Murid-murid asrama tidak dapat mendaftar kerana tiada makanan.

Hanya pada petang hari kedua, kontraktor makanan menggunakan khidmat orang-orang kampung untuk mengangkut bahan-bahan mentah daripada hilux yang terkandas di Bukit Pasir.


Kelihatan orang-orang kampung sedang mengangkut bahan-bahan mentah dengan dibantu oleh guru-guru. Mereka juga bersusah-payah seperti kami untuk bawa masuk bahan-bahan tersebut.

Walau pelbagai halangan dan cubaan yang mendatang, hari persekolahan diteruskan seperti biasa. Guru-guru hadir dengan semangat dan tanggungjawab. Zaki dan Puha yang terpaksa masuk pada hari Isnin juga tiba seperti biasa walapun terpaksa membonceng kerana motor Zaki tiba-tiba hilang spoket dan terpaksa ditinggalkan di Bukit Batu. Mereka akan cuba membaiki KLX Zaki pada keesokan harinya sahaja kerana sudah cukup penat. Kalau membonceng makanya - akan ada episod jalan kaki oleh si pembonceng weh. Jalan tidak akan mengizinkan penunggang dan pembonceng bersama selamanya. Heh.

Hari Selasa itu, setelah tamat sesi persekolahan. Zaki dan Puha membonceng motor scrembler Puha untuk keluar. Namun, tidak lama kemudian - saya lihat mereka kembali ke sekolah dengan berjalan kaki dengan menggalas beg dan helmet di tangan. Guru Besar yang kebetulan melihat bersama saya mengutarakan teka-teki ' Agak-agak, apa masalah diorang?' saya jawab ' Motor rosak kot boss.' Masuk dalam pagar sekolah kembali, Puha memberitahu ' Motor pancit boss.' Huh. Kesian kena jalan pula. Guru Besar lalu berkata ' Haih... macam-macam cubaan kita ni. Nak keluar hari jumaat ni pula tawakal sahajalah.' Hari itu, beberapa orang guru lelaki keluar untuk tolong mengangkut bahan mentah daripada hilux pembekal makanan dan ada juga yang keluar untuk membawa masuk buku-buku tulis, buku teks dan alat-alat tulis untuk kegunaan murid-murid. Walaupun sukar, namun tanggungjawab tetap diteruskan.

Hari jumaat itu pun tiba. Saya, Fida dan Yati keluar lebih awal. Hujan bersama-sama kami dalam kedinginan pagi itu. Seperti yang diduga, perjalanan menjadi lambat sungguh. Sebelum sampai di Kampung Telimau lagi kami sudah berkali-kali kena tolak motor yang tersangkut di lumpur. Tekak kering. Rasa seram sejuk macam hendak demam pun ada sebab sungguh-sungguh mengerah tenaga. Kami cuba bergerak secepat-cepatnya untuk cuba menjarakkan dengan guru-guru lelaki. Kalau boleh biar guru-guru lelaki sempat kejar kami bila sudah di Bukit Merah. Kalau awal-awal lagi sudah sempat kejar, maka perjalanan mereka akan menjadi lebih panjang. Takut nanti mereka tidak sempat pula untuk menunaikan solat jumaat.

Nasib memang baik. Setelah bersusah payah bertiga melepasi Bukit Batu - kami sempat dikejar oleh Puha dan Zaki di Bukit Merah. Bukit yang berselut berwarna merah itu memang tempat bersejarah bagi saya. Alah tempat saya hampir jatuh gaung masa mula-mula masuk itulah. Seperti yang diduga - perjalanan untuk keluar adalah lebih mencabar daripada masuk kerana perjalanan keluar kena mendaki bukit. Kami bertiga sangkut secara berderet-deret. Saya di depan, Yati tengah dan Fida di belakang. Zaki dan Puhalah yang tolong kami melepasi Bukit Merah. Tapi, mereka pun berjerih perih juga. Bukan senang hendak melepaskan motor daripada belenggu selut weh. Perlu kederat yang sungguh-sungguh. Bak kata Zaki, sepanjang lima tahun dia di Lemoi - ini adalah yang paling teruk.


Zaki dan Puha sedang berusaha melepaskan motor Fida - si AHA itu daripada belenggu selut di Bukit Merah. Lekat sungguh-sungguh.


Selut yang lembik. Kaki jadi tenggelam. Nak pijak pun susah. Bila pijak, silap-silap kita pula boleh jatuh sebab kaki tenggelam. Bila tenggelam nak kena tarik sungguh-sungguh pula untuk keluarkan kaki. Macam menari-nari pun ado.

Seterusnya, perjalanan diteruskan dengan mendaki Bukit Kuning pula. Sekali lagi kami sangkut secara berjemaah. Bermula dengan sayalah. Tapi sikit je lagi saya nak habis naik Bukit Kuning ini. Di sini, kami sempat dikejar oleh Pok Nik, Din dan Li. Jangan kata motor kecil-kecilan kami, scrembler pun sangkut baiii. Ada videonya saya muat naik di FB. Saya tak reti nak muat naik di sini. Heh. Malu ai tau. 

Kat sini boleh dikira puncak segala kesukaran. Pok Nik berjerih perih melepaskan scremblernya. Li juga. Din sudah terkandas kerana tersilap laluan. Zaki dan Puha meninggalkan scrembler masing-masing untuk membantu kaum hawa yang kepenatan tahap dewa. Daya dan tenaga sudah habis dikerah. Selalunya, kami boleh sahaja ambil lajak dan menaiki bukit sambil berlari mengais kaki dengan motor untuk mewujudkan momentum. Tapi kali ini kami sudah tidak berdaya. Redha sahaja bawa motor naik bukit dengan gear satu tanpa kuasa pecutan tambahan. Penat betul-betul penat tidak boleh tergambar dengan perkataan hanya dengan wajah sahaja. Bukan sahaja kami tapi guru-guru lelaki juga. Setelah Li dan Pok Nik berjaya melepasi Bukit Kuning itu, mereka turun kembali membantu kami. Masa di Bukit Kuning ini - bunyi motor memang macam enjin orang tebang pokok sahaja. Kuat, menderu-deru, menderam-deram. Bertingkah-tingkah campur dengan suara-suara kami lagi. Bising dan meriah jadinya Bukit Kuning hari itu. Asap berkepul-kepul macam sedang buat pesta BBQ sahaja. Selut melompat-lompat dari tayar belakang. Selut di motor jangan ceritalah. Penuh. Kami pun penuh selut dari bawah sampai ke badan. Macam main selut sahaja. Mandi selut.

Sedang berusaha menolak dan mengangkat motor Yati yang tiba-tiba mati dan tidak mahu hidup-hidup lagi. Bayangkan kena angkat motor yang terbenam dalam selut. Kaki pun tidak stabil kerana sukar untuk berpijak dalam keadaan berselut lembik sebegini.


Gambar Pak Chu, motor Wan - masa keluar untuk mengambil bahan-bahan mentah da barang-barang sekolah di kenderaan pembekal makanan yang terkandas di Bukit Pasir.


Inilah gambar rupa bentuk muka bumi yang kami mesti lalui setiap petang ahad dan pagi jumaat. Selut dan batu-batu sahaja sepanjang perjalanan.



Pun begitu, baik saya mahupun kawan-kawan yang lain - InsyaAllah tidak akan patah semangat. Selagi hayat dikandung badan, selagi khidmat masih diperlukan, selagi itu bumi Lemoi tetap akan kami pijak. Anak-anak Lemoi yang dahagakan ilmu dan pembaharuan dalam hidup tetap kami didik tiada bezanya dengan anak-anak diluar sana walau dalam keadaan yang serba kekurangan. Sebarang kekurangan yang ada, selagi boleh kami cuba penuhi.

Demi mereka.

<__________>



1 comment:

Anonymous said...

salam..
akk memang srikandi yang mantap...
akk sgt tough...
meremang bulu roma saye bace kisah akk...