Mar 2, 2012

Terpelanting

Kau pernah rasa bagaimana terpelanting tak? Aku pernah. Banyak kali. Terpelanting yang betul punya terpelanting tu. Dengan motor-motor sekali terpelanting.

Ini baru punya terpelanting. Minggu ni, aku dan Fida masuk sekolah petang Selasa. Sebab aku ada Taklimat Verifikasi Data EMIS dan Fida ada kursus ICTL. Petang itu hujan. Sejuk dan gigil dia memang buat gigi aku berlaga atas bawah dan menghasilkan bunyi keretuk, keretak semasa naik motor tu.

Sampai Bukit Pasir, hujan sudah agak reda. Tapi gerimisnya masih bersisa. Selalu sampai situ, kami mesti berhenti sekejap. Teguk air untuk hilang kering tekak sebelum mula pendakian. Tengok jalan, memang hancur terus. Khabarnya kenderaan pasukan Solar Hibrid termasuk dengan traktor bawa barang keluar masuk hari itu.

Aku mula pendakian. Sampai suku bukit, aku gagal kawal motor. Bukit Pasir tidak mahu bekerjasama dengan aku. Motor terpelanting ke belakang macam kau selalu wheely tu, aku pun terpelanting, 2 rim kertas A4, sebotol mandian Lux besar, 2 tin Preego, 4 pek Biskut Tiger, sebotol Pepsi, 4 batang Fruitella yang aku isi dalam bakul motor itupun ikut terpelanting. Serentak ada bunyi krakkk! Kedengaran.

Aku yang sarat dengan beg berisi beberapa bungkus roti Gardenia perisa coklat dan pandan, 2kg sabun basuh Daia, surat-surat sekolah yang aku simpan kemas-kemas dalam plastik yang aku ambil di PPD, dan barangan peribadi terpelanting dan terbaring pasrah di suku bukit itu.

Sebab itu bukit, dan aku jatuh kaki di bahagian atas bukit - punya sukar aku nak bangun. Fida lekas-lekas mendapatkan aku. Nasib baik dia belum mula mendaki. Kalau tidak mahu terlanggar kami berdua.

Susah payah aku bangun, dan aku dengan Fida membangunkan motor. Bunyi krakkk tadi sebab plat belakang patah terus, cermin kanan pun patah. Baiklah, aku sangat terkilan sebenarnya. Cermin itu baru sahaja aku ganti sebelum masuk hari itu, dan plat tu sebenarnya sudah serpih. Bila Lengchai bengkel tu suruh aku tukar aku kata lainkali. Nasib juga tak tukar.

Susah payah juga aku dan Fida menolak motor mendaki bukit yang basah dan berselut separas betis itu. Beberapa kali berhenti sebab mengumpul tenaga yang hampir habis. Sakit-sakit pinggang memaksa kudrat memanjat bukit. Berhenti lagi menyedut oksigen. Hujan pun renyai, sejuk bertambah.

Namun, tanpa disangka-sangka. Sebaik sahaja motor aku berjaya sampai ke atas. Kenderaan pasukan Solar Hibrid tiba dari dalam dan menghulur bantuan menolak dan mengangkat motor Fida yang masih di bawah. Alhamdulillah... Terima kasih.

Perjalanan diteruskan. Sekali lagi diuji. Tidak jauh daripada Bukit Pasir, kami terpaksa bertungkus lumus melepaskan tayar motor daripada cengkaman selut. Licinnya buat kami ketengah ketepi. Tayar berpusing tapi motor tidak bergerak. Terpaksa mengguna kekuatan kaki untuk menunjal dan menolak diri dan motor naik.

Dan... Sampainya di sekolah, kami berlumur selut. Hahahaha... Dah macam mandi selut dah sebenarnya. Memang comot yang amat.

2 comments:

ctgvilla said...

salam.rasa teringin nak ke daerah itu....tapi mcmana ya....

sakinah said...

salam, sy bru selesai membaca kisah terpelanting cikgu, sungguh melawakkan,,,bahasa yang cikgu gunakan sgtla sempoi