Feb 10, 2012

Panas

Kebelakangan ini, matahari memang memancar terik. Kulit rasa bagai dipanggang, pijar menggigit-gigit. Barangkali sebab semakin tinggi kedudukan kita maka semakin dekat kita dengan matahari. Sampai petang, matahari masih menyala-nyala, terang dan garang. Tiada tanda mahu surut amarahnya. Pun begitu, angin yang bertiup tetap menghantar rasa dinginnya.

Semalam, oleh sebab hanya tinggal aku dan Fida di sekolah dengan anak-anak asrama makanya kami berkeputusan untuk mandi sungai. Yaaa... Mandi sungai. Untuk kali pertamanya tahun ini. Sememangnya sekolah kami ini selain dikelilingi hutan dan bukit bukau, kami turut dikelilingi oleh sungai. Sungai yang masih cantik. Jernih dan dingin airnya.

Membawa bersama 50 orang murid, kami ke sungai yang letaknya tidak jauh dari sekolah. Cari bahagian yang terbaik, air yang agak tenang dan tidak terlalu dalam. Peh, seronok bukan main murid-murid bermandi-manda. Macam tak biasa mandi sungai, padahal kala cuti memang mandi kat sungai je. Airnya, memang sejuk. Sejuk macam air batu. Turun sekejap je mesti gigil. Budak-budak tahun 1, 2 memang paling cepat naik. Berlaga gigi atas bawah menggigil sejuk.

Lepas mandi-manda dengan riang gembira, kami pun balik ke sekolah dengan janji untuk mandi lagi Jumaat nanti. Sekolah kan Sabtu ni? Maka kita memang tak keluarlah. Sebab hari Jumaat sekolah berakhir jam 1030hrs maka masih panjang masa untuk keesokan harinya, jadi marilah kita isi dengan aktiviti mandi sungai lagi.

Sekian.

No comments: