Feb 16, 2012

PANAS DAN SEJUK

Tahu kan, kebelakangan ini matahari selalu bersinar dengan terik. Bagai meluah rasa amarah. Perit dan pijarnya terasa di kulit. Begitu jugalah aku, mana ada makhluk yang akan terkecuali dengan rasa peritnya? Memang ya aku di Tanah Tinggi, tempat sejuk - tapi kan, kami lagi dekat dengan matahari. Sudah tentu, panasnya tetap rasa. Tapi, angin yang bertiup tetap menghantar rasa sejuk. Air yang mengalir tetap berasa dingin. Tengah-tengah panas kencang itu, katakan angin tiba-tiba bertiup - meriding bulu roma dek sejuknya. Ataupun, tengah-tengah panas terik matahari - pergi mandi sungai, airnya tetap dingin seperti air batu. Kalau aku bawa budak-budak ni mandi sungai, nescaya tidak sampai 10 minit dalam air semua dah tercatuk kat atas tebing - menggigil kesejukan, sambil gigi atas bawah saling berlaga. Tangan genggam rapat ke dada, cuba mengumpul sebanyak boleh haba. 

Malamnya, nescaya kau akan menggigil kesejukan. Sejuknya memang menggigit-gigit. Kalau aku tidur memang guna dua selimut tebal. Dua selimut tebal, okay? Kaki pakai stoking, kadang-kadang kalau tak tahan sangat sarung sekali dengan baju sejuk (ke baju panas?). Lepas tu, paginya rasa tak nak keluar daripada selimut. Masuk bilik air pun dengan mata separuh terbuka, terkejip-kejip diterjah cahaya lampu. Duduk depan kolah air plastik dan tenung air lama-lama, macam air tu akan jadi panas dek kuasa tenungan itu je. Ambil air segayung, gigil-gigil basuh muka. Pehhh, air dia punya sejuk memang rasa macam nak melompat dah. Kebas rasa tulang pipi. Dah siap basuh muka, gosok gigi - nak kumur rasanya sungguhlah ngilunya. Dah siap tu, nak mandi - ambik air segayung, curah kat kaki, sikit-sikit. Segayung, dua gayung, tiga gayung... aihhh, sejuk benar. Kali keempat, terus curah kat badan. Kalau tadi rasa nak melompat, sekarang memang dah melompat dah. Hahaha. Punyalah banyak kronologi untuk sampai ke tahap siap mandi tu. 

Siangnya, matahari menyapa pula. Kamu perasan tak sekarang bulan lambat beredar kan? Kadang-kadang pukul 0730hrs lebih-lebih tu, dia ada lagi tergantung di dada langit. Bulat. Penuh. Aku tertarik dengan kata-kata Ajami Hashim lewat twitternya yang kurang lebih berbunyi begini '...bulan terlalu merindukan matahari, sehingga terlupa untuk kembali bersama malam.' Pehhh, cair aku baca. Cair beb. Kesimpulannya, aku mudah tertarik dengan kata-kata puitis ringkas begitu. Heh.

Sekarang, bila keluar hari Jumaat tu - kitakan siap-siap pakai baju hujan dan but segala tu kan. Tapi pijar matahari tu tetap terasa di kulit. Dan ye, kulit tangan aku yang memang tidak pernah putih ini terima akibat. Akibat kedegilan dan kemalasan aku untuk guna sebarang losyen anti sinaran UV dan perkara-perkara sewaktu dengannya. Tangan aku hitam, dengan kulit macam kulit orang tua. Kering dan berkedut. Tadi tu, masa aku gi Kursus kat PPD - ada kawan aku tegur katanya aku dah macam 'sunburn' - ayat nak bagi sedap dengan maksud yang sama dengan 'kau makin hitam'. Hahahahaaa...

Betullah, aku akui. Aku ni memang tidak pernah putih kecuali masa aku kecik-kecik dulu tu je. Ini kan sekarang, main bola jaring dengan budak-budak. Kalau tak main aku menempik je kat dalam gelanggang tu. Jam 1700hrs lebih-lebih tu pun matahari masih galak lagi. Nak tak nak kena main juga, sebab nanti gelanggang yang sama digunakan oleh guru-guru lelaki untuk bermain futsal jam 1830hrs pula. Memang panas. Itupun, antara faktor menyumbang kepada 'sunburn'nya aku kini. Okay, sebenarnya aku tak rasa aku siti terbakar pun - tapi mungkin sebab kawan aku tu jarang tengok aku tu.


 Main takraw ditengah-tengah matahari terik adalah kepakaran mereka. Yang menonton pun ikut berpanas sekali. Apa ada hal...

Masa main bola jaring ni dah dekat jam 1800hrs dah ni. Tapi, matahari belum ada tanda mahu beransur pun. Mainlah, apa ada hal...

Sekian.

No comments: